Hukama’ pernah mengatakan, “Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak (mungkin) dapat memberikan suatu apa pun…” Jika maksud kata-kata hukama’ ini mahu dikaitkan dengan amanah, jelaslah bahawa insan yang tidak memiliki sifat amanah terhadap dirinya tidak mungkin pula dapat menunaikan amanah terhadap orang lain. Dengan kata-kata lain, seseorang yang sentiasa beristiqamah dalam melaksanakan amanah terhadap dirinya akan melaksanakan perkara yang sama pula terhadap masyarakat sekelilingnya. Sama seperti sifat dan nilai mulia yang lain, amanah mempunyai peranan yang sangat besar dalam kesejahteraan kehidupan masyarakat dan kerukunan pentadbiran negara. Malah, di peringkat yang lebih luas, khususnya dalam hubungan antara kaum dan bangsa di dunia serta agama, jika sifat amanah ini sebati dalam diri individu Muslim, ia pasti dapat membentuk tanggapan yang baik dan tepat tentang agama Islam serta umat Islam keseluruhannya. Inilah yang dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hubungan Baginda dengan penduduk Quraish Makkah. Sebelum diangkat menjadi Rasul lagi, Baginda telah mempamerkan keindahan pekerti dan ketinggian budi sehingga digelar oleh penduduk Quraish itu sebagai “Al-Amin” (seorang yang beramanah dan dipercayai).
Penduduk Quraish Makkah mempercayai apa jua kata-kata serta tindakan Nabi s.a.w. dan kepercayaan mereka terhadap Baginda itu mendorong mereka menyerahkan harta dan wang mereka untuk disimpan oleh Baginda. Perkara ini berlanjutan sehinggalah Nabi s.a.w. diutus menjadi Rasul dan dalam perancangan kaum Quraish untuk membunuh Baginda, mereka sebenarnya berasa bimbang pula seandainya harta dan wang mereka yang disimpan oleh Nabi s.a.w. itu tidak akan diperoleh semula. Namun, Nabi s.a.w. membuktikan tanggapan mereka itu tidak benar sama sekali. Biar sekejam mana sekalipun Baginda serta pengikut-pengikutnya diberikan layanan oleh penduduk Quraish, Nabi s.a.w. tetap berpegang pada kejujuran dirinya. Sayyidina `Ali k.w. yang diminta oleh Nabi s.a.w. untuk tidur di tempat Baginda pada malam penghijrahan Baginda secara diam-diam meninggalkan Makkah turut diminta supaya memulangkan kembali harta milik penduduk Quraish yang sebelumnya disimpan dan dijaga dengan baik oleh Nabi s.a.w.
Pada hari ini, kita dapat melihat betapa terhakisnya nilai amanah dalam diri setiap kita. Sifat amanah tidak lagi menjadi lambang bagi umat Islam yang dapat mengundang rasa takjub dan hormat yang tinggi kepada agama Islam itu sendiri. Apa yang diutamakan hanyalah kepentingan serta keuntungan diri. Maka wujudlah antara pemimpin di dunia Islam yang tidak segan silu hidup bergelumang dengan rasuah, menggadaikan maruah serta harga diri demi takhta dan kedudukan, mengkhianati agama Islam serta umatnya yang menderita tanpa terdetik pun sebesar zarah dalam hati mereka rasa bersalah terhadap umat Islam keseluruhannya dan juga agama Islam yang dilaung-laungkan sebagai jalan hidup mereka. Maka tinggallah agama Islam bagi mereka hanya pada nama dan gelaran. Kebajikan umat dan agama Islam terabai begitu sahaja tanpa mendapat pembelaan. Sesungguhnya mereka melupai amaran yang diberikan oleh Nabi s.a.w. bahawa mereka akan disoal kelak tentang amanah yang berada pada tangan mereka semasa hidup di dunia.
Kedatangan Ramadan yang membawa sebesar-besar rahmat kepada umat Islam seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyucikan jiwa, diri dan akhlak daripada sifat-sifat keji yang bukan sahaja memberikan kesan buruk yang amat besar kepada diri tetapi juga masyarakat dan ummah umumnya. Falsafah ibadah puasa, iaitu perjuangan menentang hawa nafsu dan mendidik diri mentaati perintah Ilahi harus dihayati sepenuhnya agar matlamat ibadah yang difardukan pada bulan Sya`ban tahun kedua Hijrah ini dapat dicapai dengan jayanya.
