Perkembangan teknologi kini telah membawa perubahan besar terhadap gaya hidup manusia.
Isu yang hangat diperkatakan pada masa kini ialah persaingan di antara teksi dan e-panggilan. Kekecohan timbul apabila Perdana Menteri telah mengadakan dialog dengan pemandu teksi di Langkawi pada 21 Oktober 2018 baru-baru ini. Pemandu teksi telah mendesak pihak kerajaan untuk membatalkan perniagaan e-panggilan kerana menurut mereka pihak ini telah mencuri pelanggan mereka. (BH online 21/10/2018)
E-panggilan ini sebenarnya memberikan nafas baru pada ribuan orang yang telah diberhentikan kerja. Jika sekiranya seseorang itu diberhentikan kerja, apakah yang mereka perlu buat untuk terus menjana pendapatan? Mereka tidak mempunyai modal untuk menjalankan perniagaan, mereka tiada kemahiran khusus untuk ditawarkan dan umur mereka juga yang agak sukar untuk diterima bekerja semula. Jadi, langkah pertama yang mereka fikirkan bagi mencari rezeki ialah untuk membuat e-panggilan.
Jika kita melihat pula komen daripada netizen mengapa mereka memilih e-panggilan maka dapat kita simpulkan kepada 5 sebab utama.
Pertama ialah harga bagi perkhidmatan e-panggilan adalah munasabah berbanding dengan teksi yang menggunakan meter dan seringkali berlaku pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter dengan alasan jalan sesak. Ini adalah berbeza dengan e-panggilan kerana caj tambang tidak boleh ditipu menggunakan aplikasi yang wajib diakses oleh pemandu dan pelanggan.
Kedua, kenderaaan e-panggilan adalah lebih selesa memandangkan syarikat aplikasi itu menetapkan tahun kenderaan tidak boleh melebihi lapan tahun.
Ketiga penggunaan e-panggilan adalah di hujung jari sahaja. Tempahan boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja dengan menggunakan aplikasi.
Keempat, e-panggilan menarik pelanggan dengan mengadakan promosi. Sebagai contoh e-panggilan menawarkan harga tambah serendah RM1 bagi 5km yang pertama.
Kelima, pemandu e-panggilan ini tidak boleh memilih pelanggan. Mereka perlu hantar ke destinasi yang telah pun ditetapkan oleh sistem aplikasi. Berlainan dengan teksi yang mana mereka boleh menolak permintaan pelanggan.
Keenam ialah inisiatif, jika pelanggan tidak tahu bagaimana hendak pergi ke tempat yang hendak dituju, kebiasannya pemandu e-panggilan akan menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk membawa pelanggan tetapi jarang sekali kita melihat pemandu teksi mempunyai inisiatif sebegitu. Kebanyakan mereka akan menolak dan menyuruh pelanggan mengambil teksi yang lain. Oleh sebab itu, pelancong asing masa kini lebih memilih e-panggilan daripada teksi.
Menurut sumber kementerian yang berkenaan, pemberian lesen teksi kini diberikan terus kepada pemandu teksi dan tidak lagi diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan atas angin. Kerajaan sebelum ini mengamalkan sistem pajak di mana hasil mereka akan ditolak untuk kereta sewa, sewa permit atau membayar secara harian kepada syarikat dan sebagainya. Setelah mereka mempunyai permit sendiri mereka hanya perlu membayar ansuran kereta sahaja.
Sistem yang diperkenalkan ini secara tidak langsung telah menghapuskan orang tengah yang telah mengaut keuntungan. Sesetengah syarikat ini menjana pendapatan hanya dengan menyewakan permit teksi tetapi kini pemandu telah mempunyai permit teksi sendiri atau mereka telah beralih kepada e-panggilan. Maka perkara ini telah memberi tamparan hebat kepada orang tengah. Sekiranya satu permit disewa kepada pemandu teksi sebanyak RM40 sehari dan syarikat tersebut mempunyai sebanyak 400 permit maka kita boleh bayangkan berapakah pendapatan orang tengah ini sebulan.
Bila kita memperkatakan mengenai teknologi aplikasi ini saya ingin memetik ucapan Tun Dr Mahathir pada 12 Disember 1983 berkaitan dengan halangan budaya terhadap pemindahan teknologi semasa Simposium Antarabangsa tentang Teknologi, Kebudayaan dan Pembangunan di Kuala Lumpur.
Tun Dr Mahathir telah menyentuh mengenai kebudayaan yang sering dilupakan apabila kita berurusan dengan teknologi. Akibatnya kemasukan teknologi dan konsep pembangunan luar negara sering mengecewakan banyak negara membangun. Walaupun pengaruh teknologi, kebudayaan dan pembangunan boleh menjadi pelengkap, namun ia juga boleh memporak-perandakan masyarakat.
Pemindahan teknologi tidak mungkin dapat dilakukan kerana mereka masih mengekalkan cara lama dan menutup pintu untuk menerima perubahan. Sikap ini menghalang pemindahan teknologi kerana penerimaan teknologi baru memerlukan satu tahap disiplin dan keinginan untuk berubah dan peningkatan diri.
Sebelum sesuatu teknologi itu dapat dipindahkan dengan jayanya halangan budaya mestilah diatasi. Sekiranya halangan budaya ini tidak diatasi maka mereka akan berterusan mendesak kerajaan agar ditamatkan teknologi baru tersebut.
Sepatutnya, masyakat kita bukan setakat menerima teknologi yang baru semata-mata tetapi menambahbaik aplikasi tersebut agar sesuai dengan agama dan budaya setempat. Sebagai contoh kita memperkenalkan aplikasi syarikat seperti GrabCar yang patuh syariah yang mana penumpang wanita yang bersendirian diberikan pemandu wanita oleh sistem aplikasi tersebut.
Kesimpulannya, pada era revolusi industri seterusnya kenderaan tanpa pemandu pula akan diperkenalkan bagi menggantikan teksi atau sistem transportasi seperti GrabCar untuk pergi ke sesuatu destinasi. Kesemuanya akan digerakkan oleh sistem robotik yang disediakan di dalam kenderaan tersebut