Sejarah dalam ilmu falsafah mengakui peri pentingnya perkaitan di antara sikap ingin tahu dan kecapaian sesuatu bangsa. Terdapat perkaitan yang tinggi di antara sikap ingin tahu dan kepentingan memahami ‘takrif’. Dengan sikap yang wajar dan usaha pencarian takrif dan makna, seseorang berupaya mengenali ilmu. Orang yang tiada sikap ingin tahu tidak akan berupaya mencapai apa yang sewajarnya diperolehi. Tidak berupaya bukan sahaja bertindak tetapi berfikir dan membuat keputusan yang adil.
Ungkapan yang dicetuskan oleh ilmuan zaman silam iaitu seorang ahli falsafah terkenal Socrates “Wisdom begins in wonder” atau “Kebijaksanaan bermula melalui persoalan” dan ahli falsafah Inggeris iaitu Francis Bacon menyebutkan bahawa “A prudent question is one-half of wisdom” dan “Knowledge is power”. Sekiranya kita halusi ungkapan-ungkapan ini dari sudut pandangan tradisi ilmu Islam, kita akan temuinya di dalam tradisi Ilmu Mantik berkenaan pengenalan berkenaan ‘ta’rif’ dan ‘ma’rifah’ atau persoalan definisi. Kenapa pentingnya ilmu mengenal sebegini?
Kitab al-Quran, dalam surah ‘al-‘alaq’ yang merupakan ayat pertama diwahyukan, mencetuskan satu pengenalan kepada aturan kefahaman ilmu pengetahuan dan kejadian manusia sendiri. Kecapaian seseorang bergantung kepada martabat ilmu yang dimiliki dan sejauh mana ilmu itu memberi manfaat kepadanya dan pengenalan kepada Penciptanya. Kelebihan manusia kerana anugerah aqal (yang sifatnya adalah berilmu), mengatasi makhluk lain dan melayakkan manusia diangkat menjadi wakil ganti (khalifah) di mukabumi. Kebolehan manusia menyebut ‘nama-nama’ berbanding malaikat dan makhluk lain, adalah satu bukti dan cabaran kepada golongan makhluk termasuk manusia sendiri yang meragui kemampuan mereka.
Semua ini bermula dari sikap ingin tahu, kemudiannya melangkah kepada amalan dan usaha mencari jawapan kepada persoalan yang timbul dalam diri seseorang. Tanpa perasaan ingin tahu, langkah-langkah mencari jawapan tidak muncul dan mereka membiarkan diri mereka berada dalam keadaan memadai untuk tidak ambil tahu. Inilah kemelut sebenar yang berlaku dalam masyarakat yang dianggap menuju kemajuan kononnya.
Jawapan kepada persoalan dan kebijaksanaan yang menyusulinya bakal membentuk masyarakat dan tamadun bangsa berkecapaian. Masyarakat yang berkecapaian berupaya memberi takrif dan meletakkan kewajaran dalam setiap tindak tanduknya. Tidak hairanlah mengapa masyarakat yang condong kepada kehancuran mengambil sikap “tidak apa” atau sambil lewa kepada apa saja yang berlaku pada diri dan persekitaran mereka. Selama mana tiada ancaman ke atas mereka (atau kerana jahil dan tidak sedar ke atas ancaman tersebut) mereka akan bersikap dengan sikap yang sama.
Akhirnya, sikap sambil lewa ini memberi satu gejala. Gejala yang dihadapi oleh masyarakat tidak berkecapaian dapat dilihat apabila, aturan nilai mahmudah dipinggirkan dan mazhmumah diagongkan, sebagai contoh, silaturrahim dipandang sepi yang kemudiannya membawa kepada perpecahan berbanding saling bekerjasama dan bergandingan. Apabila, kepentingan mengejar kebendaan dan kekayaan mengatasi keadilan dan pencarian ilmu. Apabila, sikap pentingkan diri sendiri menguasai kepentingan ramai atau generasi akan datang. Apabila, natijah siasah, masyarakat, ekonomi dan pembentukan aturan pengurusan dan pentadbiran menjurus kepada kepentingan diri sendiri, maka nilai mazhmumah akan memacu ke arah kehancuran masyarakat.
Bermula dari sikap perseorangan sehinggalah menjadi budaya masyarakat dalam urusan perniagaan, tidak ambil tahu membawa kecelakaan ke atas diri sendiri dan orang lain. Sekiranya direnungi, apakah yang menjadi punca wujudnya bencana dan musibah yang tidak diingini?. Lihat sahaja peningkatan nahas jalan raya, peningkatan jenayah di taman-taman perumahan, amalan rasuah dan salahguna kuasa atau lebih dekat lagi kejadian bencana alam di perumahan lereng Bukit Antarabangsa baru-baru ini. Nahas tersebut merupakan yang ketiga berlaku di kawasan yang sama.
