Kita perlu berbelanja untuk memenuhi keperluan harian. Ini adalah satu hakikat yang perlu kita akui bersama kerana manusia secara bersendirian memang tidak mampu untuk menyediakan semua perkara yang diperlukannya. Memang kita perlu berbelanja. Akan tetapi sejauh manakah corak kita berbelanja ke atas barang-barang dan perkhidmatan selaras dengan ajaran agama Islam?
Dalam suasana musim perayaan sepertimana yang dirasai sekarang, salah satu dorongan yang membuat kita begitu teruja untuk berbelanja ialah kerana wujudnya tawaran-tawaran jualan murah (yang belum tentu murah) yang dibuat oleh para peniaga.
Jika kita berfikir secara waras, dengan adanya tawaran jualan murah sepatutnya ia dapat membuatkan kita berjimat. Akan tetapi kenapa semasa ada jualan murah, lebih banyak wang yang kita belanjakan daripada yang sepatutnya? Kenapa semasa adanya jualan murah, lebih banyak pembelian dibuat daripada biasa?
Keadaan ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh daya ketahanan diri seseorang melawan hawa nafsunya. Sesetengah daripada kita tidak dapat menahan diri daripada berbelanja lebih atas alasan untuk mendapatkan kepuasan. Kepuasan yang diperolehi akan meningkat sekiranya dia dapat membeli barang-barang yang sebelum ini kurang mampu dibelinya (kerana tiada potongan harga) dengan jumlah yang banyak.
Untuk memburukkan lagi suasana, para pengeluar dan peniaga mengambil kesempatan daripada keadaan ini dengan meletakkan pelbagai iklan yang mempunyai cogan kata (slogan) yang seolah-olah memberi satu isyarat kepada pengguna bahawa dengan memiliki barangan itu, dia akan dipandang tinggi atau mendapat perhatian ramai.
Selain daripada berbelanja kerana adanya tawaran murah, ramai juga di antara kita yang berbuat demikian kerana ingin meniru atau mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain. Jim Pooler dalam bukunya yang bertajuk “Why We Shop” menamakan gelagat sebegini sebagai “bandwagon effect” . Ia yang merupakan satu keadaan di mana manusia tertarik dengan dengan apa yang dilakukan oleh khalayak ramai dan dia cuba mengikut atau meniru apa yang dibuat oleh khalayak tadi.
Walaupun “bandwagon effect” ini mudah “menjangkiti” golongan remaja kerana mereka mudah terpengaruh dengan arus perubahan gaya berpakaian, namun begitu golongan dewasa juga tidak terkecuali daripada menerima kesannya terutamanya di kalangan golongan yang mementingkan penampilan diri dan mengamalkan prinsip “biar papa asalkan bergaya”.
Bagi golongan peniaga, “bandwagon effect” merupakan satu pendekatan yang paling baik sekali untuk melariskan barangan atau perkhidmatan mereka kepada masyarakat pengguna. Ini kerana daripada satu pertunjukkan fesyen yang dianjurkan oleh sesebuah pengeluar, ia sebenarnya memulakan satu arah aliran (trend) yang akan diikuti ramai. Bermula daripada satu kumpulan yang memulakannya, ia akan ditiru oleh kumpulan-kumpulan yang lain. Daripada aliran setempat, ia akan menular ke peringkat serantau malah boleh menjangkau ke seluruh dunia.
Walaupun kebanyakan pengguna memburu jualan murah kerana kononnya dapat berjimat , namun ada segelintir daripada mereka yang berbelanja lebih kerana mendapat kepuasan dengan memiliki barangan yang berharga mahal. Ini adalah satu keadaan yang berlawanan dengan hukum ekonomi di mana semakin mahal harga sesuatu benda, semakin tinggi pula permintaannya. Jim Pooler menggelarkan fenomena ini sebagai “the beamer effect”.
Antara punca utama kenapa sesetengah barangan yang berharga mahal dapat menarik perhatian sebilangan besar pengguna ialah kerana ia memiliki satu pesona yang dapat memberi perasaan gah kepada si pemiliknya. Contoh mudah, satu kemeja berjenama yang berharga RM200 lebih mendapat tempat di hati pengguna berbanding satu kemeja yang berharga RM20.00 yang dijual di tepi-tepi jalan walaupun kedua-duanya mungkin mempunyai mutu yang lebih kurang sama sahaja.
