Dalam pasaran bebas berlandaskan konsep pembeli berwaspada atau ‘caveat emptor’, tugas membezakan baik dan buruk adalah tanggungjawab pengguna. Tidak semua barangan yang ditawarkan baik dan ada sesetengahnya pula langsung tidak menepati keperluan. Namun, perkembangan terkini teknik pemasaran telah memberi kebebasan yang luas kepada pengusaha dalam mempromosikan barangan atau perkhidmatan mereka. Sudah sampai masanya umat Islam menjadi pengguna yang bijak supaya tidak tertipu dengan dakyah pemasaran yang mengelirukan.
Al-Quran menegaskan bahawa apabila didatangkan sesuatu berita, maka menjadi kewajaran untuk diselidikinya. Permintaan yang menggalakkan terhadap konsep kepenggunaan Islami memberi ruang kepada pengusaha mengetengahkan pendekatan Islami dalam pemasaran. Umat Islam perlu menghalusi tuntutan syarak dengan cara yang lebih berhikmah dan berhati-hati terhadap orentasi pasaran. Matlamat pengusaha yang dilandaskan kepada keuntungan semata-mata tanpa rasa tanggungjawab sentiasa mencari jalan untuk mencuri perhatian serta sanggup menggunakan agama sebagai penarik kepada barangan mereka. Pengguna yang gopoh dan kurang usul periksa akan terjerat dan terdedah kepada kesan sampingan barangan atau mutu barangan yang tidak baik, dilema pengurusan kewangan atau lebih buruk lagi pengurusan perbelanjaan yang berada di luar jangkaan.
Penggunaan istilah dan pendekatan yang berbau Islam termasuk barangan yang dilabel halal sering saja kita dengari. Istilah-istilah seperti penjenamaan barangan dengan katanama bahasa Arab, kaedah pemakanan Islami, busana muslim, pendekatan jihad perniagaan dan seumpamanya sering didedahkan melalui media cetak dan elektronik. Sehingga ke suatu tahap, masyarakat boleh keliru, terpengaruh dan membeli bukan kerana keperluan barangan tersebut tetapi terbeli oleh saranan amalan atau konsep Islami yang diketengahkan. Islam melaknat tindakan menggunakan agama untuk menutup kecelaan dan mengejar keuntungan dunia semata-mata. Orang yang berbuat sedemikian bukan sahaja hina kerana jahil tetapi lebih tercela kerana mengkhianati. Islam menyarankan supaya umatnya sentiasa menyeimbangkan di antara ucapan dan tindakan, mencari kekayaan dunia dan mengingati akhirat, berusaha dan beribadat.
Perkara pokok yang perlu dikuasai oleh seorang pengguna yang bijak di samping memahami keperluan sebenar dalam pengurusan keperluan isirumah, ialah membandingkan beberapa pilihan sebelum membeli, mengetahui pengeluar atau pengilang yang mengeluarkan barangan atau perkhidmatan tersebut yang betul-betul memperjuangkan syariat atau sebaliknya. Pengusaha yang benar-benar bertanggungjawab bukan semata-mata melabelkan keislamannya tetapi memberi penekanan dalam usaha menegakkan hukum-hukum syarak dalam keseluruhan proses perusahaannya. Dengan kata lain, mereka bukan sahaja terdiri dari orang yang beriman, tetapi cuba melaksanakan saranan Islam dalam langkah-langkah pengeluaran serta amalan nilai yang selari. Berselindung di sebalik program-program berbau Islam dengan menaja atau menganjurkannya kadang-kadang lebih menyukarkan penelitian.
Sebagaimana tindakan pengusaha yang mengkaji pasarannya, sasaran pelanggan dan kaedah pemasaran, begitu juga pelanggan berhemah perlu mengenali siapakah pengusahanya, apakah barangannya, bagaimana proses pengeluarannya sebelum membeli. Elakkan dari mendapatkan barangan atau perkhidmatan dari pengusaha yang mencurigakan. Oleh itu, meneliti pembungkusan bukan terhad kepada rekabentuk yang cantik semata-mata tetapi melihat siapakah pengilang, pengedar dan pengusahanya. Dengan cara ini, pengguna dapat memberi tekanan kepada pengusaha supaya menjadi lebih bertanggungjawab berbanding berselindung di sebalik pembungkusan menarik atau dedahan iklan pemasaran di media cetak dan elektronik.
