Stigma merupakan satu isu yang sering dikaitkan dengan tanggapan negatif dan buruk terhadap seseorang individu atau kelompok masyarakat. Kamus Dewan Edisi Keempat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan stigma sebagai satu sifat atau apa jua yang dilihat boleh menjatuhkan maruah dan mendatangkan keaiban atau kecelaan kepada sesiapa sahaja. Akibatnya, individu atau kelompok masyarakat tersebut akan menanggung rasa malu dan bersalah. Akibat dari itu, mereka berusaha sedaya upaya mereka untuk menghindarkan diri mereka daripada orang lain atau masyarakat kerana tidak sanggup menanggung bebanan yang timbul daripada perasaan malu dan aib itu.
Walaupun terdapat pelbagai keadaan yang boleh mendorong kemunculan stigma dan tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat, namun hakikat yang perlu difahami adalah asas kepada stigma yang berlaku itu. Para penyelidik telah memahami bahawa dorongan kepada stigma yang berlaku berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Manusia dilahirkan dengan naluri ingin terus hidup secara selamat dan tenteram. Mereka akan berusaha untuk mempertahankan diri dan kehidupan daripada sebarang perkara dan situasi yang berkemungkinan akan menjejaskan keselamatan kehidupan mereka.
Bagi mencapai tujuan ini, mereka amat memerlukan maklumat berkaitan agar ketenteraman dan keselesaan mereka dapat terus terjamin kekal. Kekurangan maklumat tersebut akhirnya akan menimbulkan salah tanggapan dan perasaan prejudis serta buruk sangka dalam diri mereka yang akhirnya meningkatkan kegusaran dan keresahan secara tidak terkawal.
Dalam erti kata yang lain, kemunculan stigma itu didorong akibat daripada kekurangan pengetahuan dan maklumat pada seseorang atau kelompok masyarakat. Maklumat yang ada pula sering kali salah dan tidak sahih. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila sikap prejudis dan stigma yang berlaku telah menjadi satu tanggapan yang dianggap sebagai fakta yang betul, walaupun hakikatnya ialah sebuah mitos sahaja. Malah salah tanggapan dan stigma tersebut diwarisi pula secara turun temurun dari sebuah generasi kepada generasi yang berikutnya sehingga menjadi satu kepercayaan walaupun tanpa asas fakta yang tepat. Berhubung stigma dan tanggapan atau sangkaan negatif ini, Allah berfirman di dalam Al Quran, surah al Hujurat, ayat 12 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
Sering kali stigma negatif itu melingkari isu berkaitan kesihatan mental atau pesakit mental. Namun, stigma kini turut melingkari suasana pandemik COVID-19. Situasi ini berlaku apabila sering kali pesakit COVID-19 dipandang serong secara prejudis, dan disalah tanggap sebagai segolongan manusia yang perlu disisihkan ataupun dinyahkan terus. Pernah seketika dahulu, virus COVID-19 telah dimomokkan sebagai virus Wuhan, ataupun Chinese virus, sehingga akhirnya telah mewujudkan suasana fobia terhadap penduduk atau bangsa dari negara China dan sekitarnya. Sehinggalah akhirnya WHO telah menetapkan bahawa semua virus dan varian penyakit COVID-19 perlu diberi nama baharu yang tidak merujuk kepada bangsa atau tempat di mana ia ditemui bagi mengelakkan stigma dan juga kemungkinan berlaku amalan diskriminasi.
Jika dalam konteks gangguan kesihatan mental, beberapa contoh berikut menunjukkan bagaimana stigma itu wujud. Umpamanya sering kali seseorang yang berperwatakan ganas diberikan imej sebagai seorang pesakit mental, atau tanggapan yang stereotaip bahawa pesakit mental adalah seorang yang ganas dan agresif. Hakikatnya,stigma masih terus berlaku di mana-mana dan pada setiap masa walaupun telah banyak kemajuan dari segi rawatan dan teknologi berkaitan kesihatan mental diperkenalkan.
Tanggapan negatif dan stigma turut menghantui program vaksinasi. Keadaan ini berlaku apabila golongan penerima vaksin dianggap sebagai lebih sihat berbanding golongan yang tidak menerima vaksin, tidak mudah untuk dijangkiti dan tidak akan menjangkiti orang lain. Manakala golongan yang enggan menerimanya pula dianggap sebagai penderhaka, pencetus kluster jangkitan dan sebagainya, serta pernah juga dianggap sebagai pencetus kepada situasi “the pandemic of the unvaccinated.”
Begitulah keadaan yang berlaku pada ketika pandemik dan tanggapan negatif yang ada telah mencetuskan stigma serta akhirnya mewujudkan polemik dua darjat di kalangan masyarakat dan juga mendorong amalan diskriminasi yang amat tidak sihat. Namun, polemik ini akan berakhir dan berjaya diatasi jika majoriti rakyat telah menerima dos lengkap vaksinasi secara keseluruhannya.
Secara umumnya, stigma yang dikaitkan dengan COVID-19 itu berlaku adalah berdasarkan kepada konteks pandemik sebagai satu penyakit yang baharu dan masih banyak perkara berkaitan belum lagi dapat dirungkaikan sepenuhnya. Selain itu, naluri manusia yang cenderung untuk berasa takut kepada perkara atau situasi yang tidak diketahui akan meningkatkan keresahan dan kegusaran secara tidak terkawal kerana manusia perlukan sesuatu yang perlu dikawal atau dirasai seperti terkawal bagi mengawal keresahan mereka sendiri. Maklumat pandemik yang tidak mencukupi sememangnya akan meningkatkan tahap kekeliruan, kebimbangan, dan ketakutan di kalangan orang ramai yang akhirnya mencetuskan tanggapan stereotaip yang berbahaya.
Terdapat beberapa implikasi buruk yang boleh berlaku akibat daripada stigma terhadap pandemik ini. Di antaranya, ia boleh menjejaskan landskap perpaduan sosial dan mendorong kemungkinan berlaku pergolakan sosial yang lebih kronik. Pada masa yang sama, mencetuskan diskriminasi di kalangan masyarakat. Seterusnya, menghadkan siap siaga masyarakat untuk mendapatkan rawatan berkaitan akibat kerisauan diskriminasi dan akhirnya kegagalan dalam usaha memerangi wabak itu lalu mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih teruk serta kesukaran mengawal pandemik.
Dalam erti kata yang lain, stigma boleh mendorong orang ramai untuk menyembunyikan penyakit mereka sebagai satu strategi bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa diskriminasi jika terdedah di kemudian hari. Stigma juga bakal mengelakkan orang ramai daripada mendapatkan rawatan kesihatan dengan kadar segera lalu menyebabkan penyakit menjadi lebih serius atau jangkitan lebih banyak berlaku secara tidak terkawal. Dalam situasi ini, semua pihak akan menuding jari mencari kesalahan orang lain kerana tidak mengamalkan tingkah laku yang sihat.