Sudahkah universiti-universiti dalam dunia Islam membudayakan penyelidikan? Secara objektifnya, soalan ini sukar dijawab kerana tidak ada sandaran fakta yang tepat untuk mengatakan ya atau tidak. Yang pasti, tiada universiti dalam dunia Islam yang disenaraikan dalam kategori 100 universiti terbaik di dunia. Dalam konteks ini, penyelidikan dan output penyelidikan dikira sebagai salah satu kriteria penyenaraian. Malah universiti terbaik di dunia Arab mengikut Senarai Webometrics Universiti Terkemuka dalam Dunia Arab, iaitu Universiti King Saud, hanya mendapat tempat ke 164 di peringkat dunia. Secara perbandingan, senarai yang dikeluarkan oleh Times Higher Education pula sering dipertikaikan oleh banyak pihak kerana hanya universiti di UK dan Amerika sahaja yang mendapat tempat teratas.
Tetapi, pada masa yang sama kita harus jujur. Sekiranya persoalan utama adalah mengenai penyelidikan yang khusus memberi penekanan kepada aplikasi Islam dalam kehidupan pada alaf ini, jawapannya sangat jelas – iaitu universiti di dunia Islam masih belum lagi membudayakan penyelidikan. Jurang yang luas antara pengetahuan dan pembangunan aplikasi dan kemajuan syariat yang berlaku di negara-negara Islam kini sangat memerlukan penyelidikan dilakukan dan disemarakkan. Malah, keadaan semasa mendesak universiti dan institusi penyelidikan untuk menyambung rantaian ilmu sedia ada dan membina kapasiti yang diperlukan bagi memenuhi maksud tersebut.
Lima rukun penting boleh dijadikan landasan untuk menyemarakkan budaya penyelidikan di universiti-universiti di dunia Islam. Matlamat utama rukun-rukun tersebut adalah untuk mengangkat kembali era kegemilangan ilmu pengetahuan yang pernah wujud satu masa dahulu. Rukun pertama adalah menjalankan penyelidikan yang diterajui oleh permintaan. Dalam era liberalisasi ilmu kini, sepatutnya universiti dan institusi penyelidikan di dunia Islam melangkaui bidang pengajaran dan pembelajaran. Penyelidikan yang diterajui oleh permintaan akan membolehkan para penyelidik mencapai tahap kemampuan intelektual untuk memberi sumbangan yang dapat memberi manafaat secara langsung kepada masyarakat. Memimpin kajian berasaskan permintaan merujuk pada kegiatan penyelidikan yang membolehkan penjanaan ilmu untuk mewujudkan pembangunan.
Rukun kedua pula menyentuh aspek pembinaan keupayaan dan kemampuan penyelidik. Bagi universiti dan institusi penyelidikan, proses membudayakan penyelidikan memerlukan ilmuwan yang kompeten dan persekitaran yang menyokong. Walaupun telah wujud kemajuan dalam penyelidikan dalam dua dekad terakhir ini, keupayaan penyelidikan di universiti-universiti di dunia Islam tetap menjadi cabaran yang besar terutama bagi negara Islam yang miskin. Pendekatan untuk membangun kapasiti penyelidikan adalah terbaik dilihat dan difahami dalam rangka pembangunan kapasiti yang lebih luas. Dengan demikian, peningkatan kapasiti penyelidikan boleh dilihat sebagai proses yang terus menerus memperkasakan individu, institusi, organisasi dan negara. Berbagai pendekatan yang saling melengkapi boleh diambil untuk membina kapasiti penyelidikan di peringkat yang berbeza. Idealnya, usaha-usaha perlu dibina pada setiap peringkat untuk menyumbang dalam sistem penyelidikan. Ini akan memerlukan peningkatan yang besar dalam pelaburan khususnya bidang pendidikan di semua peringkat. Lebih penting lagi, penyelidikan dalam bidang tertentu ini hanya akan mempunyai kesan jika perhatian penuh diberi untuk memastikan penyelesaian yang dicadangkan boleh diterima oleh semua pihak.
Rukun ketiga menekankan pewujudan persekitaran yang positif dan menyokong. Antara sebab-sebab yang dikenalpasti kenapa pembudayaan penyelidikan jarang berlaku di universiti-universiti di dunia Islam adalah aliran mobiliti penyelidik yang produktif dari negara-negara Islam tertentu yang berhijrah ke negara-negara barat atau negara Islam yang kaya kerana peluang penyelidikan yang lebih baik. Ini termasuklah penyediaan geran penyelidikan yang besar selain daripada faktor gaji yang besar. Kesan daripada ini akan menyebabkan jurang ilmu pengetahuan antara negara Islam yang miskin dan kaya akan menjadi lebih meluas dan semakin sukar melainkan usaha bersepadu dilakukan. Untuk memastikan penyelidikan di dunia Islam disemarakkan, cabaran sebenarnya bukanlah mempunyai senarai panjang makalah akademik yang diterbitkan dalam jurnal berprestij untuk tujuan promosi, kenaikan pangkat atau menaikkan kedudukan universiti. Cabaran sebenar adalah dalam bagaimana dan bentuk galakan supaya ahli akademik diberi kebebasan mengkhusus dan mempunyai lebih autonomi untuk berkhidmat secara ikhlas kepada masyarakat sebagai jihad mereka.
