Menurut laporan “The ISO Survey – 2005” yang dibuat oleh ACNielsen, sehingga Disember 2005, sebanyak 776,608 sijil ISO 9001:2000 telah diberikan kepada organisasi-organisasi di 161 negara di seluruh dunia.
Kuasa ekonomi dunia yang baru iaitu China, menduduki tangga teratas dari segi jumlah sijil yang dikeluarkan, iaitu sebanyak 143 823. Ini diikuti oleh kuasa-kuasa ekonomi yang lain, iaitu Itali (98,028), Jepun (53,771), Sepanyol (47,445), dan Britain (45,612).
Di kalangan negara Timur Jauh, Malaysia menduduki tangga ke-6 selepas kuasa-kuasa ekonomi China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura dengan jumlah sijil ISO 9001:2000 yang dikeluarkan sebanyak 5,695.
Apa yang dapat diperhatikan menerusi hasil kajian yang dilakukan oleh ACNielsen ini ialah, organisasi-organisasi di negara-negara kuasa ekonomi dunia mementingkan keperluan pematuhan kepada piawaian dan penjagaan mutu dalam operasi harian mereka.
Sebenarnya, pematuhan kepada piawaian, keseragaman mutu barangan, perkhidmatan yang cemerlang dan penambahbaikan yang berterusan merupakan unsur penting bagi membolehkan sesebuah organisasi itu terus bersaing dalam pelbagai bidang yang diceburi.
Dalam proses globalisasi ekonomi yang dilalui oleh setiap negara dewasa ini, unsur-unsur ini menjadi satu kemestian yang perlu dimiliki dan diamalkan oleh setiap organisasi kerana globalisasi memansuhkan istilah sempadan negara dan wilayah. Pemansuhan sempadan ekonomi di samping usaha untuk meliberalkan urusan merupakan satu usaha pihak Barat untuk menguasai jumlah pasaran yang besar yang telah tersedia terutamanya di negara-negara membangun.
Hal ini dapat dilaksanakan menerusi syarikat-syarikat multinasional masing-masing yang mengambil kesempatan dengan membuka cawangan-cawangan di negara-negara asing yang menawarkan kos pengeluaran rendah dan ganjaran pelaburan yang menarik.
Unsur inilah juga yang menjelaskan bagaimana perolehan hasil tahunan syarikat-syarikat besar seperti Wal-Mart Stores, BP, Exxon Mobile, Daimler Chrysler, Toyota Motor, Citigroup dan lain lain berjaya mengatasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijana oleh kebanyakan negara dunia.
Wal-Mart Stores yang mempunyai 6,500 cawangan di 15 negara di seluruh dunia sebagai contoh, berjaya menjana lebih US$312.4 billion perolehan untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Januari 2006. Jumlah perolehan yang besar ini adalah lebih tinggi daripada keseluruhan KDNK Arab Saudi yang terkenal dengan kekayaan sumber minyaknya. Malah angka yang dicatat oleh Wal-Mart ini juga jauh lebih besar daripada apa yang diusahakan oleh keseluruhan penduduk Indonesia yang berjumlah 242 juta orang itu.
Tugas mengurus 1.8 juta pekerja di seluruh dunia dan memberi perkhidmatan kepada 176 juta pelanggan setiap minggu bukanlah satu tugas yang mudah. Jadi apakah rahsia kejayaan Wal-mart ini? Sudah pasti ia ada kaitan dengan mutu perkhidmatan serta piawaian kualiti pengurusan yang digunapakai oleh organisasi ini.
Sam Walton, pengasas Wal-Mart di dalam autobiografinya ada menyatakan bahawa rahsia kejayaan dalam bidang peruncitan ialah dengan memberi sesuatu yang dapat memuaskan hati pelanggan dan lebih baik jika perkhidmatan tadi melebihi apa yang diharapkan oleh mereka.
Hakikatnya, kita tidak perlu meninjau jauh keluar negara untuk mencari rahsia pengurusan organisasi. Lihat saja perkembangan yang berlaku di negara kita. Tentu ada yang boleh dipelajari daripada kejayaan organisasi-organisasi tempatan.
Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat yang bermasalah dan mengalami kerugian sehingga terpaksa dibantu kerajaan yang kita semua maklum suasana tabdir urus di institusi-institusi terbabit?
Apa yang jelas isu-isu ketidakcekapan, ketiadaaan manual dan amalan operasi, masalah rasuah, akhlak kerja yang lemah dan sebagainya merupakan unsur yang sering diutarakan apabila masalah sebegini timbul.
Sebenarnya, kepentingan kualiti dan mutu kerja yang baik telah wujud dalam pandangan hidup Islam sejak berabad lamanya. Seperti pemikir Barat, pandangan hidup Islam turut mengakui kepentingan mutu dalam semua kegiatan harian manusia. Cuma apa yang membezakan antara keduanya ialah dari sudut bagaimana ia digunapakai. Faham Barat hanya mengaitkan mutu dari sudut kebendaan semata-mata. Akan tetapi pandangan hidup Islam melihatnya dari sudut yang lebih luas di mana ia merangkumi sudut kebendaan dan kerohanian.
Tetapi berapa ramai di antara kita sedar bahawa unsur mutu dan piawaian ini ada dalam setiap suruhan Allah s.w.t. Ibadat solat, puasa, haji dan sebagainya perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat dan keperluan-keperluan yang tertentu. Kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan hanya mensia-siakan amalan yang dilakukan.
Hakikatnya kita gagal untuk memahami falsafah yang terkandung dalam setiap suruhan agama untuk urusan harian kita yang lain. Maka wujudlah satu ketidakseimbangan yang menyebabkan agama Islam dilihat sebagai satu agama yang hanya mementingkan upacara-upacara yang berbentuk kerohanian semata-mata. Manakala umat Islam pula dari segi urusan keduniaan dilihat sebagai satu umat yang mundur dan terkebelakang dalam segala segi kehidupan baik dalam bidang ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya.
Dalam pandangan hidup Islam, semua kegiatan adalah ibadat. Dalam hal ini, pandangan ini boleh digunapakai dalam bidang-bidang ekonomi, pengurusan, pendidikan dan sebagainya. Oleh yang demikian, sesiapa yang bekerja bersungguh-sungguh dan penuh ketekunan sehingga ia mampu menghasilkan sesuatu yang bermutu dan bermanfaat kepada masyarakat umum, maka ia sebenarnya telah menyumbang kepada kebaikan ummah dan akan diberi ganjaran yang sewajarnya oleh Allah s.w.t.