Manusia pada amnya mengharapkan berbagai-bagai perkara untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pada pandangan agama Islam, keperluan adalah semua yang perlu bagi menjaga lima asas kehidupan. Asas kehidupan itu termasuklah agama, nyawa, akal fikiran, zuriat dan harta kekayaan. Dan manusia lazimnya akan berusaha untuk memenuhi keperluan yang paling asas sebelum memenuhi kehendak lain di peringkat yang lebih tinggi.
Bagi memenuhi segala tuntutan ini, individu akan memasuki berbagai-bagai urusan atau urusniaga, sekaligus merancakkan ekonomi negara. Bagaimanapun individu atau pengguna perlu sentiasa berhati-hati bila memasuki sebarang perjanjian/aqad yang akan mengikat mereka. Ini kerana kebanyakan perjanjian di antara peniaga dan pengguna mengandungi syarat-syarat/terma-terma yang tidak adil. Walaupun pengguna mungkin akan mengatakan bahawa dia tidak menyedari akan kewujudan syarat-syarat tersebut atau mungkin tidak membacanya, namun segalanya sudah terlewat apabila perjanjian telah ditandatangani.
Satu daripada perkembangan yang paling penting dalam perkara ini adalah kewujudan perjanjian bentuk seragam(standard form contracts). Kemunculan perjanjian-perjanjian sebegini menghapuskan sama sekali andaian bahawa ianya adalah hasil dari kerelaan bebas di antara pihak-pihak yang terlibat. Perjanjian bentuk seragam lazimnya dicetak dengan banyak untuk digunakan berulang kali bagi urusan yang sama. Ia biasanya digunakan oleh syarikat-syarikat besar dalam urusan mereka dengan pengguna. Syarikat dan badan korporat ini lebih berkemahiran dalam selok belok perniagaan serta mempunyai kewangan lebih mantap berbanding dengan pengguna itu sendiri.
Penggunaan perjanjian sebegini begitu meluas sehingga hampir kesemua perjanjian yang terdapat hari ini adalah sebegitu rupa. Seseorang yang berhadapan dengan perjanjian sebegini mempunyai dua pilihan, terima sebulat-bulatnya atau menolak(take it or leave it). Adalah sukar bagi pengguna meminda perjanjian bentuk seragam ini. Tiada rundingan di antara kedua-dua pihak, hanya mematuhi. Perjanjian sebegini jelas menafikan kebebasan pihak lain, yang selalunya lebih lemah, untuk merunding syarat-syarat perjanjian.
Melalui perjanjian sebegini, syarat-syarat yang membebankan pihak yang lemah dapat dimuatkan ke dalamnya. Contohnya, syarat yang membolehkan bank mengubah peratus keuntungannya ke atas pinjaman yang telah diberi kepada pelanggan, sedangkan kadar itu telah dipersetujui bersama sebelumnya. Malah perkara tersebut selalunya merupakan perkara yang pertama ditanya sebelum pengguna mengambil sebarang keputusan. Pengguna pasti akan teraniaya apabila bank kononnya diberi hak mutlak menukar peratus keuntungannya sesuka hati, tanpa persetujuannya. Terdapat juga syarat seperti bank mempunyai hak untuk mengubah, menghapuskan apa-apa syarat bila-bila masa tanpa memberitahu pelanggan dan ia akan berkuatkuasa apabila bank sendiri memutuskannya. Sepatutnya sebarang perubahan syarat mendapat persetujuan bersama dengan pelanggan. Contoh lain adalah, kontrak sebuah syarikat penerbangan mengandungi terma bahawa walaupun tempat duduk pelanggan telah ditempah dan disahkan, pelanggan mungkin tetap dihalang menaiki kapal terbang.
Mungkin boleh disebut sedikit di sini tentang perjanjian pemberian biasiswa/pinjaman pelajaran yang diberikan penaja kepada pelajar. Boleh dikatakan perjanjian sebegini bukanlah bagi tujuan berniaga serta mengaut keuntungan seperti perjanjian-perjanjian pengguna yang lain, namun jangan terperanjat jika mendapati perjanjian sebegini juga mengandungi syarat-syarat yang tidak adil serta bayaran-bayaran yang tidak munasabah. Sepatutnya perjanjian sebegini tidak menganiaya pelajar kerana ia telah diberi atas tujuan yang murni, iaitu untuk melanjutkan pelajaran, maka seharusnya niat yang murni itu juga terpancar pada perjanjian tersebut, tanpa ada unsur-unsur penindasan mereka yang lemah.