Dengan menyedari bahawa setiap daripada kita ini memiliki amanah yang dipertanggungjawabkan pada diri, iaitu sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, “Setiap daripada kamu merupakan pemegang amanah…”, maka sewajarnya kita mengambil peluang sepenuhnya pada Ramadan ini untuk menjana nilai amanah yang tinggi dalam diri. Bagi seorang bapa misalnya, Ramadan ini wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mendidik anak-anak melaksanakan ibadah puasa dengan penuh penghayatan supaya dengan demikian, akan tersemailah pula nilai-nilai mulia seperti mentaati Allah, jujur, amanah, cenderung pada kebaikan dan sebagainya.
Bagi seorang ibu pula, Ramadan merupakan saat terbaik untuk menguji nilai amanah yang ada pada diri, misalnya dalam pengurusan harta keluarga. Ibu yang menyedari amanah besar yang ada padanya, akan memastikan bahawa perbelanjaan harta keluarga diurus dengan penuh bijaksana dan berhemah, untuk tujuan yang baik dan secara tidak boros. Maka dengan demikian, ibu akan mengambil tindakan yang bijak misalnya dalam penyediaan juadah berbuka. Juadah berbuka yang menjadi pilihan ialah yang baik lagi berkhasiat. Malah, penyediaan juadah itu juga dibuat dalam kadar yang sederhana, sekadar yang diperlukan untuk mengembalikan tenaga dan kesegaran tubuh. Justeru itu juga, ibu tidak sekali-kali terpengaruh dengan budaya berlumba-lumba memenuhi bazar-bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka secara berlebihan-lebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Malah ibu juga mengambil tindakan membuat perancangan yang bijak untuk menangani permasalahan semasa seperti kenaikan harga barang bagi memastikan perbelanjaan harta keluarga tidak dibazirkan dan hanya diperuntukkan bagi perkara yang diperlukan.
Bagi peniaga (juga lebih-lebih lagi pemborong dan pembekal) contohnya pula, Ramadan seharusnya dimanfaatkan untuk menghakis sifat mementingkan diri sendiri, mengutamakan keuntungan semata-mata dan menindas orang lain seperti pengguna. Dengan sepenuhnya menghayati semangat Ramadan, mereka akan menyedari bahawa keuntungan yang diperoleh melalui cara yang tidak benar hanya akan melenyapkan keberkatan dalam perniagaan yang dijalankan dan meluputkan peluang mereka memperoleh keredaan Allah s.w.t.. Daripada Rifa`ah r.a. bahawa pada suatu ketika beliau keluar bersama-sama dengan Nabi s.a.w. ke tempat solat lalu Baginda terlihat orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda, “Wahai para peniaga!” Mereka menyahut panggilan Rasulullah s.a.w. itu sambil menjenguk ke arah Baginda. Nabi s.a.w. bersabda, “Pada hari kiamat kelak, para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang yang jahat kecuali orang yang takut akan Allah, berbuat baik dan jujur.” Pada zaman Rasulullah s.a.w., pengawasan dan pemantauan teliti dibuat (hisbah) bagi memastikan perniagaan yang dijalankan di pasar-pasar tidak dicemari unsur-unsur penindasan serta penipuan dengan pelantikan muhtasib yang berkelayakan. Amalan ini diteruskan dan diperkemas lagi oleh Khulafa’ al-Rasyidin. Khalifah `Umar r.a. yang terkenal dengan ketegasan dalam pemerintahannya diriwayatkan membuat tinjauan di pasar-pasar dengan membawa tongkat dan memukul sebahagian peniaga yang tidak mengambil usaha untuk mendalami selok-belok perniagaan bagi membezakan antara yang halal dengan yang haram dalam perniagaan. Selain itu, beliau juga melantik pegawai-pegawai hisbah daripada kalangan lelaki dan wanita untuk mengendalikan urusan pemantauan pasar Madinah seperti al-Saib ibn Yazid dan al-Shifa’ binti `Abdullah bagi urusan yang khusus berkaitan dengan wanita.
Walau apa pun jua kedudukan kita dalam masyarakat, kita seharusnya memiliki tekad yang tinggi untuk sentiasa melaksanakan amanah yang dimiliki, apatah lagi pada bulan yang mulia seperti Ramadan. Kesungguhan kita dalam menunaikan amanah diri itulah yang akan melayakkan diri kita menjadi insan bertaqwa; golongan yang sentiasa sahaja berusaha mentaati segala perintah serta menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Memetik pandangan penulis buku Ruhuddin al-Islami, `Afif `Abdul Fattah Thabbarah, “Seseorang yang bertaqwa, memelihara dirinya daripada segala yang mengundang kemurkaan Tuhannya dan daripada segala sesuatu yang mendatangkan kemudaratan, sama ada bagi dirinya sendiri mahupun bagi orang lain.”