Teknologi maklumat telah menjadi sebahagian dari hidup kita dan ia amat mengkesaninya baik secara positif mahupun sebaliknya. Dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat bermaklumat, mahu tidak mahu, setiap dari kita terkena tempias ledakan maklumat ini. Tidak timbul persoalan sama ada, mahu terlibat atau tidak. Yang lebih penting ialah iltizam untuk terlibat secara positif agar masyarakat bermaklumat yang dicitakan itu tercapai secepat mungkin.
Wanita yang merupakan separuh dari jumlah penduduk negara ini, juga tidak terlepas dari tanggungjawab ini. Walau apapun jawatan yang dipegang, wanita professional atau kakitangan sokongan, wanita berjawatan tinggi atau surirumah sepenuh masa, semuanya perlu bersama-sama berusaha untuk memanfaatkan TM untuk kesejahteraan dan pembanguan diri, keluarga dan masyarakat. Kita tidak mahu TM ini dimanfaatkan untuk tujuan hiburan semata-mata atau berbual kosong di chatroom semata sehingga tugas-tugas seharian terabai. Sebaliknya, kita mahu agar TM digunakan untuk menjadikan diri kita lebih berilmu, maju dan progresif.
Satu daripada kemudahan yang kita ada dalam era TM ini ialah internet dan ia boleh digunakan oleh wanita untuk kesejahteraan dan pembangunan diri mereka. Melalui internet, wanita boleh melayari laman-laman web yang berkaitan untuk mendapat maklumat-maklumat yang diperlukan dan bertindak terhadap maklumat-maklumat tersebut. Bagi mereka yang boleh menguasai Bahasa Inggeris, peluang untuk mendapatkan maklumat adalah lebih banyak kerana selain dari bertumpu kepada laman web berbahasa Melayu, mereka juga boleh mengunjungi laman web berbahasa Inggeris yang boleh didapati dengan begitu banyak sekali.
Di laman-laman web khusus untuk wanita ini kita boleh mendapatkan begitu banyak maklumat tentang pelbagai perkara seperti ruangan untuk memperbaiki diri, berita kesihatan, tips untuk mengejar kerjaya, kata-kata hikmah, buku-buku yang dicadangkan untuk dibaca dan seumpamanya. Jadi, dengan melayari internet, banyak laman web seumpama ini yang akan ditemui. Biasanya, setelah membaca satu atau dua artikel maka kita akan bertemu dengan satu laman web yang memenuhi keperluan kita. Dari situ, kita tidak perlu lagi melawat laman yang lain, sebaliknya kita boleh melanggan newsletter dari laman web yang telah dipilih dan mereka akan memaklumi kita tentang artikel-artikel terbaru melalui e-mail. Ini adalah satu cara bagaimana TM memperkaya wanita, jika tidakpun dengan wang tetapi dengan maklumat dan ilmu. Bagi mereka yang belum pernah mencuba, saya cadangkan www.womensmedia.com. Saya sendiri telah mendapat banyak manfaat dari laman web ini.
Selain untuk kesejahteraan diri, internet juga membuka peluang untuk kita membangunkan diri kerana melaluinya kita boleh meningkatkan kemahiran diri dan tahap pendidikan yang kita miliki. Satu contoh yang mudah yang boleh saya ketengahkan di sini ialah kemahiran membuat selimut dari perca kain. Banyak laman web yang boleh dilayari untuk mendapatkan kemahiran ini dan satu daripadanya ialah http://planetpatchwork.com. Malah, anda boleh menghadiri kelas untuk membuat selimut di talian www.QuiltUniversity.com. Dengan mendapatkan kemahiran seumpama ini melalui internet, kita berjaya membangunkan diri kita dan jika berminat boleh memulakan perniagaan dengan kemahiran ini. Dari segi ini, kita telah pergi setahap lagi iaitu menambahkan pendapatan melalui kemahiran yang diperolehi dari internet.
Malah, kini orang telah mula belajar secara virtual (maya), tanpa perlu keluar rumah atau mengikuti kuliah. Memadai dengan sebuah komputer dan talian internet serta beberapa jam sehari mengikut kesesuaian diri, duduk di hadapan komputer dan belajar. Ini juga merupakan satu peluang untuk wanita mendapatkan kelulusan akademik tambahan dan membangunkan diri mereka. Walaupun peluang ini juga terbuka kepada lelaki, tetapi peluang ini lebih bermakna kepada wanita kerana hambatan-hambatan yang dimiliki mereka berbanding lelaki. Ini terutamanya bagi wanita yang sudah berkeluarga. Mungkin tidak semudah itu bagi seorang wanita bergelar isteri dan ibu untuk keluar mengikuti kuliah setelah waktu bekerja atau di hujung minggu berbanding lelaki. Walaupun halangan ini tidak berupa halangan agama tetapi tuntutan keluarga membuatkannya lebih berat bagi wanita berbanding lelaki. Jadi, dengan adanya bilik darjah maya melalui internet ini, maka wanita yang berminat boleh menggunakan peluang ini untuk kebaikan diri.
