Satu Syawal akan tiba beberapa hari lagi. Ketibaan hari yang mulia itu membawa penulis kepada kenangan sambutan Hari Raya Aidilfitri semasa di perantauan. Ketika itu, terdapat dua perkara yang dapat penulis perhatikan. Pertamanya, kesedihan pelajar di perantauan menyambut hari raya tanpa keluarga. Keduanya, kegigihan pelajar di sana memastikan hari tersebut dapat disambut bersama rakan-rakan walaupun dengan segala kekurangan.
Kini, apabila difikirkan semula, maka boleh dikatakan bahawa sambutan hari raya tidak akan sempurna jika dirayakan secara bersendirian. Kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan sangat penting. Ini menunjukkan betapa pentingnya persaudaraan dalam kehidupan manusia. Malah, keperluan manusia terhadap persaudaraan adalah satu fitrah yang tidak dapat disanggah.
Dalam pandangan hidup Islam, setiap Muslim adalah bersaudara. Maka, adalah penting untuk kita menyuburkan persaudaraan tersebut. Persaudaraan itu dapat disuburkan dengan pelbagai cara, antaranya mendoakan sesama Muslim, memberikan salam, senyum, berjabat tangan bila bertemu, tolong-menolong dalam perkara kebaikan, menjaga kehormatan dan menyuburkan persaudaraan tersebut dengan kasih-sayang.
Walau bagaimanapun, jika diteliti keadaan kini, persaudaraan sesama Muslim kian nipis dan terlalu mudah diganggu-gugat. Ada yang saling syak-wasangka sesama Muslim. Ada juga yang berbaik semata-mata atas dasar kebendaan dan kedudukan sahaja. Tidak kurang juga mereka yang memikirkan bahawa mereka boleh hidup tanpa perlu bermasyarakat.
Keadaan yang disebutkan ini akhirnya akan mengundang padah kepada masyarakat Islam. Kita akan mudah diperdaya, diperguna serta di’musnah’kan. Akhirnya nanti timbullah keadaan di mana orang Islam lebih menaruh kepercayaan dan bergantung harap kepada yang bukan Islam berbanding persaudaraan sesama Muslim. Malah, keadaan ini telahpun berlaku dan dapat dilihat di persekitaran kita.
Oleh itu, amatlah penting persaudaraan Islam diperkukuhkan kembali. Hal ini sepatutnya turut menjadi agenda penting dalam gagasan 1Malaysia yang menitikberatkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia.
Hal yang sama dapat dilihat jika kita menyorot kembali pembentukan kota Madinah. Di awal pembinaan kota ini, Rasulullah SAW mengambil langkah paling bijak dengan mengukuhkan persaudaraan Islam iaitu persaudaraan di kalangan golongan Muhajirin dan Ansar. Usaha Baginda Rasulullah SAW ini pula disambut dengan besar hati oleh kedua-dua golongan tersebut.
Selepas daripada itu, barulah persaudaraan sesama Muslim dan bukan Muslim dijalinkan. Melalui Piagam Madinah, perjanjian telah dijalinkan antara masyarakat Islam dengan masyarakat Yahudi dan Nasrani, yang juga merupakan penduduk majoriti di tanah Madinah ketika itu.
Antara isi piagam tersebut adalah janji setiap penduduk Madinah, sama ada Muslim atau tidak, untuk mempertahankan, menjaga dan membangunkan kota Madinah. Selain itu, piagam tersebut juga memperakui hak dan tanggungjawab setiap penduduk, tidak kira apa agama mereka.
Berdasarkan sorotan sejarah ini, penulis berpendapat, kesatuan antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim tidak akan dapat terlaksana dengan baik seandainya masyarakat Muslim itu sendiri tidak berpadu sesama mereka. Ini kerana perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat Islam akan menjadikan mereka bergerak dengan satu matlamat dan mempunyai suara yang sama dalam menghadapi pelbagai keadaan mencabar yang berlaku di persekitaran mereka.
Perpaduan sesama Muslim ini juga akan memudahkan kesatuan dengan masyarakat bukan Muslim kerana kita bergerak dengan satu suara dan tidak berdolak dalih dengan golongan yang bukan Muslim itu. Malah keadaan ini juga akan menimbulkan lebih keyakinan dalam kalangan masyarakat bukan Muslim terhadap masyarakat Muslim.
Dengan kenyataan itu, maka persaudaraan Muslim di negara ini perlu diperkukuhkan. Pelbagai usaha perlulah dilakukan agar persaudaraan ini dapat terjalin dengan erat. Matlamat usaha itu hendaklah nanti persaudaraan sesama Muslim ini menjadi erat dan mesra. Malah, diharapkan nanti kita tidak lagi melihat saudara seagama itu dengan pandangan syak-wasangka seperti sekarang.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda bahawa kesempurnaan iman seorang Muslim ada kaitannya dengan rasa kasihnya terhadap sesama Muslim yang lain. Malah, dalam hadis lain (hadis riwayat Abu Daud) pula, Rasulullah SAW menasihati seorang Muslim yang amat menyayangi sahabat seagamanya agar menyatakan perasaan tersebut kepada saudaranya itu. Begitulah tingginya kasih-sayang serta persaudaraan Islam dalam pandangan hidup Islam.
Umat Islam juga harus jelas tentang teras yang mengikat persaudaraan sesama mereka. Dalam hal ini, tidak ada sebab lain seseorang Muslim itu bersaudara sesama mereka melainkan persaudaraan yang diikat atas dasar taat kepada Allah SWT. Inilah yang seharusnya menjadi motivasi persaudaraan Islam bukannya persaudaraan yang diikat atas nama pangkat, darjat, kedudukan, kefahaman politik, latar belakang yang sama dan sebagainya.
Perlulah juga kita ingat bahawa masyarakat Muslim juga mempunyai kepelbagaiannya yang tersendiri. Namun, kepelbagaian ini adalah satu anugerah yang Allah SWT ciptakan agar kita saling kenal-mengenali antara satu sama lain (Surah al-Hujurat 49:13). Janganlah pula kepelbagaian yang ada ini menjadi satu tembok penghalang kepada perpaduan itu.
Oleh itu, sama-samalah kita mengeratkan kembali persaudaraan sesama Muslim. Malah bersempena dengan sambutan Syawal tidak lama lagi, kita mempunyai lebih peluang untuk mengeratkan persaudaraan itu. Inilah masanya kita memohon maaf sesama kita dan mengeratkan semula hubungan dengan saling kunjung-mengunjungi sesama kita.
Ambillah peluang yang terbentang ini. Maafkanlah pertelingkahan dan salah-faham yang lalu. Kunjung-mengunjung sesama kita, tanyakan khabar dan eratkan kembali persaudaran yang semakin longgar. Semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini menjadi titik tolak pengukuhan persaudaraan Islam sesama Muslim.