Keharmonian sesebuah masyarakat merujuk kepada keadaan atau kehidupan bersama dengan aman tanpa konflik atau kekacauan. Hal keadaan ini terbentuk disebabkan wujudnya kemesraan, saling hormat-meghormati, penerimaan dan kasih sayang walaupun wujud perbezaan dalam lanskap sosial masyarakat ini, secara amnya. Dalam konteks masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama di negara ini, keharmonian dapat diwujudkan dan dikekalkan jika ahlinya tidak terpengaruh oleh cara pemikiran yang negatif seperti mempunyai prasangka buruk, berlaku tidak adil dan zalim terhadap orang lain yang kemudiannya membawa kepada hilang rasa hormat dan sikap bertolak ansur. Hakikatnya, kepelbagaian kelompok manusia yang diciptakan oleh Allah SWT merupakan antara tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran. Jika kita memahami aspek ini dengan baik, maka kita akan memainkan peranan yang diperlukan bagi mewujudkan kehidupan masyarakat dan negara yang aman dan harmoni. Kefahaman yang benar terhadap perkara ini juga akan memudahkan kita untuk berbuat baik terhadap orang lain dengan berlaku adil, prihatin, berkasih sayang serta saling hormat menghormati. Ini adalah berdasarkan kefahaman bahawa hubungan kita dengan orang lain terutamanya mereka yang berbeza dengan kita sama ada dari segi budaya, bangsa atau agama sebenarnya juga merupakan satu bentuk hubungan persaudaraan atau ‘ukhuwwah’ yang dibina atas dasar kekeluargaan yang berasal daripada manusia yang pertama dijadikan Allah SWT iaitu Nabi Adam ‘Alaihi Sallam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran: “Hai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu daripada seorang diri (Adam), dan daripadanya dijadikan isterinya (Hawa), dan yang membiakkan daripada kedua-duanya lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kami selalu meminta dengan nama-Nya, serta peliharalah hubungan kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu. (Al-Nisa (4): 1).
Walaubagaimanapun, keharmonian dan keamanan bagi sebuah masyarakat atau negara bukanlah satu keadaan yang sudah tersedia atau mudah untuk dicapai. Keharmonian sebenarnya menjadi sukar apabila wujud perasaan curiga, atau prasangka yang buruk dan membinasakan, tidak kira sama ada curiga adalah terhadap mukmin yang lain atau juga antara manusia secara amnya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat, 49: 12). Hal ini juga terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
Sebagai individu yang hidup bermasyarakat, prasangka yang buruk akan menjejaskan tahap kepercayaan serta keharmonian dalam perhubungan sosial antara kelompok yang berbeza, sama ada kelompok ini disebabkan perbezaan dalam pandangan politik, jurang ekonomi atau latar belakang sosial kerana sikap prasangka akan melebarkan jurang yang sedia ada. Sebagai contoh, penyebaran maklumat yang menimbulkan kebencian melampau, mengaibkan dan berasaskan fitnah serta buruk sangka akan menjadikan pemikiran masyarakat semakin lesu dan bercelaru. Media sosial yang menjadi kaedah komunikasi dan penyebaran maklumat utama pada zaman moden ini disalah guna bagi tujuan untuk menyebarkan berita palsu dan fitnah sehingga menambah kepada rasa curiga, sangka buruk dan kebencian dalam masyarakat.
Kita perlu menjadi anggota masyarakat yang bertanggung jawab dengan melazimkan nilai-nilai murni dalam tindakan dan pelakuan dan juga menzahirkan rasa kasih sayang dan kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian. Perasaan sayang kepada negara ini perlu ada dalam naluri setiap warganegara merentas kaum, agama dan budaya. Sebarang usaha untuk memecah-belahkan masyarakat dengan momokan kebencian serta benih prasangka yang ditanam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab perlu ditangkis agar ia tidak menjadi satu kemudaratan kepada negara.
Adalah lebih tidak adil jika keamanan dan keharmonian yang diidamkan oleh rakyat negara ini tidak dapat direalisasikan kerana wujudnya pemimpin-pemimpin yang membenihkan dan membajakan prasangka buruk dan kebencian dalam masyarakat. Pemimpin yang bertanggungjawab tidak ingin melihat negara ini berada dalam keadaan kucar kacir, dipenuhi konflik atau berpecah-belah hanya bagi tujuan memenuhi cita-cita dan agenda peribadi mereka. Sewajarnya, usaha-usaha bagi mewujudkan serta mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhan perlu menjadi matlamat utama bagi mana-mana pemimpin yang betul-betul ikhlas dan faham akan tanggungjawab sebenar mereka sebagai pemimpin. Pemimpin yang mempunyai kesedaran ini akan melakukan yang terbaik bagi memastikan rakyat dan negara mendapat kebaikan melalui tindakan-tindakan mereka dalam memimpin. Antaranya adalah dengan memastikan agenda keharmonian bagi negara ini menjadi lestari dan bersifat jangka panjang. Kemakmuran negara dan masyarakat amat bergantung kepada keadaan yang harmoni sebegini dalam keadaan di mana rakyat hidup dengan aman damai, saling mempercayai dan hormat menghormati yang lahir atas dasar rasa cinta yang amat tinggi terhadap negara.