Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala oleh kerana dengan limpah keizinanNya dan inayahNya, kita akan menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
2. Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak UKM dan AKPK di atas kesudian berkerjasama dengan IKIM menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MOA) yang akan ditandatangani sebentar nanti. Saya berkeyakinan bahawa, dengan penyatuan kepakaran yang dimiliki oleh setiap pihak, maka hasil penyelidikan yang tercapai akan bertaraf tinggi dan memberi manfaat kepada masyarakat.
3. Barang dimaklumkan bahawa pada ketika ini, IKIM sedang menjalankan dua (2) program kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) – iaitu “Kajian Indeks Literasi Kewangan Islam dalam Kalangan Masyarakat Muslim di Malaysia”; dan menerusi Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) – “Siri Syarahan Kelestarian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim”. Pihak penyelidik daripada AKPK juga turut terlibat dalam kajian mengenai Literasi Kewangan Islam.
4. IKIM dan Institut Kajian Etnik (Institute of Ethnic Studies – KITA) di UKM juga akan bekerjasama dalam usaha-usaha untuk memupuk kesefahaman antara pelbagai kaum di Malaysia.
5. Gerak langkah ini boleh menjadi pencetus kepada kerjasama lain antara IKIM dengan fakulti/pusat lain di UKM, seperti Fakulti Pengajian Islam, Institut Islam Hadhari, Institut Perubahan Iklim, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dan juga Perpustakaan Tun Sri Lanang. Ini akan kita bincangkan kemudian.
Sekian. Terima kasih dan tahniah.
Wassalamualaikum warahatullah wa barakatuh.