Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November 2022 ini sebagai hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 buah kerusi DUN Perlis dan 59 buah kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.
PRU-15 ini akan mengubah landskap politik negara atas dua sebab utama. Pertama, dengan kehadiran pengundi baharu dalam kalangan pengundi muda yang membabitkan usia 18 hingga 21 tahun. Jika kita membaca komen yang diluahkan di media sosial rata-rata mereka tidak mempunyai kecenderungan terhadap politik buat masa ini. Mereka lebih memikirkan mengenai masa depan mereka sendiri terutama dari segi kos sara hidup, peluang pekerjaan, peluang menyambung pelajaran, membeli rumah dan kenderaan, mendirikan rumah tangga dan sebagainya. Pendek kata, mereka ini berada pada era baharu mula membina kehidupan setelah tamat persekolahan peringkat menengah. Walau bagaimanapun, terdapat juga anak muda yang berminat untuk berpolitik. Perubahan generasi, modenisasi, perkembangan sistem demokrasi dan suasana politik di tanah air telah memberi ruang kepada golongan muda untuk menjadi pemimpin.
Kedua, golongan pengundi atas pagar yang tidak menganggotai mana-mana parti politik. Dikatakan peratusan mereka adalah sekitar 58 peratus daripada lebih 21.4 juta orang pengundi atau 12.6 juta orang pengundi. Golongan ‘atas pagar’ ini adalah king maker yang akan menentukan kerajaan baharu.
Golongan ini sebenarnya telah muak dengan orang politik kerana mereka telah menyaksikan sendiri perebutan kuasa dalam kalangan mereka. Golongan ini lebih berminat untuk menjalani kehidupan yang stabil. Isu yang penting bagi mereka ialah jaminan pekerjaan, isu gaji dan pendapatan, isu kos sara hidup yang tinggi, masalah perbelanjaan keluarga serta persekolahan anak-anak, isu kesihatan, peluang perniagaan dan lain-lain lagi.
Bagi mereka isu-isu seperti ini yang lebih penting untuk diselesaikan oleh kerajaan. Namun, harapan mereka semakin hambar kerana pada pandangan mereka mana-mana parti politik yang memerintah negara ini tidak dapat menangani isu-isu yang berlaku dalam negara. Sebagai contoh, isu kebanjiran pendatang haram. Sama ada kita sedar atau tidak pendatang haram kini sedang membina empayar perniagaan di negara ini sama ada sah atau secara haram dan tidak mustahil suatu hari nanti sektor ekonomi di Malaysia akan dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Isu berkaitan dengan pinjaman tidak berlesen atau Ah Long yang semakin menjadi-jadi. Saban hari kita terharu dan marah apabila membaca berita berkaitan pemerasan, ugutan serta bertindak di luar batasan kemanusiaan oleh Ah Long ini tetapi sehingga kini mereka terus bermaharajalela. Isu yang berkaitan dengan scammer sejauh mana mereka ini dapat dibawa ke muka pengadilan. Adakah duit yang telah ditipu dapat dikembalikan atau scammer tersebut dapat disumbat ke dalam penjara?
Isu dadah misalnya bukanlah isu baharu sama ada sebagai penagih atau pengedar ia tidak dapat dibanteras dari dulu hingga kini. Bukan sahaja tidak dapat dihapuskan tetapi ia terus berkembang dengan rangkaian dalam dan luar negara.
Begitu juga dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa yang semakin hari semakin membarah. Ada beberapa cara untuk mengurangkan gejala rasuah dan masalah salah guna kuasa ini iaitu penggunaan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk menguruskan sistem tender atau projek-projek kerajaan. Kita dapat menentukan kriteria tertentu bagi memilih calon yang betul-betul layak dan sekali gus dapat menghapuskan kroni atau orang dalam.
