Teknologi bukan sahaja memungkin sesuatu yang mustahil berlaku, malah mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan serta menjimatkan kos. Begitulah dimensi baru dalam teknologi kewangan yang memaksa model perniagaan baru dicetuskan seiring revolusi industri 4.0 yang melanda abad ini. Pembangunan teknologi sekaligus memaksa paradigma diufukkan ke jangkauan pelbagai kemungkinan dan kawalan agar risikonya dibendung atau sekurang-kurangnya berada dalam radar jangkaan.
Terma ‘fintech’ kini makin popular dalam enjin carian di laman sesawang. Bagi yang belum memasukkannya ke dalam kamus hidup, bolehlah mula mengenali ‘fintech’ kerana ia merupakan peluang serta masa depan perniagaan dan kewangan. Fintech (singkatan perkataan bahasa Inggeris: financial technology) atau tekno-wang merupakan satu terma baru yang menjelaskan tentang penggunaan teknologi dalam urusniaga kewangan.
Lanskap kewangan hari ini dilanda oleh hambatan teknologi yang mengubah seluruh eko-sistem, malah sebahagian mengatakan bahawa pemain-pemain utama industri sekarang akan kehilangan fungsi tradisinya jika gagal berkembang mengikut perubahan ini. Menurut kajian, 20 peratus penawar perkhidmatan kewangan semasa (termasuk pentadbiran kewangan pusat) mempunyai risiko langsung tekno-wang. Tidak terkecuali dari aspek peluang pekerjaan generasi akan datang juga bakal turut berubah. Inovasi tekno-wang memperkenalkan 11 kluster baru bagi melengkapi 6 kluster rentas kewangan tradisi iaitu insuran, deposit dan pinjaman, pembiayaan dana, pengurusan pelaburan, provisi pasaran dan sistem pembayaran.
Berdasarkan kajian terhadap impak tekno-wang Asia pada Ogos 2017, syarikat daripada China berurusan dalam tekno-wang (melibatkan urusniaga transaksi pembayaran bernilai US$140 juta) diikuti syarikat daripada India (US$123 juta-transaksi pembayaran), Australia (US$80 juta-pembiayaan perniagaan atau B2B) dan Singapura (US$50 juta-insuran) (kajian oleh KPMG International, data disediakan oleh PitchBook). Malaysia yang mengungguli carta celik IT (teknologi maklumat) mempunyai potensi yang sangat besar dalam tekno-wang.
Urusniaga yang dulunya tidak pernah terfikirkan, kini mendominasi industri seperti skim biayaan orang ramai (dikenali sebagai crowdfunding; dana dikumpulkan daripada orang ramai sama ada untuk kegunaan perniagaan, wakaf atau derma bakti dan dialirkan kembali kepada orang ramai) dilakukan melalui internet; merupakan segmen tekno-wang yang paling popular dan mempunyai potensi yang tinggi untuk gunatenaga generasi muda dan peluang perniagaan.
Wajah-wajah industri telah berubah. Perkara yang sama berlaku dalam peruncitan, pembidaan, pembiayaan, penyewaan, perkhidmatan, penerbitan, penghantaran, pembaikpulihan, makanan, perhotelan dan banyak lagi industri yang menggunakan teknologi dan transaksi atas talian.
Tekno-wang menakluki model perniagaan tradisi agar bersedia mencabar rekayasa dan dayacipta baru untuk terus bernilai saing atau hilang ditelan zaman. Dijangkakan pada tahun 2020, platform teknologi berupaya menyediakan sebuah bandar pintar, pemanduan kawalan robotik, sistem berasaskan analisis terjangka (predictive analytics) dan teknologi berkecerdasan manusia.
Sudah pasti kebebasan, kemudahan, kecekapan dan keberkesanan pergerakan dana dan maklumat secara maya dalam industri berasaskan tekno-wang memudahkan banyak pihak. Bagi kaum Muslimin, garis panduan syariat perlu diutamakan dalam menghadapi cabaran dan risiko tekno-wang. Unsur-unsur melibatkan penindasan, diskriminasi, ketidakpastian (gharar), kezaliman, monopoli dan penyalahgunaan perlu sentiasa dijadikan perisai transaksi dan urusniaga tekno-wang kerana garis umum syariat ini merupakan pengukur kepatuhan dan tadbir urusnya.