Rantaian pembangunan dalam teknologi pengeluaran barangan dan perkhidmatan nampak seolah-olah mengalami satu pusingan. Apabila tiba ke tahap matang, ia akan berpusing mengulangi penemuan terdahulu untuk diulangkeluarkan. Perubahan pasaran yang memperkenalkan barangan atau perkhidmatan mengulangi cetusan fikrah lampau untuk disesuaikan dengan keperluan semasa. Tumpuan telah beralih dari menjanakan barangan dan perkhidmatan baru kepada menjenamakan barangan dan perkhidmatan sedia ada. Akibat dari persaingan yang begitu rancak, penjenamaan semula menjadi berleluasa dan apa yang dibimbangi ialah ia dikaitkan dengan Islam.
Umat perlu mempersiapkan diri dalam usaha memelihara kesucian Islam dari terdorong oleh kerakusan penjenamaan yang hanya semata-mata ditunggangi oleh kepentingan yang tidak seimbang dan tidak adil. Pandangan sejagat manusia terhadap sesuatu diwarnakan oleh cermin akalnya. Pembinaan fikrah yang berdusturkan kepada kalimah yang dikumpul oleh himpunan pendedahan deria dan panduan syarak bagi yang celik mata hati, kemudiannya membentuk rangka kefahaman. Manakala bagi yang semata-mata mencernai akal pula tanpa syarak sering melatah apabila tahap kemunasabahan yang disimpulkan ternyata bercanggah atau memberi kesan sampingan.
Begitulah keadaan sandaran nama ‘Islam’ yang dibuat kepada amalan kewangan, pemakanan dan barangan serta pendekatan-pendekatan tertentu. Label ini berperanan sebagai papan tanda yang diletakkan dimuka pintu sedang tubuhnya tidak selari. Tujuannya tidak lain kecuali untuk menjadi daya menarik, memberitahu, membentuk keyakinan akan kebaikannya dan memancing kesanggupan pihak berkaitan menjadi pelanggan. Dengan tanpa berkeyakinan terhadap sandaran itupun, ia boleh diletakkan oleh sesiapa sahaja kerana bukan keyakinan sebenar yang dihajati tetapi tarikan sandaran tersebut yang menjadi matlamat.
Akibat dari ketidakseimbangan matlamat dan rupa luaran ini, kesannya boleh memudharatkan pandangan terhadap Islam sendiri. Memang bukannya menjadi satu kesalahan label ini digunakan tetapi adalah menjadi satu syarat bahawa faham Islami dicerapi ke seluruh tubuhnya dan menjadi kesalahan sekiranya label ini dipergunakan untuk kepentingan. Kebanyakan amalan dikaitkan dengan Islam disalahgunakan sehingga berlakulah rasuah kalimah dan fitnah terhadapnya. Perkembangan terkini dalam industri kewangan dan makanan sebagai bukti apabila barangan dan perkhidmatan yang tidak baik dan memberi kesan buruk dikeranakan Islam. Islam diperlecehkan kerana keburukan barangan dan perkhidmatan tersebut, padahal ia sebenarnya tidak selari dengan asas yang digariskan oleh Islam.
Asal barangan baru diperkenalkan di pasaran, maka ‘Islam’ atau perkaitannya digunakan. Sama ada memancing pengguna Muslim atau berpura-pura setuju dengan ketinggian Islam. Memang Islam tidak tertanding dalam pasaran atau dalam apa saja keadaan kerana Islam ini tinggi dan akan meninggikan apa saja yang dikaitkan dengannya. Islam datangnya dari Pencipta sendiri dan tidak ada apa yang dapat menandinginya. Namun, amanah menjaga kesucian perlu wujud dengan mendaulatkannya dan mencegah penyelewengan yang berterusan. Semakin lama kematangan dikumpul oleh dustur deria yang seleweng kesannya memberi pandangan alam Islami yang salah bukan sahaja di kalangan bukan Muslim malah Muslim sendiri menjadi makin keliru. Apa yang digadaikan oleh umat adalah satu-satunya perkara paling tinggi yang dimiliki iaitu agamanya. Lambat laun, bukan sahaja kelengkapan bersuci di bilik air dimukminkan, malah nama Islam sendiri dijaja untuk pasaran.
