PRU-15 telah berlalu. Kerajaan baharu telah pun berjaya dibentuk dan Perdana Menteri baharu telah pun dilantik. Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia yang Ke-10. Tahniah kepada rakyat kerana mendapat Perdana Menteri yang baharu. Sekiranya beliau calon yang diharap-harapkan untuk menjadi Perdana Menteri, syukur alhamdulillah. Jika sebaliknya, berdamailah dengan ketentuan Allah dan berikan kerjasama kepada beliau untuk mentadbir negara.
Mengimbau apa yang berlaku dua atau tiga minggu lalu, ketika para calon pilihan raya sibuk berkempen, sebenarnya bukan mereka sahaja yang berkempen. Pengikut-pengikut mereka (para pengundi) juga berkempen. Melalui perkongsian para pengikut ini secara bersemuka mahupun di media sosial, mereka berkempen untuk calon pemimpin mereka dan parti politik pilihan mereka.
Tahap ketegaran pengikut itu telah menentukan cara mereka berkempen. Ada yang sekadar berkongsi fakta tentang calon dan parti yang mereka sukai. Namun, ada juga yang bersungguh-sungguh berkempen sehingga merasakan perkongsiannya ialah satu-satunya kebenaran yang ada dan perlu diterima dan disokong oleh orang lain. Sesiapa yang berani menyatakan sebaliknya akan dilawan dan “diperangi”.
Pengikut seperti inilah yang menimbulkan ketegangan dalam perbualan bersemuka mahupun dalam perbualan dalam talian seperti dalam kumpulan Whatsapp (WA) dan status Facebook (FB). Malah, kadangkala perkongsian dan perbualan itu berakhir dengan pergaduhan dan ada ahli yang meninggalkan kumpulan WA tersebut atau ada yang unfriend kawan mereka di FB.
Sebenarnya bukan mereka yang meninggalkan kumpulan WA dan unfriend kawan di FB sahaja yang tidak bersetuju. Ramai ahli yang lain juga tidak bersetuju namun memilih untuk berdiam diri demi memelihara keharmonian dalam kumpulan sosial itu. Selain mendiamkan diri, ahli-ahli seperti ini berasa sedih kerana ada yang sanggup mengorbankan persahabatan, malah persaudaraan, hanya kerana pandangan politik yang berbeza. Adakah perlu bergaduh, putuskan persahabatan dan persaudaraan, hanya kerana kita berbeza pandangan?
Ahli-ahli yang mengutamakan keharmonian inilah yang akan cuba menyatukan kembali ahli kumpulan yang bergaduh tadi selepas proses membuang undi selesai. Mereka berjumpa sambil minum kopi atau teh, dengan harapan apabila biduk berlalu, kiambang dapat bertaut semula.
Namun, ketenteraman dalam kumpulan di media sosial ini tidak bertahan lama. Semakin lama masa yang diambil untuk menentukan Perdana Menteri, suasana dalam kumpulan di media sosial juga menjadi semakin tegang. Ini berlaku khususnya apabila wujud pengikut tegar (pengundi) yang mahu pemimpin pilihan mereka dilantik sebagai Perdana Menteri. Jika mereka sekadar mahu pemimpin pilihannya dilantik, itu masih boleh diterima. Setiap orang berhak untuk mempunyai pilihan. Namun, apabila satu pihak mula memburukkan pemimpin pilihan pihak yang lain, maka pergaduhan tercetus yang membawa kepada sekali lagi terdapat ahli yang meninggalkan kumpulan WA atau unfriend kawannya di FB. Sesetengah daripada kita memang ada masalah untuk terus berhubung apabila kita berbeza pendapat!
Isnin, 21 November 2022, media sosial berkongsi gambar para pemimpin parti yang sedang duduk bersama berbincang tentang langkah seterusnya bagi membolehkan penubuhan kerajaan. Sekeping gambar yang biasa sahaja tetapi membawa seribu makna kepada para pengundi. Salah satu makna yang sampai kepada sebahagian daripada mereka ialah, “Rakyat bergaduh di bawah ini tentang siapa yang patut membentuk kerajaan, tetapi para pemimpin baik-baik sahaja berbincang sesama sendiri tentang langkah seterusnya.”
Tiada salahnya para pemimpin itu memiliki hubungan yang baik sesama mereka. Itulah hakikat sebenarnya. Bagi mereka yang selalu berurusan di Parlimen seperti pegawai kerajaan dan wartawan misalnya, yang sering melihat hubungan baik dan mesra antara ahli Parlimen, mereka faham tentang hal ini.
Namun, bagi majoriti rakyat, mereka tidak tahu bahawa hubungan sesama ahli Parlimen adalah “baik-baik sahaja” dan gambar yang dinyatakan tadi mengejutkan mereka. Mereka menjangkakan ahli Parlimen juga bergaduh seperti mereka apabila berbeza pendapat. Mereka lupa, dua pasukan bola yang sedang berlawan di padang kelihatan seolah-olah bermusuh. Namun secara peribadi, hubungan antara setiap pemain bola itu adalah baik-baik sahaja. Gambar tersebut menimbulkan satu kesedaran baharu yang membuatkan mereka memikirkan kembali tentang apa yang telah dilakukan mereka.
Jika ada yang bertanya apakah hikmah di sebalik “kelewatan” kita menubuhkan kerajaan, bagi penulis, ini ialah salah satu hikmahnya. Sebahagian rakyat bergaduh ketika berkempen dan bergaduh selepas mengundi, hanya untuk menyedari bahawa hubungan sesama ahli Parlimen mereka adalah baik-baik sahaja—sebelum, semasa dan sesudah pilihan raya. Berbeza pendapat tidak semestinya membawa kepada pergaduhan, putus sahabat atau putus saudara. Hanya yang tidak profesional sahaja yang buat begitu. Bagi yang profesional, ahli politik dan pemain bola sepak misalnya, ia tidak begitu. Mereka tahu untuk membezakan bila masanya untuk “bergaduh” dan bila masanya untuk berbaik.
Sebagai pengundi, jadilah pengundi yang bertanggungjawab. Apakah tanggungjawab pengundi? Pertama, mendaftar sebagai pengundi. Di Malaysia, mereka yang berusia 18 tahun secara automatik didaftarkan, maka tanggungjawab ini telah selesai. Kedua, sebelum mengundi, ketika kempen pilihan raya, ambil masa untuk mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan anda dan isu yang terlibat bagi memudahkan pemilihan calon. Ketiga, kenal pasti pusat mengundi. Keempat, pada hari mengundi, hadir ke pusat mengundi untuk melaksanakan tanggungjawab seorang pengundi. Itu sahaja. Tanggungjawab pengundi ialah mengundi. Bukan bergaduh.
Perlantikan Perdana Menteri adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Maka, sejurus perlantikan YAB Perdana Menteri dibuat, semua bentuk “pergaduhan” sekiranya ada, mestilah dihentikan kerana Baginda telah melaksanakan tanggungjawab Baginda mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Rakyat perlu menerima perlantikan ini dan diminta untuk “membuang yang keruh dan mengambil yang jernih” demi kesejahteraan negara.