Sesiapa sahaja yang pernah bekerja samada bekerja di sektor kerajaan atau swasta pasti pernah melalui pengalaman bagaimana budaya ‘phd’ atau perasaan hasad dengki yang menular di tempat kerja. Budaya ‘phd” ini dikenali juga sebagai “budaya satay” iaitu budaya “cucuk-cucuk, bakar-bakar dan kipas-kipas” semakin berkembang di era digital ini.
Budaya ini mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang tetapi sebenarnya memberi impak yang sangat besar dan boleh meruntuhkan sebuah tamadun bangsa. Di era digital ini budaya hasad dengki boleh dilakukan dengan berbagai cara menggunakan berbagai platform. Reputasi seseorang yang dibina selama berpuluh tahun boleh runtuh dalam sekelip mata hanya dengan budaya hasad dengki ini.
Mantan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat agar menjauhi perasaan hasad dengki, fitnah-memfitnah, pemikiran prasangka sempit dan negatif. Baginda bertitah, sifat sedemikian tidak mendatangkan sebarang faedah kepada bangsa dan negara ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 145H/2023M pada 19 Julai 2023 dengan tema “Perpaduan Teras Malaysia MADANI”.
Hasad adalah kalimah Arab yang diterjemahkan sebagai dengki. Makhluk pertama berbuat dengki di langit ialah iblis laknatullah. Orang pertama sekali yang melakukan dengki di dunia ialah Qabil ketika dia dengki terhadap saudara kandungnya Habil sehingga berlakunya pembunuhan. Kisah Qabil ini dirakamkan di dalam al-Quran Surah al-Maidah ayat 27 hingga 32.
Begitu juga dengan kisah Nabi Yusuf yang didengki oleh adik beradik sendiri dan rancangan jahat mereka telah dirakamkan di dalam al-Qur’an Surah Yusuf ayat 9-10.
Jadi, rencana ini cuba mengupas apakah jenis-jenis dengki dan kesannya. Bermula dari dengki tumbuh pula fitnah dan dari dengki ini juga boleh berlaku cemburu, jatuh menjatuh antara satu sama lain, pembunuhan dan lain-lain.
Pertama, golongan dengki yang wujud dalam organisasi telah menyebabkan banyak pembaziran sumber manusia kepada negara. Ini berlaku apabila sahaja mereka dengki terhadap seseorang maka mereka akan usahakan untuk memberi imej negatif sehingga orang tersebut letak jawatan. Sepatutnya sumber tenaga manusia ini diguna kemahiran mereka. Fenomena dengki dalam organisasi dapat dilihat apabila ramai yang meletak jawatan disebabkan kekecewaan bukan berkaitan masalah kerja. Apabila diadakan majlis perpisahan kononnya maka mereka yang kecewa tidak akan hadir.
Saya pernah berkhidmat sebagai pekerja kepada salah seorang tokoh korporat yang mempunyai gelaran Tun yang mana saya melihat beliau sama sekali tidak akan melayan mana-mana kakitangan yang cuba untuk menceritakan keburukan kakitangan lain atau keburukan ketua kecuali perkara ini dibawa ke mahkamah dan mereka diminta untuk memberi segala keterangan sebagai saksi.
Kedua, golongan dengki era digital. Golongan ini tumbuh seperti cendawan terutama di era digital ini. Mereka ini dikenali sebagai “cybertrooper” atau tentera siber yang dibayar. Tugas mereka adalah menjatuhkan mana-mana sasaran yang mereka sasarkan. Cara mereka ialah memberi pujian yang melambung-lambung kepada orang yang menaja mereka dan memburukkan, memfitnah, menyebar berita palsu pada mana-mana orang yang menjadi seteru mereka. Fitnah mereka bukan sekadar tulisan di media sosial tetapi mereka juga menggunakan menularkan audio dan video.
