Golongan remaja sewajarnya perlu berusaha untuk belajar menjadi seorang remaja yang lebih bertanggungjawab dan beretika ketika melayari internet. Ungkapan ini bukan ingin menuduh bahawa golongan remaja tidak bertanggungjawab ketika di dunia siber, dan tidak juga mengiyakan bahawa mereka ini lebih beretika lagi ketika di alam nyata kehidupan seharian mereka berbanding di alam siber. Ini memandangkan kurangnya kajian secara empirikal dan mendalam berhubung dengan salah laku moral remaja ketika di internet dan kaitannya dengan kegiatan mereka ketika di luar alam siber. Malah penulisan ini sebenarnya cuba melihat perilaku yang berada di luar etika dan norma kemasyarakatan yang sering kali dikaitkan dengan golongan remaja ketika berinternet dan hubungannya dengan kehidupan realiti mereka. Namun apa yang pasti, kegiatan tidak beretika di alam siber sudah tentu akan mengundang golongan ini untuk terjebak dengan pelbagai gejala salah laku moral, baik di dunia siber, mahupun di alam nyata.
Perspektif masyarakat menilai golongan remaja sebagai kumpulan berisiko tinggi terlibat dengan pelbagai bentuk gejala salah laku sosial dan moral seperti suka bergaduh, gangsterisma, berlumba haram, merokok, melepak, ponteng kelas, peras ugut dan sebagainya. Terdapat segelintir mereka telah pun terlibat dengan kegiatan jenayah yang amat berat seperti kes bunuh, rompakan bersenjata dan lain-lain lagi. Timbul persoalan mengapa golongan remaja sering dikaitkan dengan pelbagai bentuk gejala salah laku seperti ini. Jawapan yang sering diacuankan kepada umum pula ialah peringkat kehidupan remaja merupakan satu fasa peralihan dari zaman kanak-kanak yang tidak matang kepada satu kehidupan alam dewasa yang lebih bebas dan berkuasa. Mereka berada di tengah-tengah antara dua kelompok generasi masyarakat ini. Maka perilaku dan pemikiran mereka belum mantap, ada ketika berkelakuan seperti kanak-kanak dan pada ketika yang lain sering memberontak bagi mendapatkan kedudukan istimewa sebagai individu dewasa yang lebih bebas, tiada kongkongan dan berautoriti. Mereka terlalu individualistik atau ’egosentrik’ Dan pertembungan antara dua generasi dalam satu jiwa ini menjadikan mereka sering kurang stabil dari segi emosi dan pemikiran, kerap memberontak dan tidak sehaluan dengan generasi yang berbeza identiti dari meraka. Pada peringkat ini, remaja akan sentiasa mencari arah haluan bagi membentuk siapakah identiti diri mereka yang sebenarnya. Pencarian ini akan berakhir apabila model identiti yang lebih sesuai dengan fitrah mereka ditemui, lantas dimantapkan dengan beberapa ciri-ciri tertentu yang menjadikan mereka sebagai insan yang unik.
Pada peringkat perkembangan kritikal seperti ini, golongan dewasa dan ibubapa perlu menyedari hakikat bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk membantu membina golongan remaja membentuk personaliti dan sahsiah di dalam lingkungan peradaban yang murni. Malah, para remaja itu sendiri sewajarnya turut membantu diri mereka dengan berusaha mendidik dan membentuk diri dan kehidupan mereka agar sejajar dengan norma-norma murni kerohanian dan kesusilaan. Ini bukannya satu harapan yang terlalu ideal sifatnya atau terlalu sukar untuk digapai, dan golongan remaja pula tidak perlu melihat ia sebagai satu kongkongan atau pertembungan di antara naluri keremajaan mereka sebagaimana menurut teori-teori yang telah sekian lama diacuankan kepada umum, dengan peraturan masyarakat yang dilingkungi norma-norma yang murni. Pertembungan seperti inilah yang dilihat masyarakat cendikiawan sebagai titik asas kepada konflik yang menghantui diri remaja.