Selain untuk kesejahteraan dan pembangunan diri wanita itu sendiri, internet juga boleh digunakan untuk kesejahteraan keluarga. Ini kerana internet itu kaya dengan maklumat dan ia dapat memberikan kita sebarang maklumat berkaitan dengan aspek yang kita inginkan, termasuklah maklumat-maklumat yang berguna untuk kesejahteraan keluarga. Sekali lagi, dalam hal ini, mereka yang boleh berbahasa Inggeris akan mendapati bahawa mereka boleh mendapatkan lebih banyak maklumat berbanding dengan mereka yang hanya dapat berbahasa Malaysia semata-mata. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang selesa untuk berbahasa Malaysia, saya ingin mencadangkan agar melayari laman web www.keluarga.net.my. Saya pernah memasuki laman web ini dan saya merasakan ianya agak menarik.
Namun, dari pengalaman saya sendiri, saya banyak mendapat manfaat dari satu laman web berbahasa Inggeris iaitu www.parentcenter.com. Ia merupakan satu laman web tentang keibubapaan. Saya diperkenalkan kepada laman web ini oleh seorang teman ketika awal kehamilan. Hanya dengan memasukkan alamat e-mel kita dan tarikh haid yang terakhir, kita akan mendapat newsletter pada setiap minggu yang memaklumkan kepada kita tentang perkembangan janin minggu demi minggu serta perubahan-perubahan yang dialami oleh si ibu sepanjang tempoh kehamilannya. Dengan memasukkan tarikh dijangka bersalin pula, kita akan mendapat newsletter minggu demi minggu yang memaklumkan tentang perkembangan yang dialami oleh bayi serta berbagai maklumat lain berkaitan bayi, ibu yang dalam pantang dan hubungan suami-isteri dengan kehadiran orang baru itu dan sebagainya. Malah, hingga kini, bila anak saya sudah berusia sebelas bulan, saya masih menerima newsletter dari leman web ini bagi menerangkan tentang perkembangan anak saya. Malah, selain dari berkongsi maklumat dan pengalaman rakan-rakan yang lain, laman web inilah yang banyak membantu saya dalam selok-belok membesarkan anak saya itu.
Selain itu, kita juga boleh memanfaatkan internet ini untuk meningkatkan lagi rasa ingin tahu di kalangan anak-anak kita. Dikatakan bahawa pelajar Malaysia tidak suka bertanya kerana budaya bertanya ini tiada di dalam keluarga Malaysia. Bila kanak-kanak mengajukan sesuatu soalan, ibubapa bukan sahaja tidak menjawabnya, malah menyuruh anak-anak untuk diam. Satu sebabnya ialah mungkin ibubapa itu sendiri tidak mempunyai cukup maklumat untuk menjawab soalan yang diajukan itu. Jadi, dengan adanya internet ini, ibubapa boleh mengajak anak-anak itu untuk bersama-sama mencari jawapannya. Ini sudah pasti akan menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan dan dapat mengeratkan lagi hubungan antara ibubapa dan anak-anak tersebut.
Tidak lengkap artikel ini jika tidak membicarakan tentang peluang ekonomi yang dibawa oleh internet kepada wanita. Pertamanya dari segi mendapatkan pekerjaan. Bagi wanita yang sedang mencari-cari pekerjaan, mereka boleh mendapatkan iklan kerja kosong dari internet. Malah, biodata diri juga boleh dihantar melalui e-mel tanpa perlu dipos. Apa yang lebih menarik, kita kini boleh mendaftarkan diri dengan laman web tertentu dengan memasukkan biodata diri serta kelayakan dan pengalaman bekerja dan sekiranya ada kerja kosong yang sesuai dengan kita, kita akan dimaklumi tentangnya dan jika berminat kita boleh memohonnya. Jadi, kita dapat lakukan semua ini tanpa meninggalkan rumah, tanpa membeli suratkhabar dan tanpa stem, cuma dengan bayaran penggunaan internet yang begitu minima.
Selain itu, internet juga boleh membantu wanita menjalankan perniagaan. Dengan mengiklankan barangan dan perkhidmatan kita di internet, kita dapat memperluaskan pasaran tanpa meninggalkan rumah atau membayar kos pengiklanan yang tinggi. Jadi, wanita yang boleh menjahit, misalnya, boleh mengiklankan perkhidmatan tersebut dan mungkin sahaja mendapat pelanggan baru yang berganda jumlahnya.
Teknologi maklumat juga telah membolehkan wanita bekerja dari rumah. Teleworking adalah satu konsep di mana wanita bekerja dengan sesuatu syarikat dari rumah, tanpa perlu menghadirkan diri di pejabat. Walaupun konsep ini belum terpakai dengan meluas di Malaysia, namun saya yakin tidak berapa lama lagi, wanita Malaysia akan dapat memanfaatkan teleworking ini seperti wanita-wanita di Barat.
