Di ruang tamu sebuah rumah di Malaysia, video letupan di sebuah bandar asing muncul berulang kali di skrin telefon. Pada minggu yang sama, seorang peniaga kecil meneliti invois: kos penghantaran meningkat, margin untung menipis, dan pelanggan pula semakin berjimat. Sekali imbas, peperangan “di luar sana” dan belanja “di sini” kelihatan seperti dua cerita berbeza. Namun, dalam dunia yang saling terhubung, kedua-duanya sering terkait secara emosi dan ekonomi.
Peperangan moden tidak lagi terhad pada medan tempur. Ia merentas sempadan melalui media digital dan pasaran komoditi global. Akibatnya, sebahagian orang mengalami tekanan emosi setelah terdedah berulang kali kepada imej keganasan, sementara dalam masa yang sama ramai berdepan bebanan kos sara hidup yang terasa semakin berat. Apabila dua tekanan ini bertindih, ia menghasilkan tekanan psikososial berganda: gabungan keletihan mental dan kebimbangan kewangan yang boleh menghakis daya tumpuan, hubungan keluarga, serta daya tahan komuniti.
Trauma lazimnya dikaitkan dengan pengalaman langsung seperti bencana, kemalangan, atau peperangan. Tetapi di dalam profesion psikologi, terdapat apa yang dikenali sebagai tekanan traumatik sekunder (secondary traumatic stress) dan trauma vicarious, iaitu reaksi stres yang timbul apabila seseorang terdedah kepada butiran atau gambaran trauma orang lain. Pada awalnya, risiko ini banyak dibincang dalam konteks petugas barisan hadapan. Namun, pada era digital, ia relevan kepada orang awam yang “menyaksikan” tragedi melalui gambar, video, dan siaran langsung melibatkan pihak lain.
Reaksi psikologi terhadap pendedahan konflik boleh muncul dalam pelbagai bentuk seperti kebimbangan, mimpi ngeri, gangguan tidur, mudah marah, perasaan tidak berdaya, serta kecenderungan untuk mengelak daripada mengikuti berita tertentu. Walaupun keadaan ini tidak semestinya mencapai tahap gangguan klinikal, ia berpotensi menjejaskan fungsi harian, khususnya apabila pendedahan berlaku secara berulang, terlalu grafik, dan tanpa ruang yang mencukupi untuk pemulihan emosi. Kajian media turut menunjukkan bahawa skrin bukan sekadar berfungsi sebagai “tingkap maklumat”, malah bagi sesetengah individu, ia boleh menjadi pencetus kepada trauma psikologi yang berpanjangan.
Kesan konflik turut dicetuskan oleh faktor ekonomi. Tenaga seperti minyak dan gas merupakan komoditi strategik yang menjadi asas kepada sistem pengangkutan, sektor industri, serta penentuan harga pelbagai barangan. Apabila konflik mengganggu pengeluaran atau laluan penghantaran, pasaran global lazimnya bertindak balas melalui ketidaktentuan harga. International Energy Agency (IEA), sebagai contoh, menegaskan bahawa gangguan bekalan minyak akibat konflik berpotensi memberi tekanan kepada pengguna melalui peningkatan harga bahan api dan produk berkaitan, sekali gus menyumbang kepada inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Di Malaysia, impak luar ini cuba “dilembutkan” melalui mekanisme penetapan harga runcit dan intervensi kerajaan. Kementerian Kewangan contohnya ada mengeluarkan kenyataan berkala mengenai harga runcit petrol dan diesel selaras dengan mekanisme yang diguna pakai, dan siri data harga mingguan turut tersedia melalui platform data.gov.my. Namun, walaupun dengan subsidi atau kawalan tertentu, perubahan tenaga global masih boleh mempengaruhi kos pengangkutan dan logistik. Kesan seterusnya sering terasa pada harga makanan dan barangan, kerana ekonomi harian bergerak melalui rantaian bekalan.