Sesuatu yang tidak wajar dialpakan, dalam era letusan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ketika ini, konflik naluri remaja telah menjadi semakin akrab dan jitu, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan apa yang diungkapkan sebagai kelahiran ’millennials’ atau ’Generasi Y’. Mereka yang dilahirkan antara tahun 1980an sehingga penghujung 2001, telah menjadikan internet, terutamanya laman web berkaitan jaringan sosial (social networking) seperti You Tube, Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya, sebahagian dari hidup mereka. Trend ini sejajar di serata pelosok dunia, termasuk di negara ini. Pengaruh aktiviti internet seperti ini dalam kehidupan mereka amat besar. Malah, kajian di Amerika Syarikat mendapati satu pertiga aktiviti internet adalah berkaitan laman web sosial serperti itu, dan ia begitu popular di kalangan para remaja.
Di negara ini, remaja berusia antara 15-19 tahun mewakili peratusan terbesar pengguna internet, iaitu 17.9% pada 2008, berbanding kumpulan umur lain.Apa yang amat dikhuatiri adalah kesan dari penggunaan teknologi ini yang akan memburukkan lagi konflik yang telah sedia ada dalam jiwa remaja. Ini kerana dalam peringkat usia sebegini, golongan remaja masih lagi melalui proses perkembangan dan kematangan intelek, emosi dan sosial. Namun, ketaksuban ruang dan masa di dunia maya tidak akan membantu mereka menjalani proses perkembangan ini secara sihat dan teratur. Bahkan ini akan menjadikan mereka keliru dan tidak mampu menilai apakah gambaran interaksi sosial yang sebenarnya. Interaksi sosial pada mereka adalah bersifat’virtual’, penuh kebebasan, malah sesuatu yang bersifat peribadi dialam nyata, tetapi di dunia siber, pengertian peribadi telah berbeza. Ia boleh di perbahaskan secara meluas, bebas dan tanpa sekatan. Lantaran itu, pada mereka, inilah interaksi yang sebenarnya. Memandangkan para remaja terlalu individualistik dan ’egosentrik’, sikap menghormati hak dan kewujudan orang lain dalam kehidupan mereka, sebagaimana di dunia siber, tidak wujud sama sekali di alam nyata. Interaksi secara bebas tanpa sekatan di alam maya lebih membentuk diri mereka melihat norma kehidupan alam nyata sebagai sekatan kepada kebebasan yang mereka idamkan. Ini akhirnya memberi kesan negatif kepada perkembangan personaliti golongan ini. Maka itu, timbul pelbagai gejala salah laku moral dan etika para remaja, bukan hanya ketika berinteraksi di internet, malah akan terbawa dalam kehidupan di alam nyata. Di antara contohnya seperti bertutur dalam bahawa yang kasar dan lucah, penyebaran bahan-bahan berbaur fitnah dan lucah, serta pelbagai lagi.
Namun isu yang timbul dan perlu diberi penekanan mendalam adalah perkaitan perilaku remaja dalam dunia siber dengan dunia nyata mereka. Apakah remaja mempunyai persepsi yang berbeza antara dunia siber dengan dunia nyata? Adakah remaja yang rendah perilaku moralnya ketika melayari internet akan juga melakukan salah laku moral dalam kehidupan seharian mereka di alam nyata? Benarkah jenis salah laku moral yang sama dilakukan remaja ketika di internet akan turut dizahirkan di alam nyata? Atau benarkah remaja yang baik perilaku moralnya di alam nyata akan turut mempamerkan tingkahlaku yang baik ketika melayari internet, dan lebih beretika lagi di dunia maya, serta tidak terlibat dengan gejala-gejala yang telah disebutkan terdahulu apabila melayari internet? Kajian mendalam dan intervensi khusus perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kehidupan dunia dibarisi oleh mereka yang berfikiran seperti robot dan gagal membezakan antara realiti dan ilusi.