Rancangan Malaysia kesembilan ada menyarankan bahawa pentingnya usaha yang berkesan dalam mewujudkan generasi usahawan dan enterpris bumiputera yang berdaya saing, dalam urusan perniagaan. Strategi yang tepat kepada golongan tersebut untuk berjaya dalam era globalisasi ekonomi masa kini ialah melalui penghayatan strategi perniagaan unggul seperti Keuntungan Perniagaan Melalui Tanggungjawab Sosial. Strategi ini jika dihayati dengan tepatnya pasti akan membawa hasil yang positif bukan sahaja kepada prestasi perniagaan mereka tetapi sekali gus dapat membangun keadilan sosio-ekonomi dan tamadun masyarakat. Strategi ini menganjurkan kepada keharmonian di antara kepentingan perniaga dengan usaha untuk menjaga kebajikan masyarakat. Pendekatan ini adalah penting kepada penyusunan dan pembinaan sebuah tamadun masyarakat semasa dan ini sekaligus menepati pendekatan Islam Hadhari.
Melalui semangat pendekatan Islam Hadhari, aktiviti perniagaan pada akhirnya perlu menyumbang kepada peningkatan mutu kehidupan keseluruhan ahli masyarakat. Melalui strategi perniagaan tersebut golongan peniaga turut serta berperanan positif.
Prinsip hidup berharmoni melalui strategi perniagaan yang di utara ini menjelaskan bahawa sesebuah sistem pengendalian perniagaan negara jika ingin maju dan terus membangun, kepentingan peniaga dalam mendapat keuntungan atau pulangan yang adil perlu disokong. Keuntungan yang berpatutan dari usaha perniagaan dan perdagangan kepada pengusaha adalah sesuatu hukum yang tabii serta adil. Prinsip ini menghormati individu perniaga dan sekali gus membina semangat mereka untuk mencapai kejayaan melalui peningkatan kecekapan dalam berniaga.
Keuntungan adalah hasil dari usaha yang gigih serta berkesan oleh seseorang perniaga. Setiap kegiatan perniagaan tidak semestinya menghasilkan keuntungan. Adakala perniaga terpaksa menghadapi kerugian. Untung dan rugi adalah hukum yang lumrah. Justeru itu keuntungan yang besar bukan sesuatu yang perlu di pandang serong. Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi agama dan keuntungan besar diperolehi kerana kecekapan, ia menggambarkan satu kejayaan yang mulia dan boleh dibanggakan. Ini adalah kerana pendekatan ini mampu membawa kepada perolehan keuntungan berpanjangan.
Mengakui hukum pulangan ini sebagai sesuatu yang lumrah akan memotivasi setiap pengusaha semoga bijak dan rapi dalam menjalankan sesuatu kegiatan perniagaan dan perdagangan mereka semoga usaha yang bermutu diusaha secara berterusan.
Keuntungan akan diperolehi apabila jumlah hasil mengatasi jumlah kos. Jika aktiviti perniagaan di urus dan dilaksana secara positif jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui jumlah jualan produk terlibat. Dalam dunia yang tidak berbatas sekarang ini, jumlah jualan tidak terhad. Yang membatasi ialah persaingan yang sengit dari pengusaha dan perniaga dalam dan luar negara. Ruang untuk mengembangkan jumlah jualan luas terbentang. Berjaya menembusi pasaran perniagaan antarabangsa akan mencerminkan kemampuan peniaga menguasai dalam saham pasaran barangan yang diperniagakan.
Mengikut hukum perniagaan, mutu kegunaan dan harga adalah dua faktor yang utama yang menentukan permintaan kepada barangan tersebut. Dalam konteks pencapaian kejayaan yang berterusan dalam bentuk jangka panjang kemampuan menguasai pasaran untuk sesuatu barangan perlu menjadi strategi sesebuah organisasi perniagaan. Pencapaian kepada matlamat ini memerlu syarikat tersebut melibatkan dengan usaha kajian dan penyelidikan yang dinamik dan berterusan semoga mutu penghasilan barangan syarikat terbabit terus menerus meningkat dan sentiasa releven dengan keperluan dan kebajikan pengguna. Matlamat ini tidak mungkin diperolehi melalui jalan pendek bahkan ia memerlukan kepada wawasan dan usaha yang jujur serta gigih pihak pengeluar dan perniaga pada setiap masa. Usaha-usaha yang positif ini memerlukan kepada akhlak kepimpinan syarikat perniagaan yang jitu semoga kejayaan tersebut berterusan, demi kepentingan bersama perniaga melalui keuntungan dengan kebajikan kepada pengguna.