WHO menegaskan bahawa faktor sosial seperti keadaan ekonomi, akses kepada sumber dan ketidaksamarataan memainkan peranan besar dalam membentuk risiko gangguan mental serta kesejahteraan psikologi. Dalam erti kata mudah, tekanan kewangan bukan sekadar perasaan sementara, tetapi boleh menjadi stres kronik yang berulang. Keadaan ini seterusnya menjejaskan tidur, tumpuan, hubungan keluarga dan keupayaan membuat keputusan. Seiring itu, American Psychiatric Association turut mengiktiraf kestabilan ekonomi—termasuk pendapatan, pekerjaan dan keselamatan kewangan—sebagai faktor penting dalam menentukan tahap kesihatan mental seseorang.
Dalam konteks semasa, dua bentuk tekanan ini sering bertembung. Seseorang mungkin terkesan secara emosi apabila menyaksikan penderitaan global, sambil pada masa yang sama dibebani kebimbangan terhadap bil, sewa atau hutang. Gabungan ini mudah membawa kepada keletihan mental, apabila tubuh sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan minda sukar untuk berehat. Dalam jangka masa tertentu, empati juga boleh merosot, satu fenomena yang dikenali sebagai compassion fatigue akibat pendedahan berulang kepada penderitaan. Di peringkat domestik, tekanan ini boleh mencetuskan ketegangan dalam keluarga apabila emosi terganggu dan beban kewangan meningkat serentak. Manakala di ruang maya, perbezaan pandangan terhadap konflik pula berpotensi menimbulkan polarisasi sosial, sekali gus menambah lagi tekanan psikologi dalam kalangan masyarakat.
Data tempatan mengingatkan bahawa isu kesihatan mental bukan terpencil. Fact Sheet NHMS 2019 melaporkan 2.3% orang dewasa mempunyai kemurungan, dan 7.9% kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun didapati mempunyai masalah kesihatan mental. Pada sisi sistem, profil Malaysia dalam WHO Mental Health Atlas 2020 merekodkan tenaga kerja kesihatan mental yang terhad bagi setiap 100,000 penduduk; contohnya sekitar 385 ahli psikiatri (lebih kurang 1.21 per 100,000), dan jumlah profesional kesihatan mental sekitar 1,871 orang (kira-kira 5.86 setiap 100,000). Walaupun bantuan wujud, stigma masih menjadi faktor utama yang menghalang proses rawatan dan pemulihan.
Sebagai langkah mitigasi trauma emosi tanpa sempadan ini, terdapat pelbagai kaedah yang perlu dilakukan. Pertama, pendedahan media perlu diurus secara sedar. Tetapkan masa khusus untuk mengikuti berita, elakkan kandungan trauma grafik berulang, dan pilih sumber yang sahih. Pendekatan literasi media membantu masyarakat menilai maklumat secara kritikal serta mengawal pendedahan tanpa mengabaikan keprihatinan kemanusiaan.
Kedua, kenal pasti tanda awal tekanan psikologi dalam diri dan keluarga. Gangguan tidur, emosi tidak stabil atau kebimbangan yang menjejaskan fungsi harian merupakan isyarat untuk mendapatkan bantuan. Ketiga, ketahanan tidak bermaksud menghadapi tekanan secara bersendirian. Nilai spiritual seperti sabar dan tawakal boleh menguatkan daya tahan, namun perlu disokong oleh jaringan sosial, rutin sihat dan akses kepada bantuan profesional. Pada masa yang sama, dasar awam perlu meletakkan kesihatan mental sebagai isu utama implikasi kos sara hidup melalui perlindungan sosial dan akses perkhidmatan yang lebih luas.
Walaupun peperangan berlaku jauh secara geografi, kesannya tetap dirasai melalui tekanan psikologi dan beban ekonomi. Memahami kedua-dua dimensi ini membolehkan masyarakat mengurus tekanan dengan lebih tersusun, menjaga kesejahteraan diri, serta memperkukuh sistem sokongan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