Selain tabiat buruk berbelanja kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur “bandwagon effect” dan “beamer effect”, ada juga di kalangan kita yang berbelanja kerana ini bersaing dengan rakan-rakan mahupun jiran tetangga. Tak kurang juga yang menjadikan amalan membeli belah dan berbelanja sebagai satu hobi.
Semua unsur-unsur yang dinyatakan di atas sebenarnya merupakan unsur-unsur yang sama sekali bertentangan dengan panduan yang digariskan oleh agama Islam. Sebagai umat Islam kita sebenar tidak dilarang oleh agama daripada berbelanja. Malah kita dituntut supaya menafkahkan pendapatan kita untuk diri sendiri dan orang di bawah tanggungan.
Cumanya dalam soal berbelanja ini, kita perlu ada satu garis pemisah di antara keperluan dan kemahuan. Kalau ikutkan kemahuan, memang kita inginkan semua benda. Akan tetapi ini bukanlah yang dianjurkan oleh agama Islam.
Agama Islam mengajar kita supaya bersederhana dalam urusan berbelanja. Ini dapat diperhatikan menerusi firman Allah dalam surah al-Furqan, ayat ke-25 di mana hamba-hamba Allah yang mendapat kemuliaan-Nya digambarkan sebagai mereka yang apabila berbelanja, mereka tidak berlebihan dan tidak pula terlalu kedekut, bahkan corak perbelanjaannya adalah secara sederhana.
Selain berbelanja secara bersederhana, orang Islam juga perlu mengamalkan perbelanjaan berdasarkan kepada keutamaan di mana mereka perlu mengutamakan keperluan asas berbanding keperluan-keperluan lain yang kurang mendesak.
Dalam hal ini, pendekatan yang diutarakan oleh Iman al-Shatibi menerusi matlamat perundangan syariah (maqasid al-Shariah) boleh kita jadikan panduan dalam urusan berbelanja dan mengurus kewangan harian.
Menurut Imam al-Shatibi di dalam bukunya al-Muafaqat, matlamat perundangan Shariah ialah untuk menzahirkan kebaikan-kebaikan (masalih) dalam kehidupan manusia baik yang berbentuk duniawi mahupun ukhrawi.
Menurut beliau lagi, masalih terbahagi kepada tiga; iaitu daruriyyat, hajiyyat dan tahsinat dan ketiga-ketiganya boleh dihasilkan melalui dua kaedah iaitu melalui galakan melakukan kebaikan dan menolak kemudaratan.
Masalih daruriyyat merupakan kebaikan yang amat diperlukan oleh manusia di mana jika kebaikan ini gagal dilaksanakan maka sudah pasti akan berlaku kerosakan dan kemudaratan kepada kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Dengan kata lain, ia merupakan sesuatu yang mesti ada di dalam kehidupan manusia. Masalih daruriyyat ini ada kaitan dengan usaha kita menjaga akidah, nafsu, akal fikiran, keturunan dan harta.
Masalih hajiyyat pula merupakan unsur-unsur yang diperlukan manusia untuk memudahkan kehidupan mereka. Manakala masalih tahsinat lebih merupakan kepada unsur-unsur yang menyempurnakan kehidupan manusia
Perbelanjaan untuk menzahirkan masalih daruriyyat boleh dirujuk kepada perbelanjaan ke atas benda-benda mesti dalam bentuk yang asas seperti makanan, pakaian, pendidikan dan tempat tinggal.
Manakala perbelanjaan untuk menzahirkan masalih hajiyyat lebih kepada perbelanjaan ke atas barang-barang keperluan asas yang bermutu; dan perbelanjaan untuk menzahirkan masalih tahsinat lebih menjurus kepada perkara-perkara yang dapat memberi gambaran serta keterampilan yang baik kepada seseorang.
Dengan menggunakan kaedah keutamaan sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Shatibi menerusi pendekatan masalih ini, kita akan dapati bahawasanya agama Islam sebenarnya tidak menghalang kita daripada membelanjakan harta yang ada untuk barang keperluan hatta barangan mewah sekalipun. Cumanya apa yang ditekankan di sini ialah kita perlu tahu untuk memilih keutamaan dalam perbelanjaan dan seharusnya ia berpadanan dengan kuasa beli yang ada pada diri seseorang dalam lingkungan ia tidak menjurus kepada pembaziran.