Begitu juga di dengan pengisian jawatan di sektor kerajaan. Rakyat Malaysia mengetahui bahawa tanpa kabel atau orang dalam sukar bagi mereka untuk mendapat pekerjaan tersebut. Jadi, penggunaan sistem A1 akan dapat membuat pilihan yang terbaik untuk menjawat jawatan tersebut seterusnya meningkatkan produktiviti dan memajukan negara. Begitu juga dengan pemilihan calon-calon untuk bertanding yang ditentukan oleh sistem AI.
Isu banjir yang memberi kesan buruk kepada rakyat yang telah memusnahkan hampir kesemua harta benda mereka dan kini mereka bertarung untuk membina kehidupan baharu. Isu kenaikan harga barang yang sepatutnya kerajaan bertindak tegas dalam hal ini dan jangan biarkan kartel yang menentukan harga.
Walau bagaimanapun, Malaysia pernah melalui fasa kegemilangannya yang dikenali sebagai ‘Harimau Asia.’ Penulis sendiri dapat merasakan bagaimana wujudnya peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang banyak ketika itu. Ramai orang dari negara luar datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.
Namun, jika sebelum ini negara seperti Korea, Vietnam, Indonesia di belakang Malaysia dari segi ekonomi tetapi kini mereka telah jauh melangkah ke hadapan. Kita tidak perlu teori ekonomi yang berjela-jela untuk menjelaskan perkara ini tetapi kita dapat nilai sendiri.
Kita kini berada pada era digital dan sudah semestinya PRU-15 ini berbeza dengan PRU yang sebelumnya kesan daripada teknologi digital. Kempen politik sepanjang masa di adakan di media sosial. Ketika kempen ini ahli-ahli politik akan menaburkan janji mereka. Jika mereka diangkat sebagai kerajaan dan tidak tunaikan janji mereka maka rakyat akan menuntut dan tularkan semula video janji-janji manis mereka.
Begitu juga yang menyerang pihak lawan, video mereka akan dirakam dan ditular semula apabila mereka telah menjadi rakan di dalam parti gabungan. Dalam politik tidak ada musuh yang kekal atau kawan yang kekal.
Isu penggunaan telefon bimbit ketika membuang undi di dalam kotak undi hangat diperkatakan. Jika sebelum ini undi dianggap sebagai rahsia tetapi telefon bimbit boleh menidakkan rahsia pengundi.
Pengundi boleh mengambil gambar atau membuat video berkaitan kertas undi mereka. Gambar undian tersebut seterusnya akan dikongsi dalam kumpulan WhatsApp/Telegram/WeChatt dan lain-lain untuk menuntut bayaran dan duit akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka. Walau bagaimanapun, berlaku juga kemungkinan pengundi akan menggunakan gambar foto kertas undi yang sama untuk menuntut duit daripada calon mereka. Apa pun helah yang mereka gunakan ia mengarah kepada gejala rasuah.
Akhir sekali, jika kita melihat dua buah negara iaitu England dan Indonesia, dulu ketika Perang Dunia Kedua, Perdana Menterinya Winston Churchill telah melantik menteri dari kedua-dua blok iaitu blok Kerajaan dan Blok Pembangkang yang bertujuan untuk mendapatkan best brain bagi mentadbir negara dan juga kestabilan politik. Begitu juga dengan Indonesia presidennya Jokowi telah melantik lawannya sebagai Menteri Pertahanan yang membuatkan ramai orang terkejut kerana menteri pertahanan mengawal bala tentera dan ada kemampuan untuk melakukan rampas kuasa tetapi apa yang mereka mahukan adalah untuk kepentingan negara mereka bukan kepentingan peribadi. Pendekatan sebegini dapat menguntungkan Malaysia demi kestabilan politik dapat meningkat ekonomi negara. Parti-parti politik tidak sepatutnya dijadikan medium untuk memecahbelah rakyat Malaysia dan meruntuhkan keharmonian kaum hanya kerana perbezaan ideologi politik tetapi pemimpin parti-parti politik seharusnya dapat membuang ego dan merangka agenda besar untuk negara kita yang tercinta demi agama, bangsa dan negara.