Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 buah negara berbanding tangga 51 pada 2019. Walaupun ramai pihak yang mempertikaikan cara indeks tersebut dihasilkan, termasuk juga sejauh mana indeks tersebut menggambarkan kedudukan sebenar rasuah sesebuah negara berbanding dengan sekadar “persepsi” sahaja seperti mana yang digambarkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila negara yang menduduki kedudukan (ranking) rasuah tertinggi di dunia ialah negara seperti Somalia, Syria, Yemen, Sudan dan negara-negara umat Islam yang lain.
Kalimah “rasuah” adalah antara sejumlah kalimah Arab yang dianggarkan sekitar 2000-3000 kalimah yang diserap masuk ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Ia berasal daripada kalimah Arab “rasha” yang bermaksud menerima / memberi rasuah, berlaku korup, bersedia untuk “dibeli”. Dalam masyarakat kita kalimah rasuah dilihat begitu menjijikkan namun bagi mereka yang masih ingin terlibat dalam perlakuan yang menyalahi undang-undang, tidak bermoral dan tidak mengikut peraturan atau prosedur sebenar, mengikut jalan ekspres, pintas atau seumpamanya tidak lagi menggunakan kalimah “rasuah” ketika berurusan tetapi menggunakan kalimah-kalimah lain seperti “duit kopi”, “wang pelincir”, “duit minyak”, “win–win” atau pelbagai kalimah-kalimah lain yang “disucikan” demi menghalalkan rasuah yang haram dan keji itu.
Adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila masih ramai umat Islam yang terlibat dengan rasuah sedangkan amatlah jelas sekali mengambil atau memberi rasuah hukumnya haram. Al-Quran menyebut bahawa memakan harta secara jalan salah (batil) dilarang sama sekali dan rasuah ialah salah satu dari jalan batil tersebut. Dalam surah al-Nisa’ ayat 29-30, Allah SWT menyebut yang mafhumnya:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah.
Islam ialah agama yang mementingkan kesucian dan kebersihan bukan sahaja suci bersih dari segi zahir, tetapi suci bersih dari segi batin atau rohani. Ada perkara yang diharamkan kerana zahirnya atau zatnya seperti pengharaman memakan daging babi, meminum arak dan seumpamanya dan ada juga sesuatu itu diharamkan dari segi hukum atau maknawi antaranya seperti memakan riba; memakan binatang yang walaupun halal seperti ayam dan lain-lain, tetapi tidak disembelih; atau “memakan” (mengguna) rasuah. Hampir semua orang Melayu Islam di negara kita ini akan jijik untuk memakan daging khinzir yang haram itu, tetapi sebahagian mereka yang jijik dengan khinzir itu tidak jijik untuk memakan rasuah padahal kedua-duanya adalah sama dari segi hukumnya iaitu haram. Yang satu haram dari segi memakan zat atau fizikalnya (haram lidhatihi), yang satu lagi haram dari segi mengambil/ memberi atau terlibat dengan rasuah itu (haram lighayrihi). Ada juga yang menggunakan wang kotor seperti rasuah itu yang telah “disucikan” dengan menggunakannya untuk tujuan baik dan kebajikan seperti untuk mendirikan haji, atau menaja orang lain mendirikan umrah atau haji, atau bersedekah sebahagiannya kepada masjid, pusat tahfiz, madrasah atau rumah anak-anak yatim dan seumpamanya. Ada juga segelintir yang bimbang dan lebih berhati-hati dengan wang haram rasuah jika dibeli makanan akan menjadi tidak berkat kerana ia memberi kesan menjadi darah daging untuk anak-anak dan isteri, lalu digunakan untuk perkara-perkara lain seperti membeli barangan, menukar tayar kereta dan pelbagai lagi asalkan bukan berbentuk makanan. Mereka ini berandaian dengan tindakan sedemikian ia mampu mengubah wang yang “haram” itu menjadi “halal” dan kononnya tidak akan memberi apa-apa kesan tidak baik. Hakikat sebenar ialah sedekah atau perbelanjaan yang digunakan walaupun untuk selain membeli makanan ia tetap haram dan tidak diterima oleh Allah SWT. Dia tidak boleh sama sekali beranggapan dan merasa selesa bahawa wang rasuahnya itu telah berjaya dibersihkan atau disucikan sedangkan Allah sama sekali tidak menerima amalan kebajikan beliau itu. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu thoyyib (baik). Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang thoyyib (baik).“ (HR. Muslim no. 1015).
Sepatutnya kita umat Islam yang mukmin bukan sahaja menjauhkan sumber yang jelas haram hukumnya tetapi juga mengelak daripada terjebak ke dalam sumber yang samar (subahat) hukumnya kerana bimbang nanti terjerumus ke dalam perkara yang haram. Penglibatan seseorang dalam rasuah itu juga ialah cerminan kepada kekuatan iman yang dimilikinya, dan sekiranya dia sanggup memakan rasuah yang diharamkan Allah SWT dan bersedia dihumban ke dalam neraka, itu petanda betapa nipisnya keimanan beliau.