Umat Islam di Kemboja hari ini nampaknya mula bangkit selepas dicengkam oleh kekejaman rejim Pol Pot. Selama empat tahun Kemboja (1975-79) di bawah pemerintahan komunis Khmer Rouge pimpinan Pol Pot, sekitar setengah juta rakyat Kemboja dibunuh samada yang beragama Islam atau bukan, dewasa mahupun bayi atau wanita. Itulah kekejaman komunis yang sepatutnya menjadi iktibar kepada kita rakyat Malaysia untuk sama-sama bersyukur kerana kita masih lagi bebas mengamalkan ajaran Islam secara aman dan damai.
Pemerintahan komunis Khmer Rouge membunuh sesiapa sahaja yang beragama. Malah dikatakan wujud perkampungan di Kemboja yang bukan sahaja tiada manusia yang hidup selepas kemasukan askar Khmer Rouge, bahkan haiwan juga tiada lagi yang bernyawa kerana semuanya dibunuh dengan kejam oleh komunis Khmer Rouge.
Dalam program Kembara Korban Bersama Para Penyampai IKIMfm pada 4-8 November baru-baru ini, rombongan peserta seramai 80 orang telah dibawa melawat pelbagai tempat-tempat bersejarah seperti tempat siksaan Toul Sleng (asalnya sekolah terkenal di tengah kota Phnom Penh) dan sebuah padang di pinggir kota Phnom Penh yang dipanggil “Killing Field” (Padang Pembunuhan). Di celah-celah padang itu lah masih tertegak sebatang pohon “bersejarah hitam” yang digunakan oleh askar komunis Phnom Penh untuk membunuh bayi-bayi dan anak-anak kecil. Andaikata kami bisa mendengar bicara dan perasaan pohon tersebut, pasti diceritakan kesemuanya kepada kami yang melawatnya hari itu bagaimana saban hari ia menjadi tempat askar Khmer Rouge membunuh bayi-bayi dan anak-anak kecil dengan cara menghayunkan kepala mereka ke pokok tersebut sehingga tidak bernyawa. Pasti menangis kesedihan pohon itu atas kekejaman manusia durjana itu.
Pohon menangis bukanlah suatu yang asing dalam tradisi Islam kerana dalam Sirah Nabawiyyah pernah menyebut bagaimana sepohon batang kurma yang pernah dijadikan tempat Rasulullah SAW berkhutbah menangis. Ianya disebutkan dalam Hadith Bukhari dan Tirmidhi di mana salah satu riwayat dari Abdullah ibn Umar r.a. menyebut: “Suatu ketika dulu Nabi SAW berkhutbah di atas sebatang kurma. Tatkala beliau telah membuat mimbar, maka beliau berpindah ke mimbar itu. Batang kurma itu pun menangis (dalam satu riwayat lain, kami mendengar seperti suara unta menangis). Maka Nabi SAW mendatanginya sambil meletakkan tangannya pada batang korma itu (untuk menenangkannya)”. [Bukhari (3390) (876), Tirmidhi (505)]
Di depan “pohon pembunuh” itu jugalah ramai bayi-bayi dibunuh dengan cara dilambung tinggi di udara lalu dilepaskan tembakan ke arah mereka ketika masih di udara oleh askar-askar yang tiada peri kemanusiaan. Kesemua bayi-bayi yang tidak bernyawa itu kemudiaannya disepak ke dalam satu lubang besar berdekatan dengan pohon pembunuh tersebut yang digali khusus untuk menempatkan mayat bayi-bayi tidak berdosa itu. Apabila ditanya kepada pemandu pelancong kami, kenapa mereka askar Khmer Rouge sanggup memperlakukan sedemikian seolah-olah tidak berhati perut? Jawab mereka ringkas, “sememangnya askbar Kemboja itu tidak berhati perut, jika mereka berhati perut sudah tentu tidak tergamak membunuh ibubapa mereka sendiri”. Inilah yang dikatakan bagaimana besar pengaruh sesuatu ideologi terhadap manusia sehingga boleh menjadikan manusia hilang kewarasan akal apabila ketaksuban menguasai diri. Pemikiran askar-askar itu telah “dibasuh” untuk mencapai matlamat ideologi komunis mereka bagi melahirkan masyarakat yang tiada kelas, sama rata. Lantaran itulah Islam menyeru umatnya agar bersederhana dalam setiap perkara kerana itulah yang terbaik.
