
IKIM telah mengadakan satu sidang media Anugerah Pencinta Nasyid IKIM (APNI), pada 29.9.2020 di Espira Kinrara, Puchong, Selangor.
Anugerah Pencinta Nasyid IKIM (APNI) adalah sebuah program pertandingan mencipta lagu-lagu nasyid berpandukan tujuh (7) nilai-nilai penting dalam Islam yang juga merupakan nilai-nilai bersama IKIM iaitu ILMU, HIKMAH, ADAB, AMANAH, ADIL, TAQWA dan BENAR.

Penganjuran anugerah dimulakan dengan penganjuran bengkel yang diterajui oleh Encik Farihin bin Abdul Fatah sebagai Mentor. Peserta bengkel disertai oleh 7 orang Penerbit Lagu sebagai ketua kumpulan bersama seorang Penyusun Muzik dan Penulis Lirik dan penyanyi. Bengkel yang mengumpulkan pencipta, komposer, penulis lirik dan penyanyi yang telibat di dalam industri nasyid ini bertujuan untuk menggalakkan penerbitan lagu nasyid baharu yang mengangkat elemen seni Islam seperti Tarannum, Qasidah dan sebagainya selain meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam menghasilan lagu dan lirik nasyid yang baik berdasarkan kefahaman Islam yang benar.

Antara penerbit yang terlibat adalah Mohammad Hafiz bin Hamidun, Azmee bin Abdul Manap (Daqmie), Muhammad Yasin bin Sulaiman, Ikhwan Fatanna, Fuad bin Zabidi (Fuad Ko), Azhrul bin Nasir (Along Exists) dan Mohd Hazry bin Mohd Hafidz (AG Coco). Penyanyi yang akan turut serta adalah kumpulan Rabbani, Hijjaz, InTeam, Zayne dan Halim Ahmad, Far East, Fadzli Fareast, Naim Helmi dan Maliq Suhaimi, Awla serta Simfoni dan Afad.