Melalui mutu barangan yang bernilai serta harga yang berpatutan, jumlah jualan akan meningkat dan akan dapat dipasarkan bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat pasaran antarabangsa. Kejayaan tersebut dapat meningkat jumlah keuntungan syarikat. Harga yang berpatutan juga akan dapat meluaskan faedah kegunaan barangan terbabit kepada golongan pengguna yang berpendapatan bawahan. Kebajikan dari kepenggunaan barangan makin meluas.
Dari aspek kos kepada syarikat perniagaan, beberapa bentuk kos perlu ditanggani semoga jumlahnya dapat dikurangkan. Kos, membabitkan kos modal, pengurusan penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran. Melalui perancangan dan kepakaran yang tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk mengurangkan pembaziran daripada berlaku, nescaya usaha-usaha tersebut akan menghasilkan penurunan kos. Jika nilai akhlak Islam disepadukan dalam pengawalan kos tersebut, kos sosial tidak langsung seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran alam persekitaran turut akan diambil kira. Kos sosial ini adalah faktor negatif yang turut menjejas kemajuan prestasi syarikat terbabit dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran yang sihat, prestasi syarikat akan menurun dalam jangka panjang. Suasana negatif tersebut jelas akan meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat pada akhirnya.
Kos langsung dan kos tidak langsung seperti kos sosial perlu diambil kira dalam pengurusan kos oleh sesebuah syarikat. Ia sangat menepati semangat strategi keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab sosial. Kejayaan mengurangkan kos oleh sesebuah syarikat mengikut perspektif di atas adalah suatu kejayaan yang memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan terbabit sudah dapat ditingkatkan. Ia juga menggambarkan bahawa usaha mengurangkan kos meliputi nilai akhlak pekerja serta alam persekitarannya.
Dari logik analisis di atas jelas bahawa keuntungan melalui pendekatan yang berakhlak ini adalah suatu pendekatan yang dinamik yang memanifestasikan sifat tanggungjawab yang tinggi dihayati oleh syarikat terbabit dalam kegiatan perniagaan mereka dalam masyarakat.
Strategi keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab sosial jika dihayati melalui perspektif di atas akan menghasilkan sebuah budaya perniagaan yang sihat yang mampu memperolehi kejayaan syarikat serta sekali gus dapat membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.
Islam dengan jelas menuntut semoga pembangunan ekonomi masyarakat perlu diasaskan kepada pendekatan pengembelengan ke semua lapisan tenaga masyarakat. Ia juga menuntut faedah dari pembangunan dinikmati oleh semua mengikut sumbangan masing-masing. Pembangunan ekonomi melalui kemajuan bersama ini ingin mengurangkan wujudnya golongan miskin dan yang kurang bernasib baik. Semua individu perlu diberi dan dibantu semoga setiap dapat memberi saham dalam pembangunan negara. Sektor perniagaan dalam sesebuah ekonomi sudah pasti mempunyai tanggungjawab sosial melalui pencetusan peluang pekerjaan dan turut membekal keperluan kepada masyarakat.
Dengan menghayati strategi perniagaan ini, semangat korban dan pertanggungjawaban sosial mulai dapat dicetuskan. Membina budaya yang positif bukan perkara yang mudah dan dapat dihasil dalam masa yang pendek. Tambah lagi dalam budaya pendekatan perniagaan semasa dimana kerakusan peniaga menjadi teras utama. Memupuk kesedaran kepada golongan yang berjaya dalam perniagaan untuk sama-sama menangani persoalan sosio-ekonomi masyarakat adalah usaha untuk membabit dan meletakkan sektor swasta sebagai teras dalam membangunkan sebuah negara yang progresif. Jika usaha ini berhasil, ia merupakan satu kejayaan yang besar. Justeru itu tepat sekali strategi Keuntungan Perniagaan Melalui Tanggungjawab Sosial menjadi strategi kebangsaan yang perlu dipupuk di kalangan peniaga bumiputera Muslim.