Dunia kini sedang pantas menuju ke satu lagi fasa evolusi perindustrian yang lebih dikenali sebagai fasa revolusi perindustrian 4.0. Ia berlaku sebagai kesinambungan kepada ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan. Jika sebelumnya, revolusi perindustrian itu lebih dicirikan oleh capaian teknologi maklumat dan dunia yang mampu berhubung pada peringkat global secara bebas dan telus, namun kini tahap evolusi perindustrian itu telah memasuki satu lagi fasa masa hadapan yang berlaku sebagai kesan secara langsung daripada revolusi teknologi maklumat.
Revolusi industri 4.0 atau secara mudahnya lebih dikenali sebagai IR. 4.0 itu dicirikan oleh pelbagai teknologi terkini dan futuristik seperti teknologi automasi, machine learning dan big data, kepintaran buatan atau AI, teknologi robotik serta Internet of Things (IoT). Kesemua ini terhasil daripada pengalaman secara tidak langsung melalui cara dan kaedah manusia itu berhubung dalam dunia teknologi maklumat seperti sebelum ini, yang akhirnya mencetuskan satu fasa baharu perihal tingkahlaku dan gaya hidup mereka berinteraksi dengan internet dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan satu bentuk gaya kehidupan baharu yang lebih mudah, ringkas, cepat dan tepat.
Dalam erti kata lain, fungsi dan matlamat IR. 4.0 itu adalah bagi memudahkan atau menguntungkan lagi kehidupan umat manusia, kerana segala operasi kehidupan manusia hanyalah di hujung jari sahaja, dan ia amat bersifat human centric. Malahan, kebanyakan fasa-fasa revolusi yang berlaku sehingga ke hari ini juga bersifat human centric, kerana ia terhasil daripada cetusan pemikiran dan idea manusia, dan ia juga akhirnya akan memberikan bermanfaat kepada manusia. Kebaikan itulah yang menjadi keutamaannya kerana dengan kebaikan itu, ia akan mendatangkan kebajikan dan kemaslahatan kepada manusia lain lalu memudahkan mereka untuk terus berbakti dan beribadah kepada Allah SWT. Bahkan, cetusan idea dan pemikiran berkaitan munculnya fasa ravolusi IR. 4.0 ini juga adalah bukti betapa hebat dan luasnya ilmu Allah SWT, dan cuma sedikit sahaja yang diberikan kepada manusia, sebagai bukti sifat Pemurah dan Penyayang Allah SWT kepada hamba-Nya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di daratan dan di lautan dan Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka ke atas makhluk-makhluk yang lain atas kelebihan yang sempurna.”
Setelah meyakini bahawa revolusi IR. 4.0 itu sebahagian daripada ilmu yang Allah SWT berikan kepada umat manusia, elemen seterusnya yang perlu dilaksanakan ialah melengkapkan proses cetusan fasa revolusi ini dapat dilaksanakan dalam konteks maslahah, atau kemanfaatan, khususnya menilai sejauh mana teknologi tersebut dapat membawa kebaikan dan manfaat kepada umat manusia. Sebelum ini pun, amat diakui bahawa teknologi maklumat dan komunikasi sememangnya telah memberikan banyak manfaat kepada umat manusia. Namun, adakah tanggapan itu memadai? Konsep kemaslahatan hanya akan berlaku apabila ia menepati syarat yang telah ditetapkan dalam kerangka Syariat Islam. Sebagaimana menurut Imam al-Razi, ia tertakluk ke dalam ruang lingkup secara syar’i dan bertujuan bagi mendatangkan kemanfaatan serta menjauhkan kemudaratan, dalam memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.
Seterusnya, kemaslahatan dan kemanfaatan itu pula bukan hanya tertumpu atau tertakluk kepada urusan transaksi kehidupan di dunia ini sahaja, malah ia perlu juga mampu membawa atau meningkatkan kesedaran umat manusia kepada kebajikan urusan di akhirat. Begitu juga, maslahah yang berlaku wajar dilihat dari sisi fizikal dan rohani. Kemanfaatan yang berlaku dalam apa cara pun tidak wajar memisahkan atau mengabaikan keperluan fizikal dan rohani. Lebih-lebih lagi aspek kerohanian yang dilihat berkait rapat dengan elemen ketuhanan. Aspek kerohanian dan ketuhanan ini pula amat berkait rapat dengan kepercayaan beragama bagi umat Islam. Atas dasar ini, sememangnya ia tidak akan lari daripada lingkungan dosa dan pahala. Manakala dosa dan pahala itu pula tertakluk kepada perbuatan seseorang individu. Baik atau buruk perbuatannya itulah yang akan menentukan status dosa dan pahala, dan pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya akan diadili pada hari pembalasan di akhirat nanti. Ini seperti yang telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Mulk ayat dua, yang bermaksud, “Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.”
Oleh yang demikian, perlu disedari bahawa dalam setiap kecanggihan yang wujud dalam dunia teknologi, juga terdapat elemen buruk dan baik. Justeru, ia juga terikat dengan elemen dosa dan pahala yang boleh diperolehi secara mudah melalui sentuhan di hujung jari sahaja, malah sehingga ke tahap perlakuan tersebut berlaku tanpa kita sedari, akibat daripada kegagalan diri sendiri dalam memahami hakikat sebenar berkaitan dosa dan pahala. Berhubung dengan perkara ini, Rasulullah SAW telah memberikan panduan kepada kita semua untuk memahami dosa dan pahala melalui sebuah hadis baginda SAW, seperti diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud, “Dosa adalah perkara yang menimbulkan keresahan di jiwamu dan kamu benci ia dilihat oleh manusia.”
Berdasarkan kepada senario fasa-fasa perubahan yang berlaku dalam revolusi perindustrian ini umumnya, dan yang lebih menjurus kepada IR. 4.0 khususnya, umat Islam diseru untuk meningkatkan keberanian di samping kewaspadaan, dalam menerokai dan mengisi teknologi masa depan ini dalam konteks kemaslahatan yang akan mendatangkan lebih banyak kebaikan dan manfaat kepada manusia lain, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk memperbaiki amalan yang boleh meningkatkan ketakwaaan dan kehambaan kepada Allah SWT serta menjauhkan kerosakan dan dosa.