Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, pada tanggal 17 Ramadan, umat Islam akan memperingati satu lagi peristiwa besar Nuzul Al-Quran atau turunnya Al-Quran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan, kerana pada tahun ini kita dapat meraikannya dengan lebih bermakna di dalam fasa peralihan ke endemik, berbanding dua tahun sebelum ini, akibat wabak Covid-19 yang melanda. Semoga dengan peralihan fasa dan kelonggaran SOP yang diberikan, peristiwa Nuzul Al-Quran ini masih tetap dapat dihayati dengan mendalam di dalam diri dan jiwa kita.
2. Bulan Ramadan bukan sekadar mengingatkan kita kepada ibadah puasa di siang hari, tetapi bulan ini juga mengingatkan kita kepada Al-Quran, mukjizat ilmu paling agung yang diturunkan kepada umat akhir zaman melalui Junjungan Agung Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini.
3. Sebagai petunjuk, Al-Quran juga mengandungi pelbagai bentuk khazanah ilmu. Dalam kita menikmati hidup di bulan Al-Quran ini, adalah amat penting untuk menyedarkan setiap manusia betapa pentingnya kembali kepada pelaksanaan Al-Quran yang sempurna dan menyeluruh sama ada dalam aspek ibadah, akhlak, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan dan sebagainya. Sifat petunjuk Al-Quran ini jelas disebut di dalam Surah Al Baqarah ayat 185:
Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Al-Baqarah: 185)
4. Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri. Antara tujuan Al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
(Surah As-Sad: 29)
5. Justeru, saya mendoakan semoga kita semua akan beroleh segala kelebihan dan kebaikan apabila kita bertadarus serta mentadabbur makna ayat-ayat Al-Quran serta mengamalkan isi kandungannya secara istiqamah pada bulan yang penuh keberkatan ini.
6. Institut Kefahaman Islam Malaysia akan terus berusaha untuk memupuk semangat dalam meningkatkan kefahaman Islam yang benar berlandaskan Al Quran dan As Sunnah menerusi program-program seperti kolokium, seminar, muzakarah pakar, dan bengkel seperti ‘Al Quran dan Kesihatan Mental’, mahu pun program-program di Radio IKIM seperti Tafsir Al Quran, Tadabbur, Lensa Jumaat, Murattal Al-Quran dan banyak lagi.
7. Akhir sekali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran 1443H kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan yang barakah ini.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.