Malaysia masih bernasib baik apabila peruntukan belanjawannya mengambilkira usaha memberi kesedaran dan pendidikan masyarakat. Tanpa peruntukan mungkin tidak ada pihak yang secara sukarela menaja kempen-kempen kesedaran, contohnya peri keselamatan jalanraya, budaya menziarah, kesedaran pencegahan jenayah dan banyak lagi. Walaupun begitu, sambutan yang diterima amat mengecewakan. Bencana dan nahas masih juga tiada perubahan. Ini kerana, walau bagaimana kempen diadakan sekalipun, sekiranya sikap tidak ambil tahu masih sebati, kecapaian masyarakat akan tergadai sehingga menjejaskan ketahanan generasi akan datang.
Masyarakat perlu berupaya menguasai pengetahuan dengan balik kepada pendekatan ilmu. Ilmu diperolehi apabila ada sikap ingin tahu. Dengan pendekatan takrif yang betul, jawapan untuk satu persoalan dapat diperolehi. Jawapan inilah yang kemudiannya menjadi makanan kepada kebijaksanaan berfikir.
Pertanyaan yang dilontarkan boleh berada dalam berbagai bentuk. Walaupun yang dibicarakan adalah satu perkara sahaja seperti bercakap tentang “Kebebasan” contohnya. Bentuk-bentuk persoalannya yang pelbagai memerlukan jawapan yang juga bersesuaian dengan persoalan tersebut. Makin banyak persoalan dilontarkan dalam fikiran, makin banyak jawapan juga yang bertindakbalas kefahaman kepada persoalan tersebut. Kesemua jawapan-jawapan ini akan kemudiannya membentuk takrifan kepada apa yang dimaksudkan perihal perkara “kebebasan” tersebut. Adakah jawapan yang hakiki akan mengatakan bahawa “kebebasan” membenarkan seseorang melakukan apa saja mengikut kemahuannya? Sudah semestinya tidak kerana kebebasan manusia tertakluk kepada kebebasan melaksanakan keadilan, bukannya kebebasan yang tiada batasan kerana kebebasan mutlak akan memberi kesan pencerobohan hak orang lain.
Memahami bentuk pertanyaan menentukan mutu sebuah jawapan, maka pembahasan berkenaan bentuk-bentuk pertanyaan perlu dikuasai terlebih dahulu. Setelah semua persoalan mendapat jawapannya, maka seseorang dikatakan telah mempunyai pengetahuan tentang sesuatu atau berpengetahuan. Dengan mempunyai pengetahuan yang wajar tentang kehidupan, maka seseorang akan membuat keputusan, bersikap, dan bertindak dengan cara yang bijaksana dan munasabah ke atas sesuatu tersebut. Apabila kewajaran berlaku dalam setiap tingkahlaku dan amalan seharian, maka manusia berupaya mencapai atau meletakkannya di tempat yang bersesuaian.
Berkecapaian bukan bermakna mendapat apa saja yang dikehendaki tetapi meletakkan sesuatu di tempat sewajarnya yang natijahnya adalah keadilan. Tidak melebihi (melampau) dan tidak menguranginya atau kedua-duanya keadaan tidak adil, ini dipanggil kezaliman. Inilah takrif adil yang telah diberikan oleh al-Imam al-Ghazzali. Al-Ghazzali menegaskan bahwa ilmu mantik merupakan mukaddimah seluruh ilmu, bukan hanya pengantar/dustur falsafah semata-mata. Barangsiapa yang tidak menguasai ilmu mantik, seluruh pengetahuannya rosak dan diragukan. Ini kerana untuk menjadi satu masyarakat yang berkecapaian, mestilah disertakan dengan kebijaksanaan. Kecapaian mustahil tanpa kebijaksanaan, kebijaksanaan mustahil tanpa kewajaran manakala kewajaran sukar ditemui tanpa jawapan yang tepat kepada setiap persoalan.
Penanda aras kepada peningkatan diri telah digariskan oleh Rasulullah berkaitan persoalan sama ada lebih baik, sama atau lebih buruk perhitungan dirinya pada hari ini berbanding semalam. Keseluruhan amalan sehariannya sama ada berupa niat, keputusan, sikap, tindakan dan tindakbalas hendaklah mengambil penanda aras ini sebagai pengukur peningkatan dan kecapaian diri. Dalam sebuah hadith riwayat al-Baihaqi, Rasulullah menyebutkan bahawa: “sebaik-baik manusia di kalangan kamu adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain”.
Kesimpulannya, mencari takrif bermula bukan sekadar dari sikap ingin tahu tetapi sikap ingin faham. Jawapan kepada persoalan adalah penting sebagai pengenalan kepada gedung pengetahuan. Tidak berbuat apa-apa atau mengambil sikap sambil lewa memadai bagi masyarakat yang menempah kehancuran dan kepupusan generasinya. Keupayaan membezakan sikap mahmudah dan mazhmumah amat penting dalam usaha mencapai keputusan.