Wakaf merupakan satu bentuk kewangan sosial Islam yang bukan sahaja bertujuan untuk mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah SWT tetapi juga mempunyai tujuan sosial iaitu untuk memberi manfaat dan membangunkan masyarakat, tidak kira masyarakat Muslim mahupun bukan Muslim. Selain peningkatan dari sudut ekonomi, penggunaan instrumen wakaf untuk pemuliharaan sumber alam juga merupakan sebahagian manfaat kepada masyarakat.
Pengumuman YAB Perdana Menteri, semasa pembentangan Bajet 2023, berkaitan Wakaf Madani yang merangkumi aset bernilai lebih RM1 bilion adalah amat dialu-alukan. Usaha ini bukan sahaja untuk kemaslahatan rakyat tetapi boleh diperluaskan untuk usaha pemuliharaan alam sekitar. Oleh itu, usaha untuk menggunakan instrumen wakaf dalam pemuliharaan alam sekitar perlu diteroka dengan lebih luas, apatah lagi dalam situasi kini di mana persekitaran manusia dibebankan dengan pelbagai masalah alam sekitar sama ada yang bersifat tempatan mahupun global seperti perubahan iklim, jerebu, hujan asid, pencemaran air, tanah, masalah sisa dan sebagainya.
Ketika ini, telah wujud pelbagai bentuk wakaf sumber alam misalnya wakaf hutan, wakaf air, wakaf tenaga suria dan sebagainya. Mewakafkan sumber alam untuk manfaat bersama bukanlah satu perkara baharu. Sejak zaman Rasulullah SAW, Baginda telah mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid dan mewakafkan tujuh buah kebun kurma di Madinah. Umar al-Khathab pula ketika memperoleh tanah di Khaibar, telah mewakafkan tanah tersebut bagi tujuan pertanian dan hasilnya disedekahkan kepada orang miskin. Uthman bin Affan pula mewakafkan telaga air. Uthman membeli telaga milik seorang Yahudi dan kemudiannya orang awam boleh menikmati air tersebut secara percuma. Walaupun usaha ini bukanlah semata-mata untuk memulihara sumber alam tetapi sumber alam seperti air itu perlu dijaga dengan sebaik-baiknya agar ia boleh terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam konteks dunia moden, wakaf sumber alam turut diamalkan oleh banyak negara. Misalnya di Turki, telah wujud wakaf hutan (Evkaf Forest) yang meliputi kawasan lebih daripada 107 ribu hektar. Manakala di Indonesia, hutan wakaf pertama telah dibangunkan di Aceh dan dikenali sebagai Hutan Wakaf Jantho. Hutan tersebut dibangunkan daripada wakaf tunai masyarakat setempat. Dana wakaf yang dikumpulkan digunakan untuk membeli tanah-tanah kritikal. Di Bandung, pemerintah telah membuka hutan wakaf yang dikenali sebagai Wakaf Leuweung. Hutan wakaf di Bogor pula telah dibuka oleh beberapa orang ulama daripada Universiti IPB (Institut Pertanian Bogor).
Wakaf sumber alam juga menjadi keutamaan di Kuwait. Pada 1995, Kuwait Awqaf Public Foundation (KAPF) telah ditubuhkan untuk mengumpul dana bagi melindungi alam sekitar. Selain itu, KAPF ini turut mengelola dan mengagihkan dana dalam pelbagai bentuk misalnya projek yang melibatkan penghijauan taman di masjid dan sekolah, projek menanam pokok, serta menyokong pelbagai organisasi perlindungan alam sekitar. Di Malaysia pula, Wakaf Air telah diperkenalkan untuk membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil. Wakaf Masjid Hijau pula diperkenalkan untuk membiayai projek-projek pembangunan masjid berasaskan teknologi hijau. Berdasarkan contoh di atas, jelas bahawa wakaf sumber alam bukanlah sesuatu yang asing bagi komuniti Muslim di seluruh dunia.
Di Malaysia ketika ini, isu tanah wakaf terbiar merupakan satu isu yang sering mendapat perhatian pelbagai pihak. Walaupun agak sukar untuk menentukan jumlah sebenar tanah wakaf di Malaysia namun Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) pernah melaporkan bahawa hanya 15 peratus daripada keseluruhan jumlah tanah wakaf di negara ini telah diusahakan. Ini bermakna, masih banyak lagi tanah wakaf yang tidak diusahakan. Masalah ini merupakan satu kerugian kerana tanah tersebut sepatutnya dibangunkan untuk manfaat masyarakat.
Tanah-tanah wakaf yang tidak diusahakan ini, walaupun telah dikategorikan sebagai wakaf khas, sewajarnya dikaji untuk kegunaan pemuliharaan alam sekitar. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-80 pada 1-3 Februari 2008 telah memutuskan bahawa membangunkan tanah wakaf khas kepada satu bentuk pembangunan lain adalah harus. Walaupun keputusan ini merujuk khusus kepada wakaf untuk pembinaan masjid namun penerokaan tanah tersebut untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar perlu diberi perhatian. Ini kerana pemuliharaan alam sekitar dianggap memenuhi syarat ketetapan fatwa tersebut iaitu “tidak bercanggah dengan syariat Islam” dan ia juga berada di bawah pemerhatian “pemerintah” kerana kerajaan Malaysia juga menekankan kepada pemuliharaan alam sekitar untuk kepentingan bersama. Dalam hal ini, tanah-tanah wakaf yang sesuai boleh dimanfaatkan misalnya untuk dijadikan kawasan hima atau hutan simpan, ladang tenaga solar, pemuliharaan sumber air dan sebagainya.
Namun ditegaskan di sini bahawa penulisan ini tidak sekali-kali menyatakan bahawa semua tanah wakaf perlu digunakan untuk pemuliharaan alam sekitar namun tanah yang sesuai boleh dipilih untuk tujuan itu. Sebagai contoh, tanah wakaf yang berhampiran kampung orang asli boleh digunakan sebagai ladang solar dan tenaga elektrik yang terhasil boleh diberikan secara percuma atau dengan bayaran yang minimum untuk kegunaan masyarakat setempat. Malah, tanah wakaf bercerun boleh digunakan sebagai hutan simpan bagi mengelakkan hakisan tanah yang berbahaya kepada penduduk dan juga bermanfaat dalam konteks menjaga mutu air di kawasan tersebut. Malah, nasib hidupan flora dan fauna di kawasan tersebut juga terjamin. Akhirnya, semua ini menyokong kepada usaha pengurangan pelepasan karbon dioksida serta pengurangan suhu bumi.
Jelas bahawa instrumen wakaf berpotensi dimanfaatkan untuk usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar. Makalah ini hanya memberi contoh berkaitan tanah wakaf namun bentuk wakaf lain misalnya wakaf tunai juga berpotensi besar untuk pemuliharaan alam. Namun terdapat beberapa perkara seperti hal-hal berkaitan perundangan dan peraturan, perbezaan prosedur antara negeri serta pembahagian tugas pelbagai agensi perlu diberi perhatian jika usaha ini hendak dijayakan. Umumnya, penulis berpendapat bahawa peluang harus diberikan kepada usaha ini kerana matlamatnya adalah untuk kebajikan dan manfaat masyarakat dan ini juga merupakan tuntutan dalam Islam.