Jika kita lihat kepada ketiga-tiga peluang tadi iaitu mencari kerja, berniaga dan teleworking, satu elemen yang sama ialah elemen “tanpa meninggalkan rumah”. Elemen ini amat penting bagi wanita yang beranak kecil kerana kecenderungan wanita-wanita ini untuk berada dekat dengan anak-anak mereka. Mereka yakin bahawa mereka adalah penjaga yang terbaik untuk anak-anak mereka berbanding pengasuh atau pembantu rumah. Mereka tidak boleh disalahkan kerana ada kajian yang menunjukkan bahawa enam tahun pertama adalah amat kritikal untuk kanak-kanak jadi pada masa ini mereka memerlukan penjagaan yang terbaik. Jadi, daripada meletakkan anak-anak kita di bawah jagaan orang-orang yang tidak tentu latar belakang akademiknya, adalah lebih baik kita menjaganya sendiri. Wanita-wanita yang berpegang kepada prinsip ini sanggup berhenti kerja dari mempertaruhkan masa depan anak-anak mereka di tangan orang lain. Kadangkala, yang berhenti itu adalah wanita-wanita yang amat berkelayakan dan berpotensi dan jika ini dibiarkan, maka negara akan kerugian dari segi sumber tenaga yang boleh membangunkan negara. Dengan TM ini, bukan sahaja kita memeberi peluang kepada wanita untuk bekerja di rumah tetapi juga berpeluang untuk mendapatkan kemahiran dan kepakaran mereka.
Melihat kepada manfaat-manfaat yang ada saya merasakan bahawa kaum wanita perlu merebut peluang ini untuk kesejahteraan dan pembangunan diri, keluarga dan masyarakat. Untuk itu sikap yang betul terhadap teknologi maklumat adalah perlu. Pertamanya, bagi mereka yang masih tiada komputer dan internet di rumah, maka jadikanlah usaha untuk mendapatkan kemudahan ini sebagai agenda utama keluarga anda. Niat untuk menukar perabot atau langsir baru bolehlah diketepikan untuk sementara waktu. Biarlah kita ketinggalan dari segi rekabentuk perabot dan fabrik langsir, tetapi jangan kita ketinggalan dalam arus ledakan maklumat ini. Sementara mendapatkan kemudahan itu, berjinak-jinaklah dengan siber kafe pada hujung minggu bersama keluarga. Dengan cara ini, kita mungkin dapat mengubah sedikit imej siber kafe yang selama ini terkenal sebagai tempat untuk orang muda. Siber kafe bukanlah tempat untuk orang muda. Ia adalah tempat untuk kita mendapatkan akses kepada internet, cuma orang dewasa jarang mengunjunginya. Dengan berada di situ juga kita dapat melihat sendiri apa yang berlaku di sana. Jika selama hari ini kita mengenali siber kafe dari cerita orang atau berita di akhbar, kini boleh kita saksikan sendiri dan mungkin ia boleh mengubah persepsi kita terhadap siber kafe.
Bagi wanita yang telah ada komputer dan internet, janganlah anggap anda tiada kena-mengena dengannya. Anda ada kaitan dengannya, sekurang-kurang untuk menjadi seorang warganegara yang celik IT dan bermaklumat. Malah, anda boleh memainkan peranan yang penting dari segi membimbing dan mendorong anak-anak ke arah penggunaan TM untuk perkembangan pengetahuan serta komunikasi. Jadi, mahu tidak mahu, anda perlu mengenali alat-alat itu, fungsinya, apa yang boleh dibuat dengannya dan sebagainya. Kalau tidak ada niat untuk mencari kerja atau berniaga atau bekerja di rumahpun, anda boleh mendapatkan sedikit sebanyak maklumat untuk diri sendiri. Yang lebih penting lagi, kita tahu apa yang anak kita buat dengan internet. Jadi, berjinak-jinaklah dengan alat ini. Jangan takut, ia tidak akan meletup kalau tersalah tekan! Minta bantuan suami atau kawan-kawan atau anak anda sendiri untuk mengajar anda mengenali kemudahan-kemudahan ini dengan lebih dekat lagi.
Bagi yang telah biasa menggunakan internet, cuba tanyakan pada diri anda, apa yang anda biasa lakukan dengannya? Mendengar lagu? Menonton VCD? Bersembang di laman sembang? Jika ini sahaja yang anda lakukan, cubalah berubah ke arah yang lebih baik kerana banyak perkara membina yang boleh dilakukan dengan internet itu. Cuba-cubalah untuk menggunakannya bagi menambahkan ilmu, menyelesaikan masalah dan aktiviti lain yang seumpamanya untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.
Di samping itu, bila mendapat sesuatu maklumat, kenalpasti kesahihannya kerana tidak semua maklumat itu betul. Ada juga maklumat yang sengaja diletakkan di situ bertujuan untuk menimbulkan keraguan. Jadi, semaklah dengan laman web yang lain dan jangan berpuashati dengan satu laman web sahaja. Dalam usaha kita menuju ke arah mewujudkan masyarakat bermaklumat, ianya tidak memadai jika kita hanya menjadi pencari maklumat, tetapi kita juga perlu menjadi pencari maklumat yang bijaksana. Dengan memiliki maklumat-maklumat seperti inilah wanita diperkaya oleh TM. Walaupun tidak kaya dari segi harta tetapi kaya dengan ilmu pengetahuan yang amat berharga.