Obesiti atau berlebihan berat badan menjadi faktor risiko kepada penyakit moden atau dikelaskan sebagai penyakit tidak berjangkit. Penyakit ini banyak disebabkan oleh gaya hidup dan tabiat pemakanan seseorang individu. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa ¾ daripada jumlah kematian di negara sedang membangun pada tahun 2020 adalah disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit. Tidak hairanlah sekiranya, berat badan sering kali difokuskan sebagai usaha dalam penyelesaian masalah obesiti dan penyakit berkaitan dengannya.
Hampir 30% daripada populasi dunia dikategori sebagai obes atau berlebihan berat badan. Negara Islam seperti Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Bahrain dan Mesir telah mendahului negara-negara lain dari segi jumlah penduduk yang mengalami masalah obesiti atau kegemukan. Sekali gus, ia memberikan satu cabaran kepada umat Islam untuk menangani permasalahan tersebut. Malah, statistik juga menunjukkan individu yang mengalami obesiti atau berlebihan berat badan di seluruh dunia meningkat daripada 857 juta pada tahun 1980 kepada 2.1 bilion pada 2013. Gambaran ini sudah cukup membimbangkan kita sebagai individu muslim yang sewajarnya mempunyai imej sihat dan kuat seperti mana sabda Nabi SAW menyebut “Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding orang beriman yang lemah.” [Riwayat Muslim].
Lantas, apakah resepi kehidupan seorang muslim yang wajar dipraktiskan untuk meletakkan nilai kesihatan sebagai yang terutama? Hadis Rasulullah SAW tersebut tidak harus diterjemahkan secara tekstual sahaja tanpa meneliti makna tersirat di sebaliknya. Kita tidak wajar menyempitkan pemikiran bahawa hanya orang yang sihat tanpa berpenyakit lebih dikasihi Allah berbanding orang mukmin yang sakit. Sihat tidak hanya pada fizikal sahaja, malah lebih luas dan holistik. Ia termasuk spiritual, mental, sosial dan segala aspek yang menyumbang kepada kehidupan dunia dan akhirat.
Oleh sebab itu, hadis Rasulullah SAW tersebut bersifat galakan. Dalam usaha kita menggarap sebuah kehidupan bermakna, sihat secara holistik adalah penting. Orang yang beriman perlu ada usaha yang gigih untuk mengekalkan kesihatan, memperbaiki gaya hidup dan cergas dalam aktiviti seharian. Muslim yang lemah serta bermalas-malasan akhirnya menyumbang kepada penyakit dan penurunan produktiviti urusan dunia mahupun urusan ibadah kepada Allah. Abu Hurairah merakamkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat, akan datang seorang yang berbadan besar lagi gemuk. Namun, disisi Allah timbangannya tidak melebihi berat sayap seekor nyamuk. Bentuk fizikal bukan lambang kebahagiaan di akhirat. Fizikal yang besar juga bukan bermakna banyaknya amalan seseorang. Tamsilan ini cukup jelas, sekiranya kesihatan dipandang enteng, ibadat kepada Allah juga terganggu. Justeru sebagai umat Islam, kita wajar membudayakan sunnah yang telah dipamerkan oleh Rasulullah SAW sebagai satu panduan dalam mengekalkan kesihatan.
Untuk menjadi sihat, individu muslim perlu memberi perhatian serius terhadap pemakanan. Ramai di antara kita pada hari ini masih tidak peka dengan pengambilan makanan yang tiada batasan. Runtunan nafsu lebih dikuasai berbanding keperluan tubuh. Obesiti atau berlebihan berat badan bukan terjadi sehari dua selepas makan tetapi ia mengambil tempoh masa yang lama. Justeru, ramai yang tidak perasan bahawa pengambilan makanan secara tidak teratur dan tidak mengikut kapasiti akan memberi kesan mendalam kepada status kesihatan.
Islam telah memberi peraturan yang cukup jelas, walaupun secara generik, ia wajar diperhalusi mengikut kesesuaian dan keperluan. Dalam surah al-A’raf ayat 31, Allah melarang berlebih-lebihan dalam makan dan minum. Berlebih-lebihan membawa kepada pembaziran. Pembaziran makanan yang masih berbaki dan juga pembaziran zat makanan yang tidak diperlukan oleh badan akibat pengambilan makanan melampaui batas. Dalam hal ini, bersederhana adalah penting. Konsep ini akan memberi impak kepada kesihatan kerana ia mampu menyediakan sempadan daripada melampaui batas. Piramid makanan memberi garis panduan bagaimana untuk menjaga pemakanan mengikut keperluan seseorang.
Begitu juga konsep kepelbagaian dan keseimbangan dalam mengambil makanan. Amalan Nabi Muhammad SAW menunjukkan kepada kita bahawa gabungan dan kepelbagaian makanan yang Baginda SAW amalkan memberi unsur keseimbangan kepada tubuh badan. Tidak dinafikan bahawa Baginda SAW juga mengambil pelbagai jenis makanan yang terdapat di tempat baginda SAW dan tidak terhad kepada sesuatu jenis makanan sahaja. Maka, penting untuk kita mengambil inspirasi bahawa, tiada makanan yang boleh memberi kesemua zat yang diperlukan oleh tubuh badan. Oleh itu, perlu untuk mempelbagaikan jenis makanan dan tidak hanya bergantung pada sumber atau makanan tertentu untuk mengekalkan kesihatan. Berbeza dengan masyarakat kita pada hari ini, mengambil suplemen sebagai langkah mudah untuk mengubati penyakit dan menjaga kesihatan, tetapi dalam masa yang tidak menjaga pemakanan.
Banyak lagi sunnah Rasulullah SAW yang menunjukkan kepada kita bahawa langkah pencegahan melalui penjagaan pemakanan adalah penting untuk mendapat kesihatan yang baik. Obesiti mampu dicegah dan ditangani jika mempraktiskan apa yang telah diamalkan oleh Rasullullah SAW. Sunnah makan secara berjemaah juga dapat mengawal obesiti. Keberkatan daripada makan beramai-ramai dapat mengurangkan tuntutan selera yang tidak terkawal dan mudah untuk kenyang sekali gus dapat mengelakkan makan secara berlebihan. Begitu juga adab-adab sebelum, semasa dan selepas makan yang digariskan dalam Islam seperti mana telah dicatat oleh Imam Ghazali memberi impak kepada kesihatan bagi yang mengamalkannya sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
Keengganan kita untuk mengikut apa yang digariskan dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, tidak akan mampu mengubah tahap keseriusan masalah obesiti sama ada secara individu mahupun peringkat global. Biar pun perubahan yang sedikit dalam tabiat pemakanan dan gaya hidup, tetapi ia memberi kesan yang besar kepada kualiti kehidupan seluruhnya. Jelaslah bahawa mengamalkan pemakanan mengikut acuan Islam mampu mengurangkan masalah obesiti yang kian mengancam kesihatan masyarakat awam pada hari ini.