Hari raya adalah hari untuk mensyukuri nikmat kemenangan, nikmat berkeluarga, nikmat keamanan dan nikmat berkasih sayang. Justeru takbir dan tahmid dialunkan tanda membesarkan Allah akan segala-gala yang dinikmati. Umat Islam tidak mengira usia, pangkat dan harta saling mengucap selamat, berziarah dan tersenyum gembira.
Sesungguhnya umat Islam di Malaysia amat beruntung kerana berpeluang meraikan hari yang mulia ini dalam keadaan yang tenang berbanding di negara lain. Di negara umat Islam yang sedang bergolak seperti Palestin, Mesir, Syria dan lain-lain, Aidilfitri kali ini mungkin tidak seindah yang diharapkan. Kehilangan orang tersayang dan harta benda adalah harga yang mahal untuk dibayar demi sebuah keamanan.
Sebagaimana barangan dan perkhidmatan yang mengalami turun naik harga mengikut pasaran, nilai sebuah keamanan juga tidak terkecuali. Mahalnya sebuah keamanan apabila perlu dibayar menggunakan nyawa yang tidak berdosa, harta benda dan tanah tumpah tercinta. Jatuhnya nilai sebuah keamanan itu apabila manusia tidak mensyukuri nikmat yang diperoleh dengan saling mempersenda, keluarga yang berantakan, lalai akan nikmat dunia dan tercabut perasaan takut berbuat dosa yang pada akhirnya memudahkan pihak lain mengambil kesempatan sama ada musuh mahupun syaitan.
Justeru, apakah harga bagi keamanan ketika Aidilftri? Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud, (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa. Sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu dia berbuka maka wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain (di luar bulan Ramadhan). Allah mengehendaki kamu beroleh kemudahan (dengan ketetapan yang demikian) dan Dia tidak mengehendaki kamu menanggung kesukaran; dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.
Syukur dan membesarkan Allah ketika menjelangnya Syawal tanda rohani dan jasmani dalam keamanan. Tidak hanya melalui lisan, syukur sebenarnya boleh diterjemah melalui perbuatan dan tindakan. Amalan rumah terbuka dan pemberian duit raya misalnya adalah salah satu cara bagi melahirkan rasa syukur kepada Tuhan atas nikmat rezeki yang diterima. Namun begitu, penyelewengan boleh berlaku andai dilakukan kerana tren mahupun sekadar menunjuk-nunjuk kemampuan harta benda yang dimiliki.
Hakikatnya, pengertian syukur sebenarnya amat meluas lagi mendalam lebih-lebih lagi ketika umat Islam meraikan lebaran. Dalam konteks keluarga, Syawal dijadikan kesempatan untuk menjernihkan keadaan yang keruh. Bak kata pepatah, air yang dicencang tidak akan putus. Begitulah umpamanya anggota badan pada satu tubuh sukar untuk dipisahkan melainkan pemisahan itu hanya membawa kepada kecacatan tubuh dan kesakitan yang bersangatan.
Benar, manusia masih mampu hidup biarpun dengan kecacatan anggota. Manusia juga mampu hidup dalam kesakitan selagi diizinkan Tuhan. Namun begitu, adakah kehidupan sebegini yang didambakan kerana masih terdapat pilihan untuk mengubati berbanding amputasi? Justeru, berlapang dada dan membuang ego adalah perkara yang amat penting dalam pengubatan ini. Hal demikian kerana sesungguhnya tidaklah pula ego itu menjamin kedudukan manusia di syurga melainkan hanya menjadi penghalang kepada sebuah kemaafan. Selagi mana kita bernama manusia dan berakal, tiada siapapun yang kebal daripada melakukan kesilapan.
Menyempurnakan hak dan meninggalkan perkara-perkara batil juga tanda syukur kepada Tuhan. Antaranya ialah memulia dan menghormati tetangga, menyantuni kanak-kanak, bersopan di jalan raya dan menjaga batas pergaulan semasa berziarah di hari lebaran. Di antara perbuatan-perbuatan tidak baik seperti pembaziran juadah hidangan, berlebih-lebihan dalam pemakanan, berlumba-lumba menunjukkan perhiasan hendaklah dijauhi. Bahkan Allah telah menyebut dalam Surah al-Isra’ ayat 27 bahawa orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara kepada syaitan yakni makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Selain itu, syukur juga boleh diterjemah dengan perbuatan yang menyempurnakan iman dengan lebih baik berbanding sebelumnya. Ketika Ramadhan, semua umat Islam diberi peluang untuk mendekati Allah dengan keadaan pintu neraka ditutup dan syurga dibuka seluasnya. Golongan yang tidak bersolat juga berpuasa, golongan yang tidak menutup aurat mula berhijab tanda menghormati Ramadhan. Semua umat Islam terkesan dengan rahmat yang tidak dinikmati melainkan hanya di bulan Ramadhan dengan berlumba-lumba membuat kebajikan. Maka perpanjangkanlah amalan ini ke bulan Syawal bahkan disempurnakan amalannya dengan lebih baik.
Sesungguhnya Aidilfitri tidak hanya mengenai sambutan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Bahkan Syawal sebenarnya satu permulaan baru bagi umat Islam dalam meniti kehidupan menuju akhirat setelah berjaya mendapat keampunan dan kasih sayang Allah ketika Ramadhan.