Rombongan IKIMfm turut berkesempatan untuk bertandang ke Kampong Keh dalam daerah Kampot, lebih kurang 150km perjalanan dari kota Phnom Penh. Di sana kami ditempatkan bersama keluarga angkat yang melayani kami selama dua malam dengan penuh hormat dan kasih sayang. Melihat kepada kedhaifan kehidupan mereka, mengingatkan kami kepada keadaan tanahair kita di sekitar tahun 70-an dulu. Perigi masih lagi menjadi sumber utama air. Walaupun lampu ada, namun bekalan elektriknya tidaklah mewah, sekadar cukup untuk menerangi ruang utama rumah sahaja dan kawasan-kawasan strategik yang lain. Bilik air masih lagi di luar rumah dan adakalanya menyukarkan kami untuk keluar jika “terpaksa” di tengah malam dinihari. Kehidupan sebegini cukup menginsafkan kami yang selama ini mengambil mudah segala kemudahan yang diperolehi di depan mata selama di tempat sendiri sebagai sesuatu yang semestinya ada saja.
Menziarahi bilik-bilik darjah mereka juga cukup mengharukan. Dengan masih lagi menggunakan meja panjang dan bangku yang sekadarnya sahaja, suasana pembelajaran jauh dari selesa. Namun mereka tetap tabah menuntut ilmu walaupun ada di sesetengah tempat di Kemboja khabarnya kelas-kelas diadakan di bawah rumah sahaja kerana rumah mereka rata-rata struktur binaan tangganya tinggi seumpama rumah-rumah kampung kita zaman dahulukala yang dibina bagi menghadapi banjir. Anak-anak Kemboja ramai yang pintar-pintar sehingga ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Malaysia. Di sinilah pentingnya kerjasama kita umat Islam dalam membantu saudara seagama atas dasar peri kemanusiaan. Masih teringat ketika penulis menjadi pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di awal 90-an dulu, bagaimana UIAM membantu warga Afghanistan, Bosnia, Albania, Russia dan lain-lain yang di kancah peperangan dengan memberi mereka pendidikan. Inilah sumbangan besar kerajaan Malaysia dalam memberi pendidikan kepada umat Islam di negara-negara yang penganut Islamnya minoriti. Sudah tiba masanya umat Islam Kemboja turut diberi perhatian dan bantuan murni yang sama sepertimana diberikan kepada warga-warga Afghanistan dan lain-lain agar dengan itu mereka mampu membangunkan kembali negara mereka dan umat Islam di negara mereka. Rombongan IKIMfm kali ini mendapat kerjasama penajaan dari EZQurban Sdn.Bhd. yang merupakan sebuah syarikat yang terkenal dalam urusan mengendalikan binatang korban dan aqiqah. Untuk majlis Korban di Kampong Keh ini, sebanyak 26 ekor lembu telah ditumbangkan dan sebahagiannya turut diagihkan untuk penduduk-penduduk di perkampungan Islam di luar Kampong Keh ini. Cukup meriah suasana Hari Raya Korban dengan kehadiran kami. Katanya, hanya di musim Hari Raya Korban sahajalah umat Islam di Kemboja mampu menikmati makanan daging. Di hari-hari lain, mereka makan ikan atau makanan laut sahaja. Ramai sahabat di tanahair yang tertanya kenapa perlu menyembelih binatang korban hingga ke Kemboja?. Kenapa tidak disedekahkan kepada fakir miskin di tanahair sahaja?. Rasanya fakir miskin di Malaysia, mereka masih dapat memakan daging sebagai sebahagian dari hidangan mereka, iaitu tidaklah sesusah umat Islam di Kemboja yang hanya menikmati daging lembu mungkin setahun sekali sahaja. Ada juga warga Kemboja yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan di musim ini kerana masa inilah sahaja mereka berpeluang memiliki daging yang banyak, jika tidak kesempatan ini, bila lagi?
Namun dengan segala kedhaifan itu, umat Islam Kemboja terus bangkit membina masyarakat Islam yang mampu bersaing dengan negara-negara luar. Di kalangan mereka ada yang sudah menjawat jawatan Timbalan Menteri dan wakil-wakil rakyat, ada yang menjadi usahawan yang berjaya dan banyak lagi kejayaan lain. Tidak ketinggalan mereka turut menubuhkan Suara Radio Islam Kemboja bagi menyebarkan Islam di kalangan penduduk Kemboja yang majoritinya beragama Buddha. Ramai di kalangan masyarakat bukan Islam yang semakin berminat dengan Islam dan mula mengenali Islam yang sebenar dan segala prasangka selama ini semakin berkurangan. Mereka masih bertatih, justeru kita umat Islam di Malaysia yang sudah lama “berlari” dan jauh lebih maju dari mereka hendaklah sentiasa menghulurkan bantuan membantu saudara seagama kita di Kemboja itu kerana umat Islam itu bersaudara tanpa mengira bangsa.