Beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk memilih calon pemimpin mereka. Dalam konteks Malaysia, isu kepimpinan negara sering dikaitkan dengan beberapa konotasi negatif seperti korupsi, rasuah dan salah guna kuasa. Malah seseorang mungkin dianggap tidak rasional sekiranya mengatakan bahawa para pemimpin yang ada di Malaysia adalah tidak korup dan bebas rasuah.
Menurut Forum Ekonomi Dunia (The World Economic Forum), secara keseluruhannya pada peringkat global, kerugian yang diakibatkan oleh rasuah adalah kira-kira AS$2.6 trilion setahun. Rasuah bukan sahaja menyebabkan impak yang tidak baik kepada golongan rentan dalam masyarakat, bahkan turut menghalang aktiviti pelaburan, melemahkan pertumbuhan ekonomi dan mencabar kedaulatan undang-undang negara. Hal ini ada kebenarannya apabila pemimpin yang korup sudah tentu tidak akan mempunyai kehendak politik untuk membendung gejala hina ini daripada berleluasa. Bagi mereka apa-apa tindakan yang boleh membasmi amalan rasuah diibaratkan sebagai “membunuh angsa bertelur emas”. Justeru golongan ini akan menggunakan pelbagai helah dan kelebihan yang mereka ada—baik dari segi undang-undang, peraturan mahupun sokongan orang ramai—untuk terus kekal berkuasa bagi mengeksploitasi dan mengaut segala peluang yang ada demi kepentingan peribadi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah ucapan baginda semasa melancarkan buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu yang dikarang oleh, Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Mohd Kamal Hassan, Pengerusi IKIM pada 22 September 2022 menyifatkan bahawa amalan rasuah di negara ini berada pada tahap yang membahayakan.
Sehubungan dengan itu baginda bertitah: “Oleh yang demikian kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi bersilat dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata. Penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur, ikhlas, objektif dan berfakta untuk dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.”
Namun, yang peliknya pemimpin yang korup ini masih diterima baik dan disanjung tinggi oleh sesetengah ahli masyarakat. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa amalan rasuah dan salah guna kuasa seolah-olah sudah mula dinormalisasi dan diterima sebagai sesuatu yang betul walaupun perkara tersebut jelas bertentangan dengan kehendak agama dan undang-undang yang ada. Dengan kata lain, sudah berlaku kerosakan pemikiran dalam kalangan rakyat sehingga mereka gagal membezakan antara yang hak dengan yang batil.
Menurut Imam al-Ghazali: “Sebenarnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya, dan kerosakan pemimpin disebabkan oleh kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh cinta harta dan kedudukan, dan sesiapa yang dikuasai oleh keinginan duniawi tidak akan mampu mengurus rakyat kebanyakan, termasuklah pemimpinnya. Allahlah tempat meminta pertolongan.”
Menurut Imam al-Ghazali lagi, pemimpin yang ideal ialah pemimpin yang memiliki tiga ciri berikut, iaitu keintelektualan yang tinggi, kefahaman agama yang mendalam dan akhlak yang mulia. Pandangan Al-Ghazali ini adalah seiring dengan pandangan al-Mawardi yang antara lain menyatakan bahawa ciri-ciri pemimpin yang ideal termasuklah bersifat adil, berintegriti dan menguasai bidang ilmu negara dan agama.
Walau bagaimanapun ketiga-tiga unsur yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali ini perlu seimbang kerana agama yang tidak didasari oleh ilmu yang benar akan menyebabkan bencana kepada kepimpinan. Sementara itu, ilmu pengetahuan yang tidak diseimbangi dengan unsur agama tidak memungkinkan akhlak yang mulia akan terhasil dalam jiwa pemimpin. Akhirnya rakyat yang menerima kesan padah akibat ketiadaan ciri-ciri kepimpinan yang dinyatakan ini.
Ketiga-tiga ciri ini secara kasarnya sukar untuk ditemui berkumpul dalam diri seseorang lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin pada masa ini. Begitu juga hari ini didapati bahawa kes-kes rasuah dan salah laku dilakukan oleh pemimpin yang bukan calang-calang kelayakan akademik mereka. Kekurangan dari segi kefahaman agama dan sahsiah Islam dalam diri pemimpin menyebabkan mereka gagal mengawal nafsu daripada terjebak dalam perkara-perkara mungkar yang ditegah agama dan undang-undang terutama perkara yang melibatkan harta, pangkat, kekuasaan dan wanita.
Mungkin ada satu lagi titipan pesanan Imam al-Ghazali tentang kepimpinan yang boleh dijadikan panduan semasa keluar mengundi nanti: “Pemerintahan dan agama ibarat dua saudara kembar. Agama merupakan asas, pemerintah adalah pengawalnya. Sesuatu yang tiada asas maka akan hancur. Sesuatu yang tiada pengawal, akan hilang.”
Agama merupakan asas utama kepada kehidupan manusia. Keimanan yang berpaksikan kepada syariat yang benar akan mengawal pemimpin daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak dan mendorongnya untuk melaksanakan tugas kepimpinan sepertiyang dihendaki Islam. Sekiranya ingin melihat agama Islam terus terpelihara dan maruah bangsa terus terjaga, kita perlu memastikan bahawa yang bakal dipilih merupakan individu yang beriman kepada Allah SWT dan mempunyai tekad yang kuat untuk membela agama Islam dan kebajikan bangsa Melayu secara khasnya serta seluruh warga Malaysia secara amnya.
Dalam hal ini Nabi SAW bersabda kepada kepada Ka’b bin ‘Ujrah RA: “(mudah-mudahan) Allah memelihara kamu dari kepemimpinan orang-orang yang bodoh.” Ka’b bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu kepemimpinan orang yang bodoh?” Rasulullah menjelaskan: “(iaitu) Para pemimpin yang muncul selepas dariku, tetapi mereka tidak menggunakan petunjukku, dan mereka tidak mengamalkan sunnahku. Barangsiapa yang membenarkan penipuan mereka, atau membantu kezaliman mereka, maka mereka itu adalah bukan dari umatku. Dan aku bukan sebahagian dari mereka. Mereka tidak akan dapat minum di telagaku (di akhirat kelak).” Pemimpin bodoh yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dalam hadis ini bukan sahaja merujuk kepada pemimpin yang lemah dari segi keintelektualan tetapi turut merujuk kepada pemimpin yang bersikap zalim dan menipu. Justeru Nabi SAW menyuruh kita agar menjauhi pemimpin seperti ini, apatah lagi melantik mereka menjadi pemimpin.