Seandainya wujud tiga keadaan berlaku di dalam sebuah pejabat di mana seorang pekerja itu memiliki kelulusan yang tinggi dan cemerlang tetapi apabila dia bercakap atau mengeluarkan arahan membuatkan orang lain sakit hati. Kedua, seorang pekerja yang mempunyai pendidikan dan kemahiran yang tinggi, dia hanya tahu melaksanakan tugasnya dengan baik apabila mendapat pujian dan bonus daripada majikannya serta kurang kebolehan bersosial. Ketiga, seorang pekerja mempunyai pendidikan dan sikap yang amat baik, dia memiliki kemahuan mahu belajar dan mencuba yang begitu tinggi dan mesra dengan semua orang yang bekerja dengannya. Keadaan yang mana satukah kita mahukan wujud dalam pejabat atau masyarakat kita? Sudah tentu kita menginginkan keadaan yang ketiga iaitu seorang insan yang mempunyai sikap yang baik kerana insan ini berpandangan positif, mahu belajar, tidak sombong dan terbuka.
Kajian yang dibuat oleh sebuah universiti terkemuka dunia, Harvard Business School mendapati kepintaran ilmu dan kemahiran hanya menyumbang kepada 10 ke 25 peratus kejayaan sebuah institusi perniagaan itu. Walhal, 80 peratus kejayaan sesebuah syarikat perniagaan atau institusi bergantung kepada sikap pekerja yang menganggotainya.
Apa yang membezakan diri kita dengan orang lain adalah sikap. Perbezaan yang ketara dalam kalangan orang-orang yang berjaya bukanlah sepenuhnya datang dari pendidikan tinggi yang dimilikinya, tetapi sikap yang ada pada dirinya. Cuba kita ambil contoh peniaga-peniaga terkemuka di Malaysia seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew, mereka tidaklah mendapat pendidikan tinggi sehingga Doktor Falsafah, tetapi kejayaan yang mereka perlolehi amat sukar ditandingi. Mengapa? Jawapannya adalah ‘sikap’ lah penentu segala-galanya kerana di dalam sikap yang mulia itu wujudnya keyakinan dan kemahuan yang amat tinggi. Sikap inilah yang perlu dibentuk, bukannya kelulusan akademik semata-mata. Sekiranya hanya kelulusan akademik dan kemahiran diberikan perhatian sepenuhnya dalam membentuk generasi baru, suatu hari nanti akan banyak penyakit sosial yang kronik akan timbul. Maka akan lahirlah generasi pekerja yang hanya fizikalnya hadir di pejabat tetapi tidak hati nuraninya, kerana hidupnya hanya semata-mata untuk hidup disebabkan keadaan dan suasana pekerjaan yang dipimpin oleh majikan atau orang-orang yang tidak memiliki sikap yang mulia.
Tidak dinafikan bahawa pendidikan itu penting kerana dengan pendidikan itu datangnya kemahiran. Harus diingat bahawa mauduk pendidikan ini adalah subjektif sifatnya kerana memperoleh ilmu itu sifatnya berterusan kerana proses penimbaan ilmu boleh berlaku melalui pembacaan, pemerhatian, perasaan, pemikiran dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penekanan terhadap pendidikan seperti mana di alam persekolahan hari ini yang begitu kaku akan menyebabkan generasi akan datang hilang kemahiran hidup yang diperlukan.
Kehidupan yang bertunjangkan ‘kerobotan’ yang tidak ada perasaan, perkara yang senang disusahkan dan perkara yang susah bertambah sukar sebegini akan menyebabkan tekanan psikologi dan hidup. Apabila keadaan ini berlaku maka terjadilah sebagaimana yang pernah diutarakan oleh pemikir ulung Jacque Rousseau bahawa “kemodenan membuat kehidupan kita bertambah mundur”.
Kota San Francisco di California, Amerika Syarikat amat terkenal dengan kekayaan dan kemewahan hidup yang moden. Di sinilah terletaknya Hollywood, Alcatrazm – sebuah penjara di atas sebuah pulau yang pernah menempatkan Al-Capone (Alphonse Gabriel Capone) dan juga Jambatan Merah (The Golden Gate Bridge) yang panjang dan tinggi. Namun dengan kemodenan hidup, Jambatan Merah ini jugalah menjadi tempat popular untuk orang-orang yang mengalami tekanan jiwa dan kehidupan dengan terjun untuk membunuh diri. Mengapa ini boleh berlaku dalam sebuah negara yang maju, moden dan masyarakatnya ‘terdidik’?