Rukun keempat adalah kepentingan tanggungjawab sosial. Pendekatan alternatif kepada penjanaan ilmu pengetahuan ini menekankan kepentingan di mana tanggungjawab sosial adalah lebih utama daripada tanggungjawab akademik. Pendekatan ini dicirikan oleh dasar dan penyelidikan gunaan yang membahas keperluan masyarakat, dimana penyelesaian yang didapati dalam konteks aplikasi. Penyelidikan yang mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu (inter dan intra disiplin ilmu), serta sumber-sumber lain perlulah diberi penekanan. Antara faktor penting adalah perkongsian ilmu di mana ilmuwan Islam bekerjasama dan berinteraksi dengan semangat ukhuwwah yang jitu. Penekanan dari pendekatan ini adalah pada keperluan masyarakat dan interaksi antara permintaan dan penawaran penyelidikan, atau antara pengeluar dan pengguna ilmu tersebut.
Salah satu ciri yang mendasari penyelidikan adalah agenda dan keutamaan. Penyertaan pihak yang berkepentingan akan mencerminkan keperluan masyarakat untuk penjanaan ilmu tersebut. Walau bagaimanapun, perkara ini belum tentu akan menjamin berlakunya penyelidikan yang sistematik kerana kadang-kadang, tuntutan yang dinyatakan oleh mereka yang memegang tampuk kuasa boleh menyebabkan berlaku pertentangan dengan kepentingan tertentu. Tetapi, sekiranya pembinaan kapasiti penyelidik berlangsung dengan cara yang baik, ia akan membolehkan mereka memahami dan menggunakan budi bicara sendiri untuk menafsir maklumat yang perlu dengan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat. Ini akan menyebabkan penyelidik bersifat neutral bagi memudahkan perubahan yang positif berlaku kepada masyarakat.
Rukun kelima adalah pembiayaan penyelidikan melalui cara “hands-on”. Pendekatan ini di mana pembiayaan penyelidikan melalui geran program ijazah kedoktoran, pasca kedoktoran atau program “mentoring” merupakan pendekatan berkesan yang telah lama ditawarkan di kebanyakan universiti terkemuka di dunia Barat. Walau bagaimanapun, pendekatan yang dinyatakan ini sekiranya tidak dirancang dengan teliti akan menyebabkan para penyelidik yang terlatih itu berhijrah dan akan menyebabkan berlakunya “brain-drain”. Di dunia Barat, pendekatan umum untuk peningkatan kapasiti untuk menubuh kumpulan penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah rancak sekali dilakukan. Pusat-pusat kecemerlangan tersebut banyak terdapat di negara-negara maju, di mana sokongan padu dari pelbagai sumber diberikan. Namun, negara-negara Islam melalui universiti mereka masih belum dapat mengembangkan rangkaian akademik yang baik dan berkesan. Salah satu alasan yang diberikan adalah bahawa, meskipun pusat-pusat kecemerlangan boleh menawarkan kemungkinan untuk membina kapasiti, umumnya cara ini memerlukan dana antarabangsa yang cukup besar terutama untuk jangkamasa panjang.
Antara faktor yang mematikan usaha penyelidikan di negara-negara Islam adalah akses kepada maklumat sains dan teknikal dan kurangnya penglibatan aktif dengan komuniti penyelidikan. Ini adalah kerana jumlah ilmuwan yang kecil terutama di negara-negara Islam yang sedang membangun. Walau bagaimanapun, dengan era teknologi maklumat, seperti strategi “e-learning” yang boleh digunakan untuk berkongsi pengetahuan, mekanisma ini boleh diterokai dengan lebih serius lagi. Ini adalah kerana dengan meningkatnya penggunaan Internet untuk mendapat akses kepada maklumat, keperluan untuk mendidik masyarakat menjadi semakin penting. Apa-apa pun, memang terdapat jurang pengetahuan yang besar terutama kekurangan prasarana yang canggih untuk menyokong penyelidikan di universiti-universiti di negara-negara Islam berbanding di Barat. Oleh itu sokongan yang kuat dari universiti-universiti Islam terkemuka adalah diperlukan untuk membina kapasiti tersebut. Universiti adalah wadah penting yang boleh memainkan peranan dalam mempromosikan penyelidikan walaupun ada pembuat dasar yang menuduh penyelidik tidak relevan kerana menjalankan penyelidikan yang hanya di simpan di menara gading. Manakala penyelidik pula menuduh pembuat dasar bergantung kepada kepakaran asing dan memanipulatifkan hasil kajian.
Universiti yang jelas komited untuk memantapkan sistem penyelidikan mereka harus melabur untuk memastikan bahawa sumber manusia dikembangkan. Pengalaman kebanyakan universiti menunjukkan bahawa perancangan yang baik hanya boleh dibuat selepas analisa keadaan semasa dilaksanakan. Pada peringkat kebangsaaan dan antarabangsa pula, analisa ini juga perlu merekodkan termasuk apa yang boleh dipelajari daripada kejayaan dan kegagalan institusi-insitusi penyelidikan yang telah mempunyai skim pembiayaan penyelidikan. Walaupun pembiayaan penyelidikan dilihat sebagai sesuatu yang sangat penting untuk menjalankan penyelidikan tetapi faktor itu sahaja tidak mencukupi untuk melonjak ke hadapan. Visi yang disokong oleh kemahuan politik sangat diperlukan untuk memperbaiki keadaan sedia ada.