
PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2026
PROF EMERITUS DATO DR YUSOF BIN HAJI OTHMAN
TIMBALAN PENGERUSI IKIM
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan inayah-Nya, kita diberi kesempatan menutup tirai tahun 2025 dengan penuh rasa syukur. Tahun ini menyaksikan pelbagai cabaran dan kejayaan yang mengukuhkan kedudukan IKIM sebagai institusi ilmu yang menyebarluaskan kefahaman Islam yang syumul, seimbang, dan bersifat wasatiyyah.
Sepanjang tahun ini, IKIM telah melaksanakan beberapa program besar yang memberi impak kepada masyarakat dan institusi. Antaranya ialah Persidangan Serantau Pengurusan Harta Keluarga Islam 2025, Seminar Fiqh Ta’ayush dalam Gagasan Malaysia MADANI, dan pembaharuan kandungan digital IKIMfm, yang memfokuskan kepada pendidikan, dakwah, dan penyebaran nilai Islam yang relevan dengan masyarakat masa kini. Program-program ini menegaskan peranan IKIM sebagai pemangkin ilmu, penggerak perubahan sosial, dan pengukuh nilai dalam masyarakat.
Saya ingin merakamkan penghargaan setulus-tulusnya kepada semua warga IKIM, para penyelidik, pegawai, tenaga kreatif media, pentadbir, dan kakitangan sokongan, atas dedikasi, keikhlasan, dan komitmen yang tinggi. Sumbangan anda semua menjadi nadi kejayaan IKIM dalam menjalankan misi membimbing masyarakat ke arah kefahaman Islam yang sebenar.
Menjelang tahun baharu 2026, marilah kita memperbaharui niat dan azam kita, agar IKIM terus relevan, dinamik, dan berpaksikan ilmu, nilai dan adab dalam menghadapi cabaran dunia moden. Semoga segala usaha kita dirahmati Allah SWT, menjadi amal soleh, dan diterima sebagai sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara. Sekian Wassalamualaikum wbt. Memahami Islam, Membina Peradaban.