Perjanjian bentuk seragam juga mengandungi syarat yang menghapus atau mengurangkan tanggungan pihak yang menyediakan perjanjian tersebut(fasal-fasal pengecualian). Contohnya bila kita meletak kenderaan di suatu tempat berbayar, kita akan diberi suatu tiket yang mengatakan bahawa, syarikat tersebut tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa pada kenderaan tersebut semasa berada di situ. Selalunya perjanjian bentuk seragam digunakan oleh syarikat-syarikat besar dengan pengguna, oleh itu terdapat ketidakseimbangan pertukaran di antara pihak-pihak tersebut. Andaian bahawa individu itu mampu membuat pilihan yang bebas dan bijak nyata meleset.
Perhatikan juga bahasa yang digunakan oleh kebanyakan perjanjian bentuk seragam, kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris. Bayangkan bagaimana seorang yang tidak memahami bahasa Inggeris, beliau akan menandatangani perjanjian yang mungkin mengandungi syarat-syarat yang memudaratkan beliau. Bagi yang memahami bahasa Inggeris pula, tetap akan menghadapi masalah memahami maksud syarat-syarat tersebut. Contohnya, “At anytime, we reserve the absolute discretion to disburse the aforesaid loan or such part thereof in such manner by such time and upon such terms and conditions stipulated by or comfortable to us and our solicitors and although we may have notice of the terms and conditions of the Sale and Purchase Agreement you have entered with the Developer/Vendor in respect to which we will try to assist your compliance, we are however not obligated or legally bound to do so and by virtue thereof you expressly agree not to hold us responsibly liable or accountable for any loss, damage, expense, or cost incurred by you as a result of any delay in disbursement or documentation of the aforesaid loan by either our company or our solicitors in relation to any Sale & Purchase Agreement or transaction you have entered with such Developer/Vendor”.. Berapa ramai di antara kita yang memahami apa yang dimaksudkan oleh syarat ini? Namun disebabkan tiada pilihan, ramai pengguna selalunya bersetuju dengan syarat tersebut tanpa memahami maksudnya yang sebenar. Sepatutnya bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan digunakan. Kebanyakan perjanjian dengan pengguna juga mengandungi tulisan yang kecil, sekaligus menyusahkan sesiapa untuk meneliti lebih lanjut syarat-syarat yang terkandung di dalamnya. Sepatutnya ia ditulis dengan besar agar senang dibaca dan di tandakan mana-mana syarat yang memerlukan lebih perhatian dari pengguna, agar mereka termaklum.
Pengguna perlu dilindungi dari syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah dan tidak adil ini. Undang-undang Inggeris telah lama mempunyai Aktanya sendiri bagi menangani masalah ini. Akta Terma-terma Tak Adil 1977(Unfair Contract Terms Act 1977) akan mengawal mana-mana syarat yang tidak adil di dalam perjanjian bentuk seragam, termasuklah fasal-fasal pengecualian. Syarat-syarat yang didapati tidak adil, tidak boleh dilaksanakan. Malaysia masih belum mempunyai Akta sebegini, jadi perlindungan kepada pengguna kita masih mustahil. Kita masih dengan andaian bahawa invidu itu bebas untuk membuat pilihan bijak, walaupun kita telah mengatakan tadi di dalam perjanjian bentuk seragam, andaian itu tidak tepat sama sekali.
Agama Islam menggalakkan sebarang usaha untuk mewujudkan persekitaran yang adil dan saksama dalam sebarang perjanjian atau aqad. Demi kemaslahatan bersama, pengguna dan peniaga sepatutnya bekerjasama dan berunding. Pasaran terbuka mengalakkan persaingan, sepatutnya peniaga berminat memberi lebih maklumat dan kefahaman kepada pengguna sebelum mereka membuat keputusan. Kaedah begini lebih berkesan jangka panjang daripada cara mengaut keuntungan segera dengan menindas pengguna. Hubungan antara keduanya mestilah berlandaskan akhlaq dan tingkah laku yang digalakkan oleh agama Islam. Undang-undang Islami memandang berat kepada unsur penindasan dan penipuan dalam urusniaga. Pengguna dan peniaga mestilah sedar bahawa hubungan antara kedua-duanya akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak. Hukuman akibat menipu dan muslihat dalam muamalat kepenggunaan pasti berlaku.