Kita maklum bahawa manusia merupakan makhluk sosial, dan komunikasi perlu dilakukan untuk menyampaikan mesej tertentu dalam melakukan apa sahaja urusan. Oleh sebab komunikasi merupakan perkara yang mesti dilakukan oleh manusia agar manusia dapat melaksanakan peranan masing-masing, maka al-Quran dan Sunah telah menyediakan panduan dan bimbingan kepada manusia dalam berkomunikasi.
Dalam Surah al-Isra’ ayat 53 sebagai contoh, Allah SWT memerintahkan agar manusia berkata dengan kata-kata yang baik. Dalam ayat ini juga Allah memberi amaran tentang perangai syaitan yang suka menghasut sesama manusia. Hal ini boleh memberikan maksud bahawa syaitan ialah makhluk yang akan mencari ruang dan peluang melalui kelalaian manusia daripada kata-katanya untuk menghasut dan meniupkan api perbalahan sesama manusia.
Manakala dalam ayat kedua Surah al-Hujurat pula Allah SWT melarang umat Islam untuk tidak meninggikan suara. Allah juga melarang manusia daripada mengeluarkan suara secara keras supaya dapat memelihara pahala daripada amal-amal yang pernah dikerjakan sebelum ini. Hal yang demikian menunjukkan bahawa bercakap dengan kasar boleh menghapuskan pahala seseorang, dan ia sudah tentu amat merugikan.
Panduan dan bimbingan dalam berkomunikasi sesama manusia juga disampaikan melalui Hadis-Hadis Baginda Rasulullah SAW. Perkara ini menjelaskan bahawa agama Islam amat menitikberatkan adab dan akhlak dalam berkomunikasi. Berdasarkan sebuah Hadis riwayat al-Tirmidzi, Baginda Rasulullah SAW menyarankan umat Baginda untuk senantiasa mengingati Allah dengan memperbanyakkan zikir kerana banyak berkata-kata hanya menyebabkan hati manusia menjadi keras.
Bimbingan teknikal untuk berkomunikasi juga boleh ditemui dalam Hadis-Hadis Rasulullah SAW contohnya sebuah Hadis riwayat Bukhari dan Muslim iaitu, seorang sahabat bernama Anas RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bertutur dengan jelas; serius serta singkat; dan Baginda tidak suka bercakap secara berleter dan tergopoh-gapah. Sebenarnya banyak lagi dalil-dalil yang boleh kita temui yang membangkitkan soal adab atau akhlak dalam kehidupan seseorang Muslim. Saranan yang terkandung dalam kedua-dua Hadis ini membuktikan bahawa agama Islam amat mementingkan cakap-cakap yang baik, ringkas, padat serta tidak meleret-leret. Yang penting mesej yang dikehendaki sampai kepada pihak satu lagi.
Panduan dan bimbingan yang disediakan dalam agama Islam ini memperlihatkan betapa sempurna dan indahnya agama Islam sebagai agama yang benar-benar serius mahukan umatnya memiliki akhlak yang mulia dan tinggi peribadi. Begitu seriusnya agama Islam dalam soal akhlak ini sehinggakan Baginda Rasulullah SAW membuat jaminan tentang anugerah yang akan dimiliki oleh seseorang yang benar-benar menjaga tutur katanya melalui sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang membawa maksud:
“Aku jamin rumah di dasar syurga bagi orang yang menghindari perdebatan sekalipun ia benar; dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi orang yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau; dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya.”
Sehubungan dengan hal ini juga Rasulullah SAW menyebut bahawa syurga itu diharamkan kepada orang-orang yang menuturkan kata-kata yang keji. Baginda juga berpesan kepada Sayidatina Aishah RA bahawa lelaki yang tutur katanya keji ialah lelaki yang jahat. Dalam Kitab Ihya Ulumuddin Imam al-Ghazali menyebut tentang dosa lidah yang boleh membinasakan penuturnya, iaitu termasuk kata-kata keji, maki hamun, dan tutur kata yang lucah. Pengeculian untuk berkata buruk secara berterus-terang hanya diberi ruang untuk mendedahkan sesuatu kejahatan oleh orang yang teraniaya. Ruang ini boleh dilihat dalam ayat 148 Surah an-Nisaa’.
Sehubungan dengan perkara ini, walaupun dunia bersosial untuk manusia telah berubah dan manusia bebas berkomunikasi secara atas talian atau secara maya, yang menghubungkan dunia informasi secara global interaktif, prinsip-prinsip dalam akhlak Islam tidak sekali-kali berubah. Sebahagian daripada cara berkomunikasi juga tidak lagi menggunakan lidah, dan digantikan dengan perkataan-perkataan yang membina ayat demi ayat di papan kekunci, tetapi secara umumnya mesej tertentu tetap akan sampai kepada pihak yang diajak berkomunikasi.
Akhlak Islam dituntut terhadap umat Islam tanpa mengira masa, atau di mana sahaja individu itu berada, dalam keadaan maklumat boleh diperolehi hanya melalui hujung jari dan mampu menembusi batas dan sempadan geografi, selain ia berlaku dengan pantas. Dalam hal ini, jika akhlak Islam tidak dijadikan sebagai pengawal dan pembimbing terhadap tindak tanduk individu Islam, maka akan berlakulah pelbagai salah laku yang menyebabkan perselisihan faham serta permusuhan sesama manusia.
Malangnya, perkara ini sudah menjadi kebiasaan dan dilakukan tanpa sedikit rasa bersalah. Di sinilah kekuatan iman amat diperlukan kerana komunikasi boleh sahaja dilakukan tanpa perlu bersemuka. Kekuatan iman yang berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Hasyr ayat 18, yang antaranya memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya bertakwa dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan, dan meninggalkan perkara yang dilarang demi Hari Akhirat. Dalam ayat yang sama juga Allah mengingatkan agar hamba-hamba-Nya bertakwa kerana sesungguhnya Allah itu memiliki pengetahuan yang sempurna terhadap apa yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Nya.
Rasulullah SAW juga berpesan dengan pesanannya yang bermaksud, “Takutilah Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebaikan akan dapat menghapuskan kejahatan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”
Akhir kata sebagai rumusan perbincangan ini benarlah sebagaimana maksud sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad iaitu, “Sesungguhnya aku (Nabi Muhammad SAW) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.”