Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala oleh kerana dengan limpah kurniaNya, kita dapat melangkah ke satu lagi tahun baharu masihi iaitu tahun 2021. Pada tahun 2020 kita telah diuji dengan wabak pendemik COVID-19. Dalam menghadapi wabak itu, kita semua sentiasa berpandukan kepada firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat kelima dan keenam daripada Surah Al-Insyirah yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. Tahun 2020 telah berlalu, dan IKIM telah melaksanakan tugasnya sedaya yang mampu dalam keadaan wabak yang melanda negara.
2. Satu daripada projek IKIM pada tahun 2021 adalah penerbitan sebuah buku rujukan mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan kefahaman Islam. Beberapa majlis ilmu telah diadakan pada penghujung tahun 2019 dan sepanjang tahun 2020. Tema-tema yang terpilih bagi majlis-majlis itu mencerminkan isu-isu semasa iaitu: (i) Demystifying Islamophobia – Towards a Deeper Understanding of Islam (ii) Good Governance in Islam (iii) Islam and Moral Freedom: Issues and Challenges (iv) Failure of Extreme Capitalism – Is Islamic Economics the Answer? (v) Religious Responses to Climate Change and Environmental Degradation (vi) Developing the Islamic Mind, dan (vii) New Zealand Paling Islamik – Malaysia Bagaimana?
3. Perkara-perkara ini telah dibincangkan oleh ahli-ahli akademik, pengamal-pengamal dan pakar-pakar Islam, dan oleh itu buah fikiran mereka wajar diketahui oleh masyarakat secara lebih meluas, melalui buku yang akan dikeluarkan oleh IKIM.
4. Pada tahun 2021 IKIM akan terus menganjurkan majlis-majlis ilmu di atas perkara-perkara yang memerlukan perbincangan oleh kerana kaitannya dengan keadaan terkini, antaranya: (i) Pandemic Covid-19: Islamic Responses (ii) Maqasidic Framework – For The Formation of Khaira Ummah (iii) Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 – Satu Tinjauan Dari Perspektif Islam (iv) Institusi Hisbah, Mazalim dan Ombudsman: Konsep dan Peranan Dalam Mengukuh Tadbir Urus Negara (v) Pengurusan Harta Keluarga Islam (vi) Peranan Saling Melengkapi Antara Lelaki Dan Wanita Dalam Islam (vii) Islam dan Keamanan: Mendepani Naratif Ekstremisme (viii) Tanda-tanda Kebesaran Allah dalam Al-Quran (ix) Pemikiran Liberal: Isu dan Cabaran (x) Perspektif Islam Tentang Penuaan, (xi) Kesihatan Pekerjaan Menurut Islam dan, (xii) Pembangunan Minda Islam.
5. Majlis-majlis ilmuan penganjuran IKIM pada tahun 2021 akan disiarkan oleh Radio dan TV IKIM secara langsung di platform digital dan media sosial IKIM kepada masyarakat bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa. Di antara program-program baharu yang akan ke udara di Radio IKIM termasuklah Bicara Mufti, Suara Siswa, Mutiara Hadis dan lain-lain bagi menjentik minda dan meningkatkan kefahaman Islam di kalangan pendengar.
6. Saya sudahi perutusan ini dengan berdoa: “Ya Allah, kurniakan kepada kami akal yang sihat, semoga kami dapat menyumbangkan idea-idea yang bernas, dapat memikirkan perkara-perkara yang berfaedah agar dapat menghasilkan sesuatu yang canggih dan terkini yang dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam. Ya Allah, terimalah segala kerja dan khidmat bakti kami sebagai amal ibadat yang engkau redai. Semoga segala hasil usaha dan kejayaan kami dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh umat manusia dalam membina umat Islam yang cemerlang, demi memartabatkan, agama dan negara di persada dunia.
7. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.