Dalam zaman ini, ketika dunia dibangunkan dengan begitu pesat melalui sains dan teknologi, maka keperluan umat Islam kepada ilmu ini tentulah tidak wajar dipersoalkan lagi. Perdana Menteri dalam ucapannya di Majlis Makan Malam bagi melancarkan Langkawi International Islamic Science and Technology Exhibition and Conference (LISTEC ’98) pada 13 Julai 1998 lalu menegaskan bahawa terdapat kalangan umat Islam yang melihat sains sebagai satu ilmu dunia yang tidak perlu didekati dan dipelajari kerana ianya adalah ilmu sekular, tidak merupakan ajaran agama yang diredhai Allah S. W. T.
Oleh itu tegas beliau umat Islam yang berpandangan demikian akan ketinggalan di belakang orang-orang lain yang sentiasa memajukan diri mereka melalui bidang sains dan teknologi.
Memang benar kata-kata Perdana Menteri tentang sikap sesetengah orang Islam terhadap sains, iaitu yang melihatnya secara negatif. Sebenarnya pandangan mereka begitu negatif terhadap sains ialah kerana kekurangan kefahaman terhadap sains, atau kerana mereka melihat sains terlalu banyak mendorong kepada kemusnahan dan penyelewengan.
Kemajuan teknologi maklumat moden yang diasaskan di atas ilmu sains umpamanya dilihat sebagai satu fenomena keruntuhan moral dan nilai-nilai kemanusiaan dengan cabaran-cabran terhadap etika dan moral yang dibawanya.
Orang Islam mungkin mendapat tanggapan bahawa sains mengajar manusia menjadi angkuh sehingga menganggap dirinya sebagai makhluk yang paling berkuasa, maka dengan itu manusia tidak memerlukan agama dan tidak memerlukan Tuhan. Sains dengan itu seolah-olah mengajar manusia menjadi makhluk yang hanya berbangga dengan ilmunya, walaupun ilmunya itu tidak membawanya kepada kebenaran.
Secara mudah dapatlah dikatakan bahawa orang-orang Islam melihat sains secara negatif ialah kerana sains membawa falsafahnya yang berbentuk sekularisme, terpisah dari nilai-nilai ketuhanan dan kebenaran mutlak.
Oleh itu untuk mengembalikan keyakinan orang-orang Islam terhadap sains maka falsafah sains itu sendiri seharusnya ditonjolkan sebagai falsafah yang berdasarkan kebenaran, ketinggian moral dan ketuhanan yang sejati.
Firman Allah,
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka sebuah kitab yang Kami terangkan atas dasar ilmu pengetahuan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kamu yang mahu beriman. (Al-A’raf, ayat 52).
Maka ungkapan ilmu pengetahuan yang menjadi dasar penjelasan Allah S.W.T. bagi kitab suci al-Quran berkemungkinan besar dapat dilihat dalam konteks ‘sains moden, iaitu yang mengandungi persepsi akal dan keupayaan kognitif manusia untuk memahami dinamika alam maya, kejadian insan dan haiwan yang konfleks, sistem biologi, bumi, atmosfera, unsur-unsur dalaman dan luaran angkasa raya, dan sebagainya.
Bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran menterjemahkan sains sebagai al-ulum kata jamak ‘ilm, iaitu ilmu pengetahuan. Maka sains dalam konteks ini merangkumi segala daerah dan bidang ilmu yang dapat dikuasai manusia melalui ilmu wahyu dan ilmu akal mereka sendiri.
Dengan itu juga dapat dijelaskan bahawa falsafah sains dan ilmu pengetahuan Islam ialah yang bertujuan mencari kebenaran mutlak berdasarkan konsep ketauhidan Allah S. W. T. Dalam perjalanan menegakkan kebenaran ini maka pemerhatian dan persepsi serta pengalaman manusia haruslah konsisten berdasarkan nilai-nilai moral kerohanian yang sentiasa menjadi panduan mereka untuk kebahagiaan individu dan masyarakat mereka seluruhnya.
Hal ini ditekankan oleh firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di sekitar jagat dan di dalam diri mereka bahawa (Islam) itu benar. Dan tidakkah cukup Tuhanmu (bagi mereka) bahawa Dia menyaksikan segala-galanya. (Fussilat, ayat 53)
Dengan itu Allah S.W.T. menyatakan bahawa ilmu pengetahuan manusia yang sentiasa meningkat dan diperbaharui dari masa ke semasa akan mendorong mereka menjadi makhluk yang lebih beriman dan sentiasa menegakkan kebenaran. Namun begitu Allah S.W.T. memberi amaran, ” … namun ada sebahagian manusia yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa mempunyai ilmu dan tidak mendapat petunjuk dan tidak ada kitab yang memberi penerangan.” (Luqman, ayat 20)
Jelas sekali bahawa tanpa ilmu, termasuk ilmu pengetahuan yang diistilahkan sebagai sains, tanpa hidayah dan tanpa kitab, maka manusia akan sesat dan tidak akan meyakini kekuasaan dan kebesaran Allah S. W. T. llmu pengetahuan ketika ini hanya akan digunakan untuk menegakkan kemungkaran dan mewujudkan kemusnahan bagi manusia dan alam seluruhnya.
Pendeknya memahami sains dan teknologi dalam hubungannya dengan Islam bukanlah bererti mempersoalkan kecanggihan ilmu dan teorinya sama ada ciptaan Barat atau Timur, ciptaan orang Islam atau bukan Islam. Tetapi persoalannya apakah sains dapat mendorong manusia untuk lebih memahami dirinya dan Tuhannya, dan lebih mendekatkannya kepada penciptanya atau tidak.
Berdasarkan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W. yang menekankan tentang kepentingan ilmu pengetahuan, dan berdasarkan bukti sejarah dan tamadun Islam di zaman kegemilangannya yang melahirkan ramai ahli sains dalam berbagai¬bagai bidang, maka ternyata bahawa sains adalah merupakan ilmu untuk agama dan Allah, ilmu untuk iman dan takwa. Sains merupakan tradisi agama yang amat penting.
Hal inilah yang perlu ditekankan di kalangan masyarakat Islam bagi mengikis pandangan kolot dan negatif terhadap sains dan teknologi, dan bagi mendorong orang-orang Islam supaya melibatkan diri dalam pembangunan sains dan teknologi secara yang lebih aktif, sebagai penyumbang, bukan hanya sebagai pengguna yang pasif.
LISTEC ’98 merupakan program yang didokong bersama oleh IKIM diharapkan dapat menonjolkan konsep dan falsafah sains seperti yang dijelaskan di atas, sehingga setiap individu orang Islam akan melihat dan merasai bahawa sains adalan amat relevan dengan agama dan kehidupan mereka.