Untuk memberi panduan kepada halatuju perlaksanaan zakat, asas falsafah zakat perlu difahami. Memahami zakat secara falsafah akan mempengaruhi bagaimana perlaksanaan zakat dapat dihayati secara sempurna dan berkesan dengan perubahan keadaan dan budaya hidup sesebuah masyarakat. Tanpa asas tersebut perlaksaaan zakat akan bercorak teknikal dan mekanikal (tanpa hikmah).
Al-Quran pada hakikatnya merupakan sebuah falsafah hidup manusia yang maha agung dikurniakan Allah untuk merancang sistem hidup manusia supaya tegak di atas landasan takwa yang menjamin kebahagiaan mereka. Allah s.w.t. berfirman dengan maksud:
“Mereka yang kami kurniakan kitab, mereka mengikuti pangajaran dengan sebenar-benar ikutan, mereka itulah yang sanggup beriman dengannya”
(Al-Baqarah: 121)
Tujuan utama diturunkan Quran ialah menegakkan keadilan dan memupuk semangat kasih sayang dalam kesemua bidang dalam kehidupan manusia. Melalui Panduan Al-Quran usaha yang bersungguh perlu dilaksanakan untuk mendidik individu dan menyusun masyarakat manusia semoga wujudnya sebuah peradaban yang mulia. Dalam konteks penulisan ini persoalan yang perlu dikemukakan bagaimana zakat boleh menyumbang ke arah pencapaian matlamat tersebut?
Zakat adalah Rukun Islam yang ketiga. Keagungan Islam bergantung rapat dengan perlaksanaan dengan sempurna rukun-rukun Islam yang lima dalam kehidupan masyarakat. Kesemua rukun-rukun tersebut perlu dirangkumi secara syumul dalam menyusun pembangunan masyarakat. Ini dapat dibukti dari hadis berikut: Dari Ibnu Umar r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dasar (pokok-pokok) Islam itu ada lima perkara: Mengakui tidak ada Tuhan selain Allah, dan mengakui bahawa Muhammad itu Rasul Allah; Menegakkan shalat (sembahyang); Membayar zakat; Menunaikan ibadah haji; dan Puasa bulan Ramadhan
Mengikut Panduan al-Quran, terdapat delapan puluh dua (82) ayat yang berbeza tetapi mempunyai maksud yang sama seperti dalam Surah al-Nur: 37; al-Baqarah: 177; dan al-Baqarah: 277 iaitu, “Dan hendaklah mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat”
Kedudukan dan peranan zakat seperti yang terkandung dalam al-Quran di atas sangatlah penting. Justeru itu para ilmuwan Muslim perlu memahami dan mengambil prinsip-prinsip utama dalam al-Quran untuk dijadi garis panduan untuk melaksanakan zakat dalam menyusun masyarakat Islam setempat dan semasa.
Jika diperincikan ayat-ayat al-Quran, kita dapati dalam al-Taubat: 103, Allah s.w.t. menentukan golongan individu yang diwajibkan zakat:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”
Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menfardhukan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta mereka, diambil dari kalangan orang kaya dan diberi kepada kalangan orang fakir.”
Pada golongan Pemerintah, Allah s.w.t. memperingatkan dalam al-Hajj: 41 dengan maksud: “Mereka (umat Islam) jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat serta mereka menyeru berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.”
Al-Quran juga dalam surah al-Taubah: 60, Allah s.w.t. menyenarai golongan penerima zakat dengan berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada ) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.”
Dari panduan al-Quran dalam usaha melaksanakan zakat, dua golongan iaitu individu dan pemerintah perlu memiliki halatuju dengan tanggungjawab yang jelas. Kedua-dua mepunyai peranan dan kedua-dua memperoleh manfaat dari perlaksanaan zakat.
Di peringkat individu beberapa manfaat berikut akan diperolehi:
· Membersih jiwa dari sifat bakhil, kedekut dan rakus yang seterusnya menjana individu kepada amalan sedekah dan wakaf. Amalan tersebut menjurus
kepada keadilan masyarakat tercapai.
· Menanam semangat tanggungjawab kepada individu terhadap kepahitan kehidupan golongan yang daif. Memupuk budaya kasih sayang dan
membangun masyarakat secara muafakat dan bersama.