Mereka ini kebiasaannya ramai dan muncul di dalam berbagai platform seperti di Facebook, TikTok, Instagram, Group WhatsApps, blog, Threads, X dan banyak lagi. Buat masa ini tidak ada kaedah khusus untuk mengekang aktiviti mereka hanya bersandar kepada Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Akta Jenayah Komputer 1997 sekiranya melibatkan elemen godam.
Ketiga, dengki di peringkat antarabangsa yang membawa kepada pembunuhan. Golongan ini lebih kepada dengki terhadap umat Islam. Ini dapat kita lihat melalui beberapa peristiwa yang berlaku seperti penghapusan etnik perang Bosnia sekitar tahun 1992 hingga 1995 telah mengorbankan lebih 38,200 etnik Bosniak.
Peristiwa Israel menyerang Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal. Angka kematian meningkat kepada 25,900 orang nyawa, manakala 64,110 lagi cedera.
Konflik umat Islam Uighur di China bermula sejak tahun 1946 lagi setelah penjajahan Kerajaan China ke atas Wilayah Turkistan Timur sehingga hari ini. Tragedi pembunuhan, perogolan, tahanan tanpa sah dan lain-lain yang melanggar hak asasi manusia. Antara yang jelas ialah diskriminasi agama Islam apabila masjid-masjid dirobohkan dan etnik Uighur dipaksa untuk tidak berpuasa dan bersembahyang dan banyak lagi.
Konflik umat Islam di Kashmir di wilayah Jammu-Kashmir yang sebahagian besar dikuasai oleh India sejak Oktober 1947 telah mengalami tragedi yang tidak dapat dilupakan dalam lipatan sejarah umat Islam apabila pembunuhan yang telah berlaku mengorbankan 300,000 hingga 500,000 Muslim Kashmir. Ribuan wanita Kashmir telah dirogol.
Islam datang dengan membawa mesej kehidupan yang harmoni dan gaya hidup yang mesra sesama manusia. Namun, dengki dalam hati manusia menjadi cabaran untuk mendukung kesejahteraan dan keharmonian ini. Perasaan dengki yang telah bersarang dalam hati yang hitam tidak dapat dihapuskan kecuali mati.
Di dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang berkaitan dengan perasaan dengki ini. Antaranya:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” [Surah An-Nisa’:32] .
Namun terdapat juga hadith yang memberi pengecualian dalam sifat hasad dengki ini. Sabda Rasullulah SAW :
Maksudnya: “Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya”. [Sahih al-Bukhari (73)]
Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan:
Maksudnya: “Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang”. [Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)]
Akhir sekali, golongan dengki ini telah lupa bahawa adanya balasan di akhirat nanti yang menanti mereka walau sebesar zarah sekali pun keburukan yang mereka lakukan ketika di dunia ini tetap dihitung.
Jika kita rujuk kepada Surah al-Zalzalah (Gegaran) yang menceritakan bahawa apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang dahsyat sehingga terbongkar segala isinya yang terpendam. Maka, pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka.
“Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalnya)” [Surah al-Zalzalah:7-8] .
Apabila dengki telah bersarang di hati maka bisikan dari syaitan untuk melakukan fitnah pula. Dalam al-Quran, perkataan fitnah disebutkan di 34 tempat dan digunakan untuk erti atau makna yang berbeza.
Hukum fitnah jelas haram dan ditegah dalam hukum syarak. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Baginda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Huzaifah: Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) – [HR al-Bukhari 6056 dan Muslim 105].
Penyesalan sudah tidak bermakna sekiranya kita telah dihumban ke dalam neraka akibat mulut kita yang memfitnah ketika di dunia dahulu. Sesungguhnya azab Allah SWT itu amat pedih. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang pedihnya azab Allah SWT antaranya “Di belakangnya disediakan neraka Jahanam dan ia akan diberi minum dari air nanah (yang keluar dari tubuh ahli neraka). Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah sedang ia tidak pula mati dan selain itu ada lagi azab seksa yang berat [Surah Ibrahim:16-17].