Peperangan merebut pasaran kini makin sengit dengan bercambahnya pengusaha. Kejayaan jangka panjang terletak di tangan mereka yang bijak dan telus kepada diri sendiri tidak kira sebagai pengusaha atau pengguna. Memang zaman sekarang amat sukar kita menemui peniaga seamanah Abdul Rahman Ibn ‘Auf. Peniaga muslim sejati akan menjadikan perniagaan mereka sebagai ibadah untuk berjihad kepada Allah dengan berusaha sedaya upaya menegakkan hukum dalam industri. Mengutamakan ketundukan kepada Allah dan perkhidmatan pelanggan berbanding keuntungan menjadi kaedah berkesan perkembangan perniagaan dalam jangkamasa panjang.
Walaupun Islam memberi kebebasan untuk menetapkan harga, namun tidak kurang ada yang bertindak di luar batas keadilan. Dalam penetapan harga pasaran, sesetengah pengusaha sanggup mewujudkan sendiri atau membeli pesaing-pesaing mereka. Tujuannya adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna agar mereka dapat mengawal pasaran. Menjadi kebiasaan juga bagi mereka menawarkan pakej pembelian yang kononnya menguntungkan dengan menawarkan barangan percuma. Kadang-kadang harga yang ditawarkan untuk dua barang dalam pemasaran beli satu dapat satu sebenarnya sama dengan harga untuk dua barang tersebut ditawarkan di luar tempoh tawaran.
Gembar-gembur promosi harga yang dibincangkan ini adalah merupakan satu kaedah yang telah lama diamalkan. Islam sebenarnya menyarankan keadilan dan bermuamalah secara mulia. Persoalannya ialah adakah teknik pemasaran ini adil kepada pengguna atau pengguna hanya dihelahi dan perkara sebenar dapat diselindungkan untuk mengaut keuntungan. Yang jelas, pengguna akan rasa tertipu sekiranya mengetahui hakikat sebenar dan merasa diperbodohkan.
Amalan menyembunyi barangan keperluan asas untuk dijual apabila harga meningkat sering menjadi isu di Malaysia terutama apabila menghampiri musim perayaan. Kita juga berhadapan dengan kesukaran memberi kesedaran kepada pengedar atau pemborong supaya mengamalkan urustadbir Islami yang lebih adil kerana kurangnya pemborong dari kalangan orang Islam sendiri. Orang bukan Islam pula belum tertarik dengan Islam kerana kelemahan umatnya sendiri secara proaktif mengawal pasaran. Kawalan terhadap pasaran secara tradisi oleh sesetengah kaum di Malaysia perlu dijadikan cabaran oleh umat Islam untuk mengambil bahagian dan menyeimbangkan pasaran. Selari dengan pendekatan kepimpinan Satu Malaysia, usaha untuk mewujudkan Satu Ekonomi yang mengangkat kesaksamaan kawalan dan pasaran perlu diberi keutamaan oleh semua.
Zaman dilema kepenggunaan Islami menyambut kedatangan teknik pemasaran yang lebih mengelirukan. Bermula dari rekabentuk, jenis barangan, kaedah jualan dan maklumat kepada pelanggan semuanya telah mula condong. Ketelusan pasaran menjadi persoalan kerana tingginya persaingan. Apabila kulit luar yang lebih diutamakan dan amalan murni dibelakangkan, semua pihak berada di dalam tanggungjawab untuk berwaspada. Kesan dari rasa terancam dengan pelbagai kemungkinan ini mendesak kita menjadi pengguna yang lebih bijak dan berhemah. Bukan untuk kepentingan kita semata-mata tetapi untuk kelangsungan generasi umat yang akan datang.