Sejarah kiblat pengurusan kewangan dari aturan perbankan barat kini dengan hebatnya menampakkan diri seolah-olah menukarkan arahnya. Namun, pendekatan sekular yang cuba dijenamakan semula oleh hampir kebanyakan institusi kewangan tidak menitikberatkan kerangka sebenarnya faham Islami. Sehinggalah ada yang tiba ke peringkat membolehkan apa yang tidak dibolehkan. Ranting hukum diabaikan malah ditukar bagi menjayakan rencana penjenamaan semula. Sering sekali pisau yang gunanya untuk memotong digunakan untuk tujuan kerosakan. Begitu juga dengan memetik pendapat ulama yang dhaif atau salah konteks dihujahi bagi menyokong kepentingan yang dihajati.
Islam adalah agama dan cara hidup. Kenapa kita ingin mengaitkan dengan Islam sekiranya matlamat sebenarnya tidak Islami? Bahagian pertama persoalan ini telah kita fahami dari perbincangan di atas iaitu kerana ketinggian Islam sendiri. Persoalan lain pula ialah apakah sebenarnya matlamat Islami? Untuk memahami matlamat Islami, seseorang perlu menyelami makna ketundukan jiwa kepada Pencipta Yang Esa dan perkaitan antara amalan yang dilakukan dalam seluruh kehidupannya. Namun, yang paling mudah disimpulkan adalah kembalinya seseorang menjadi dan mencari fitrah diri dengan tunduk dan patuh sepanjang detik kepada perintah dan mencegah diri dari laranganNya. Tidak ada lain dalam hal ini kecuali memahami rungkaian tentang maksud Syahadah. Kesimpulan kepada jawapan ini ialah orang yang ingin meletakkan Islam sebagai matlamat sebenarnya mestilah juga menjunjung syahadah dengan sebenar-benarnya. Dengan kata lain, bersaksi dengan ketuhanan terhadap Allah dan rasulNya Muhammad s.a.w.
Percaya kepada Allah dan RasulNya membawa bersama yakin dengan kandungan al-Quran. Apa perlunya kepenggunaan halalan thoiyyiba dalam kehidupan? Kenapa ada kecenderungan menyembunyikan riba dalam muamalah? Mungkin sikap tolak ansur membenarkan umat leka sehingga lupa diri menjadi mangsa. Penyalahgunaan halalan thoiyyiba, penjenamaan semula riba, menukar kalimah ke Bahasa Arab atau menggunakan nama-nama Islami sebagai nama syarikat merupakan antara gejalanya. Walaupun pengaruh ini dalam satu sudut pandangannya nampak baik, tetapi syarat akur dan tunduk kepada aqidah, muamalah dan akhlak Islami menjadi kemestian.
Untuk merungkai kecenderungan mempergunakan ungkapan ‘Islam’ bagi tujuan kepentingan yang tidak bersesuaian, satu kaedah kawalan perlu diperkenalkan. Mungkin kawalan ini agak keterlaluan tetapi sudah tiba masanya sekurang-kurangnya kita mempersiapkan diri dalam keadaan bersedia. Setelah diteliti, syarat utamanya disimpulkan bahawa sesiapa yang ingin membuat sandaran kepada Islam mestilah terlebih dahulu menjadi seorang Muslim. Nampaknya macam mudah tetapi mampukan kita laksanakan? Sudah pasti akan ada orang yang akan bangun berhujah mempertikai syarat ini. Sudah juga sampai masanya undang-undang syariah memikirkan kepentingan muamalah selain dari semata-mata berurusan dengan undang-undang keluarga. Siapa yang akan memperkembangan kematangan undang-undang pengurusan Mal, aqad atau Muamalah?
Ranting hukum tidak terhad kepada taklifi semata-mata tetapi melangkaui hukum tabi’i, hukum adat dan hukum akal. Umat perlu memperincikan satu persatu untuk memastikan hukum ini berperanan sebagai panduan dan halangan paling berkesan dalam urusan aqidah, akhlak dan muamalah. Kalau inipun kita tidak mampu, bagaimana mungkin kita mampu berdiri menghadapi medan yang lebih mencabar lagi. Atau mungkin ada di kalangan kita yang tidak faham atau pura-pura tidak faham. Orang yang tahu belum pasti faham tetapi orang yang faham pasti akan tahu. Sesungguhnya di antara tahu dan faham itu terdapat satu tembok pemisah. Tahu tanpa faham tidak sedayanya membawa apa-apa kesan. Sebagai pengguna pula, kebijaksanaan memilih perlu ditingkatkan dan dijadikan satu kewajipan agar tidak terus tertipu.