Ramadan yang membawa limpahan rahmat hampir tiba ke penghujungnya. Dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi, wajar dinilai kedua-dua dimensi hubungan yang seharusnya dikukuhkan sepanjang bulan mulia ini. Dimensi hubungan yang dimaksudkan ialah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia serta makhluk Allah SWT yang lain. Ibadah puasa yang matlamat akhirnya menyemai ketakwaan sekali gus dapat mengukuhkan hubungan seorang hamba dengan khaliknya. Ketakwaan ditakrifkan oleh Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari rahimahullah bermaksud menjauhkan diri daripada apa yang menjauhkan seseorang daripada Tuhannya.
Ketakwaan mendorong seorang mukmin untuk sentiasa berharap kepada Allah SWT dan bukan kepada makhluk-Nya. Hal ini jelas terlihat melalui penegasan Allah dalam hadis Qudsi bahawa ibadah puasa yang dilaksanakan demi kerana Allah, bukan selain-Nya maka Allah jua yang memberikan balasannya. Sifat orang mukmin yang terpuji ini disebut al-Quran dalam ayat 51, Surah al-Taubah yang bermaksud, “… Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang beriman bertawakal.’
Selain hubungan dengan Allah, Ramadan juga menyuburkan semangat insan beriman untuk mengukuhkan hubungan sesama manusia. Hal ini dilaksanakan melalui pelbagai bentuk amal soleh seperti sedekah yang tidak terhad dalam bentuk wang semata-mata. Ia bahkan boleh merangkumi tenaga dan masa yang diperuntukkan bagi membantu, melepaskan kesulitan, menghentikan kezaliman serta menggembirakan orang lain. Menarik jika direnung bahawa konsep persaudaraan dalam Islam begitu luas sehingga meliputi bantuan kepada saudara yang menzalimi dan lebih-lebih lagi yang dizalimi. Sebagaimana ditegaskan Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari, bantuan kepada saudara yang menzalimi adalah dengan menghentikan kezalimannya dan yang dizalimi pula dengan memberikan pembelaan serta perlindungan. Saban kali Ramadan menjelang, umat Islam di dalam dan luar negara tidak terlepas daripada insiden yang menguji mereka. Di pentas antarabangsa, kita mendengar khabar mendukacitakan tentang serangan tentera penjajah Israel atas penduduk dan jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa pada 15 April dan sehari selepas itu, serangan di masjid di Scarborough, Kanada. Serangan atas Masjid al-Aqsa yang turut mensasarkan wanita, membunuh berpuluh-puluh mangsa, mencederakan kira-kira 150 orang dan menyebabkan ratusan lagi ditahan.
Pada peringkat tempatan, jiwa kita direnggut oleh episod penderaan tidak berperikemanusiaan terhadap Bella, kanak-kanak istimewa yang mengundang simpati rakyat Malaysia. Sukar sekali menerima kenyataan ia berlaku terhadap kanak-kanak seperti Bella dan di pusat penjagan yang sepatutnya memberikan perlindungan kepadanya. Hak, penjagaan dan perlindungan yang dimiliki kanak-kanak, terutama yang memiliki keperluan istimewa seperti Bella bukan sahaja dijamin instrumen hak asasi manusia antarabangsa malah juga undang-undang tempatan. Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) misalnya menekankan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan institusi perkhidmatan yang bertanggungjawab menjaga atau melindungi kanak-kanak mematuhi standard yang ditetapkan, terutama dalam bidang keselamatan, kesihatan serta pengawasan yang berwibawa. Konvensyen berkenan juga mempertanggungjawabkan kerajaan untuk melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan fizikal atau mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau pelakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual semasa dalam jagaan ibu bapa atau penjaga.
Artikel 31 1 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 menegaskan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal atau emosi atau juga tindakan yang menyebabkan atau membenarkan kesemua perbuatan ini merupakan kesalahan. Jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya sekali. Menarik jika diteliti, perakuan diberikan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CPRD) tentang risiko lebih besar dihadapi wanita dan kanak-kanak perempuan kurang upaya, sama ada di dalam mahupun di luar rumah, untuk berhadapan keganasan, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau kecuaian, kekejaman atau eksploitasi.
Hal ini mengingatkan penulis perihal Migdalia Romero, salah seorang penghuni Willowbrook State School, New York. Migdalia yang menghadapi masalah kekurangan upaya dari sudut mental dan tidak dapat bertutur ditempatkan di institusi berkenaan, iaitu pada 1964 ketika berusia tujuh tahun. Pendedahan yang dibuat oleh wartawan, Geraldo Rivera tentang keadaan penghuni dan persekitaran yang amat menyedihkan mendorong tuntutan mahkamah dikemukakan kepada Willowbrook. Berdasarkan penyelesaian yang dicapai tanpa perbicaraan penuh pada 1975, mahkamah mengarahkan pemindahan keluar semua penghuni ke penempatan lebih kecil dan Willowbrook ditutup secara rasmi pada tahun 1993. Keputusan mahkamah tersebut disambut di New York dengan ikrar bahawa bekas penghuni memiliki “hak dari sudut perlembagaan untuk dilindungi daripada sebarang kemudaratan.” Malangnya, berdasarkan penyiasatan yang dijalankan New York Times pada tahun 2019, kebanyakan daripada 2,300 orang bekas penghuni Willowbrook masih diselubungi penderaan dan penganiayaan yang tidak berkesudahan. Data yang diperoleh New York Times menunjukkan bahawa terdapat 97 laporan penderaan fizikal, 34 dakwaan penderaan psikologi dan ratusan laporan penderaan dalam bentuk yang lain. Migdalia sendiri yang kini telah berusia dilaporkan mengalami trauma berulang-ulang sekurang-kurangnya enam bulan pada tahun 2014, di samping kesan tendangan pada tubuhnya.
Penderitaan yang dilalui Bella, Migdalia dan yang senasib dengan mereka memerlukan pembelaan sewajarnya. Kita meyakini bahawa keadilan akhirnya dapat ditegakkan dan pembelaan pasti akan berpihak kepada yang dizalimi, khususnya Bella manakala yang menzalimi akan dijatuhi hukuman yang setimpal. Begitu banyak pengajaran yang diperoleh melalui kes penderaan dan penderitaan yang dilalui Bella. Tidak mustahil juga ia membongkar banyak kecuaian dan perbuatan yang menyalahi undang-undang untuk segera dibetulkan agar tiada pihak yang menjadi mangsa. Pihak berkuasa terutamanya diharapkan mengambil langkah tegas berhubung dengan kebenaran beroperasi bagi setiap rumah kebajikan, iaitu dengan berdaftar secara sah. Selain itu, kebenaran diberi hanya kepada pihak yang benar-benar layak serta beriltizam untuk mengendalikan rumah kebajikan atau perlindungan kanak-kanak. Masyarakat awam yang mengikuti perbicaraan kes Bella pula diharap memberikan sokongan dengan sabar dan bijaksana. Komen yang diberikan seharusnya tidak sehingga berbaur penghinaan terhadap pihak yang menjadi sasaran kemarahan atau kebencian. Serahkanlah kepada hakim dan mahkamah yang bijaksana untuk menentukan keputusannya kelak. Berdoalah dengan mengambil keberkatan hari-hari terakhir Ramadan agar pembelaan buat Bella terlaksana juga akhirnya. Pembelaan dan keadilan yang dapat meringankan beban serta luka zahir serta batin yang dideritainya selama ini.