· Berusaha semoga setiap individu penerima menjadi pembayar zakat. Kecapaian tersebut membolehkan setiap individu berada di atas garis kemiskinan
dan dapat berperanan dalam kehidupan pada tahap yang terbaik.
Melalui perlaksanaan zakat, semangatnya akan menjadi panduan kepada Pemerintah dalam menggubal dasar fiskal negara. Dasar fiskal dan kewangan yang mantap, akan menghala kepada kestabilan ekonomi (mencapai guna tenaga penuh, kos sara hidup yang rendah dan sebagainya) dan pengaliran harta secara teratur dan berkesan akan tercapai. Kejayaan tersebut membolehkan negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. Disamping itu kerajaan akan dapat meningkat jumlah tabungan dan pelaburan dalam ekonomi. Ia juga akan meningkat paras keseluruhan kepenggunaan negara hasil daripada kemantapan prestasi ekonomi yang disertai dengan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan.
Dalam suasana semasa tumpuan yang paling penting ialah kepada wujudnya sistem Pengagihan Dana Zakat yang berkesan (Sistem Penyampaian). Ruang untuk menambahbaik dalam perkara ini perlu diberi tumpuan dengan bersungguh-sungguh.
Cadangan yang boleh difikirkan ialah melalui menaik taraf peranan institusi masjid sebagai institusi terpenting pada sesebuah qariah dengan berperanan secara syumul kepada keperluan penduduk setempat dan semasa. Fungsi utama masjid sebagai Pusat Kehidupan masyarakat berperanan dalam tugasan berikut:
· Meningkat kefahaman dan penghayatan agama melalui program pendidikan.
· Bertanggungjawab kepada wujudnya sistem punggutan dan pengagihan zakat di setiap qariah.
· Mengendali urusan wakaf untuk kebajikan dan kemajuan qariah.
· Membantu masyarakat setempat dalam hal-hal kebajikan.
Oleh itu, pentadbiran masjid perlu dinaik taraf dari pada status yang sedia ada. Keutamaan pengurusan masjid perlu memberi tumpuan kepada kewujudan jawatan-jawatan mengikut peranan. Pengarah Masjid dengan itu perlu mempunyai pembantu dalam bahagian pendidikan, zakat, wakaf dan kebajikan qariah. Pentadbiran masjid mengikut peranan berikut mampu menjadi masjid sebagai pusat menyusun kehidupan bermasyarakat dalam sesebuah qariah.
Perubahan untuk jangka panjang bersandarkan falsafah dan peranan zakat, adalah semangat dan sistem zakat perlu menjadi asas kepada penggubalan dan perlaksanaan dasar fiskal negara
Zakat yang bertaraf Rukun dalam Islam hendaklah menjadi asas terpenting dalam penggubalan dasar fiskal negara. Kemampuan melaksanakan matlamat tersebut membolehkan ia mempengaruhi penyusunan ekonomi negara. Kesan kepada kedudukan dan perjalanan ekonomi negara akan bermakna. Seterusnya juga kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Kesan zakat kepada ekonomi negara jika ia manjadi panduan kepada penggubalan dasar fiskal dapat mempengaruhi dalam perkara berikut:
· Sistem punggutan hasil negara;
· Sistem pembiayaan negara;
· Membasmi kemiskinan;
· Mengurangkan jurang kekayaan dan pendapatan di kalangan individu dalam masyarakat;
· Memantap keseluruhan tabungan dan paras kepenggunaan individu;
· Mengurangkan ketirisan dalam aliran pendapatan dan perbelanjaan dalam ‘circular flow of income and expenditure model’. (Melibatkan sektor isi
rumah, firma, kerajaan dan luar negara) Pembekuan harta disebabkan gelagat individu atau ketidak cekapan dasar dan institusi ekonomi jika berlaku
adalah zalim.
· Memupuk keharmonian masyarakat dan ekonomi melalui peningkatan tanggung jawab individu kepada kepentingan masyarakat umum.
Jika langkah jangka panjang menjadi kenyataan, kesan zakat kepada pembinaan sahsiah individu dan penyusunan masyarakat akan tercapai. Seterusnya ia membolehkan sebuah peradaban yang mulia dapat dihasilkan. Begitulah besarnya peranan zakat yang mempunyai kedudukan sebagai salah satu dari lima rukun Islam.