Kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) merupakan satu teknologi yang membawa banyak perubahan kepada cara kerja dijalankan hari ini. Pastinya teknologi AI memberi kesan besar kepada masyarakat. Sama ada kesan ini baik atau sebaliknya bergantung pada cara teknologi ini digunakan.
Walaupun teknologi AI dilihat sebagai berpotensi mendatangkan banyak manfaat, masih ada kebimbangan tentang kepincangan (biasness) data latihan yang digunakan sebagai input bagi proses pembelajaran mesin (machine learning). Kewujudan kepincangan dalam data latihan ini dilihat sebagai satu isu besar yang kritikal.
Kepincangan ini berlaku disebabkan beberapa faktor seperti ketidakseimbangan data latihan, pemprograman algoritma yang cenderung kepada pandangan tertentu, dan kurang kepelbagaian dalam pembangunan sistem AI. Semua faktor ini memungkinkan sistem AI yang dibangunkan menjadi pincang, berat sebelah dan menimbulkan keadaan yang tidak adil.
Sekiranya input data yang digunakan bagi tujuan latihan sistem AI mempunyai kecenderungan untuk mendiskriminasi kumpulan tertentu, sistem tersebut akan menzahirkan ketidakadilan dalam keputusan atau saranan yang dijana. Hal ini dilihat agak jelas berlaku dengan sistem AI apabila berhadapan dengan isu yang sedang membelenggu dunia pada ketika ini iaitu isu Palestin.
Hari ini telah lebih 100 hari konflik Palestin berlangsung tanpa penghujung yang jelas. Pada ketika Israel terus rakus menodai hak kemanusiaan rakyat Palestin, tanpa kita sedari algoritma AI yang kita gunakan menerusi pelbagai perisian dan media sosial turut menunjukkan sifat berat sebelah terhadap isu Palestin.
Umum mengetahui, kebanyakan platform media sosial utama menggunakan algoritma yang menyembunyikan berita-berita tentang keganasan Israel sambil menyerlahkan propaganda pengganas Zionis. Berita-berita tentang Palestin di media sosial sering diturunkan kerana dikatakan berita palsu atau mempromosikan keganasan. Dominasi teknologi oleh Barat membolehkan perkara ini dilakukan dengan mudah.
Mungkin ada yang tidak sedar, selain daripada algoritma media sosial, aplikasi-aplikasi AI generatif turut terdedah kepada kepincangan algoritma yang berat sebelah. Pengguna-pengguna aplikasi penjanaan imej berasaskan AI mempunyai kesukaran untuk menjana imej berkenaan mangsa-mangsa kekejaman Israel di Palestin. Tanpa kemahiran prom (prompting) yang kreatif, pengguna amat sukar menjana imej yang dikehendaki tersebut.
Demikian juga dengan aplikasi chatbot berasaskan teknologi AI generatif. Soalan yang diajukan kelazimannya akan menghasilkan jawapan yang sarat dengan kepincangan disebabkan data latihan yang berat sebelah.
Misalnya apabila satu aplikasi chatbot yang popular ditanya soalan, “Adakah rakyat Palestin akan bebas dan merdeka?” Antara jawapan yang dijana ialah, “Saya tidak dapat meramalkan masa depan politik atau keputusan global. Isu konflik Israel-Palestin melibatkan banyak faktor kompleks dan sejarah panjang.”
Sebagai perbandingan, chatbot yang sama ditanya, “Adakah rakyat Israel akan bebas dan merdeka?” Menarik untuk dilihat respons yang berat sebelah diberikan iaitu, “Rakyat Israel telah merdeka sejak pendirian negara Israel pada tahun 1948. Negara Israel adalah sebuah negara yang berdaulat di Timur Tengah.”
Isu Palestin sebenarnya telah mendedahkan kepincangan sistem AI yang disebabkan data latihan yang berat sebelah. Hal ini menunjukkan bahawa kebanyakan data yang digunakan untuk pembelajaran sistem AI adalah bersumberkan input yang tidak adil, tidak setara dan tidak mempunyai kepelbagaian.
Untuk mengatasi keadaan yang wujud ini, usaha perlu diambil untuk mengumpulkan data latihan dengan lebih teliti dan seimbang. Pemprograman algoritma juga perlu dilakukan dengan lebih adil dan saksama. Hal ini hanya boleh dilakukan jika wujud kepelbagaian pihak dan pandangan dalam pembangunan sistem AI.
Pada waktu yang sama, perlu ada mekanisme untuk memeriksa dan melapor sebarang kepincangan atau unsur berat sebelah dalam maklumat (misalnya teks atau imej) yang dijana oleh aplikasi AI generatif.
Sama ada disedari atau tidak, usaha untuk memperbetulkan keadaan kepincangan ini menuntut penglibatan aktif umat Islam dalam pembangunan sistem AI bagi memastikan wujud keadilan. Atas sebab itu, tanggungjawab membangunkan teknologi AI perlu dilihat sebagai satu tuntutan fardu kifayah.
Hal ini seperti yang dinyatakan menerusi firman Allah SWT menerusi ayat 8 Surah al-Maidah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Pembangunan teknologi AI perlu bermula dengan kesedaran masyarakat. Pembelajaran kendiri menerusi Program AI untuk Rakyat yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 16 Januari 2024 baru-baru ini merupakan satu inisiatif permulaan yang baik ke arah penguasaan teknologi AI.
Oleh sebab penggunaan teknologi AI, khususnya AI generatif, menjadi semakin meluas, umat Islam tidak boleh membiarkan teknologi ini dibangunkan tanpa turut terlibat sama secara aktif. Kita bermula sebagai pengguna tetapi jika kita berhenti setakat itu, maka keadilan dan kebenaran tidak dapat ditegakkan, sebaliknya retorik anti-Islam dan Islamofobia akan bermaharajalela menerusi aplikasi AI.