Hakikatnya ramai yang menjadi mangsa tekanan hidup akibat kemodenan dan kekayaan yang menghimpit kehidupan. Corak kehidupan sebegini sudah menampakkan kelibatnya di negara-negara Asia seperti Jepun, Singapura dan China. Apakah kita mahu rakyat Malaysia berhadapan dengan corak hidup sebegini? Inilah akibatnya jikalau umat manusia diukur atau dibentuk berlandaskan pencapaian merit akademik semata-mata sehingga menyebabkan mereka bergantung pada satu kemahiran dan kebolehan sahaja.
Media arus perdana juga ada peranan yang perlu dimainkan. Setiap kali keputusan peperiksaan utama negara seperti SPM dan STPM, pihak media membuat liputan yang begitu meluas berkaitan pencapaian cemerlang akademik. Keadaan ini telah menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan budaya menekan anak-anak mendapatkan keputusan A dalam setiap pelajaran, kalau boleh sampai 21 A, sehingga meminggirkan bahawa aspek kemahiran hidup juga penting. Kemahiran hidup seperti kemampuan bersosial dengan sopan dan ketatasusilaan, memiliki disiplin kendiri dan sikap yang baik dipinggirkan sehingga anak-anak hanya pandai dalam kaedah atas kertas semata-mata.
Kemahiran hidup sangat penting kerana di dalamnya ada elemen tambah nilai yang boleh digunakan dan bermanfaat untuk mengimbangi kehidupan biasa seorang insan dalam hidup bermasyarakat. Oleh yang sedemikian, pendidikan nasional wajar mengimbangi pendidikan berorientasikan peperiksaan dan pemarkahan dengan pendidikan berorientasikan kebolehan dan kemahiran individu. Kerangka pendidikan dan pengajaran ini perlu bermula sewaktu sekolah rendah lagi kerana pada masa inilah anak-anak begitu aktif dan suka mencuba perkara yang baru.
Pembelajaran anak-anak di sekolah rendah perlu diselitkan dengan kaedah dan bahan pengajaran yang membuat mereka gembira. Lawatan-lawatan sambil belajar adalah satu pendekatan yang sangat baik dengan syarat adanya tempat-tempat yang sesuai untuk proses pembentukan pembelajaran ini.
Sudah tentu aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyelitkan latihan amali sukar dibuat, namun ini memerlukan penglibatan sepenuhnya oleh guru-guru. Maka guru-guru harus menggunakan kreativiti mereka untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sebegini. Pihak sekolah dan kerajaan perlu memberi dorongan yang kuat kepada guru-guru bukan setakat motivasi diri dan pelbagai kursus peningkatan diri tetapi juga dana atau peruntukkan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti-aktiviti kelas yang mendatangkan manfaat kepada anak-anak. Sekiranya elaun-elaun seperti elaun keraian, pengubahsuaian bilik pejabat, elaun kritikal dan sebagainya yang menelan belanja besar boleh diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan yang lain, mengapa tidak diberikan peruntukkan berkaitan kepada guru-guru yang bergelumang hidup dengan susah senang mengajar anak-anak kita, pelapis masa hadapan?
Pihak ibu bapa pula wajar memahami bahawa selain pihak sekolah yang menyediakan prasarana untuk anak-anak menimba ilmu yang jelas condong ke arah pencapaian akademik, pihak ibu bapa juga perlu mendedahkan sebanyak mungkin aktiviti-aktiviti amali yang dapat membantu anak-anak membina kemahiran hidup. Anak-anak perlu didedahkan dengan erti kesusahan dan berdikari dengan melibatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti sosial hujung minggu seperti gotong-royong kejiranan. Suasana kehidupan kampung sudah tentu dapat membantu dalam proses ini.
Kemahiran hidup merupakan aspek penting bagi mengimbangi kehidupan dalam kalangan pelajar. Melalui pembinaan aspek ini sahajalah maka terbentuknya keyakinan diri, kesungguhan, fokus, budi pekerti, hormat, dan kegembiraan. Dengan pendedahan kepada asas kemahiran hidup di peringkat awal pembesaran, anak-anak akan cerdas dan seronok menimba ilmu bukan setakat pada apa yang ada di dalam buku atau dalam kelas darjah semata-mata, malah mereka akan mampu menggunakan kebolehan berfikir, memerhati dan merasa bila melakukan aktiviti luar darjah. Maka dengan ini bakat mereka akan terserlah mengikut keunikan diri masing-masing, semoga di suatu hari nanti apabila mereka sudah dewasa, mereka tidak menyesal dengan apa yang mereka telah lalui dan perolehi. Mereka inilah yang akan mampu mengharungi tekanan hidup susah dan senang. Mereka jugalah yang akan senantiasa membawa penambahbaikan kepada sistem pembelajaran yang sedia ada agar ia sesuai dengan zaman mereka.