Serangan Israel atas Gaza pada penghujung Disember lalu bermula setelah berlalunya hampir tiga minggu Hari Raya Korban, perayaan besar bagi umat Islam yang juga menyaksikan perhimpunan umat Islam secara besar-besaran di tanah suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji. Sayang sekali, ibadah haji yang sering dikatakan menjadi lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia hanya tinggal sebagai dakwaan semata-mata. Ini kerana, dalam keghairahan mengaitkan ibadah haji dan juga ibadah-ibadah lain dengan kesatuan dan persaudaraan sesama Islam, kita dihadapkan dengan cabaran besar bagi membuktikan dakwaan kita itu. Bahawa kenyataannya pula, kita gagal untuk membuktikan kebenaran dakwaan tersebut dengan sepenuhnya dalam tindakan dan juga perlakuan.
Betapa kita menyaksikan bahawa kekejaman, penindasan dan pembunuhan tentera Zionis terhadap penduduk Gaza tidak sama sekali berdaya dihentikan oleh umat Islam di seluruh dunia yang hanya dapat berbangga dengan jumlah keseluruhan kita yang hampir mencapai 1.5 bilion orang berbanding dengan bangsa Yahudi yang cuma jumlahnya sekitar 14 juta orang. Benarlah bahawa jumlah atau bilangan tidak sama sekali memberi erti berbanding dengan jumlah kecil bangsa tersebut tetapi kehebatan dan penguasaannya yang begitu besar dalam segenap sudut, bidang serta lapangan. Bahkan penguasaannya atas masyarakat dunia begitu ketara, khususnya dengan merujuk segala tindakan ganas, kejam dan di luar batasan kemanusiaannya yang tidak mampu untuk disekat atau dihalang apatah lagi untuk dihukum dan diheret ke muka pengadilan.
Apa yang terdaya dilakukan oleh kita hanyalah meratap, menangisi, mencemuh dan mencerca serta menyatakan bantahan, kemarahan serta kebencian melalui pelbagai cara, sekurang-kurangnya bagi membuktikan semangat persaudaraan yang masih bersisa dan perikemanusiaan antara sesama manusia. Namun, perlu diingat kebencian yang tidak terucap terhadap bangsa Zionis tidak harus sama sekali dijadikan alasan bagi melupakan kecuaian, kegagalan, dosa dan kesilapan diri kita sendiri. Dalam kesungguhan menghulurkan bantuan dan sokongan terhadap rakyat Palestin yang tertindas lagi sengsara, kita seharusnya bermuhasabah atas segala dosa serta kegagalan yang sebenarnya juga menyumbang kepada penderitaan yang dialami oleh rakyat yang telah sekian lama mengimpikan sebuah negara yang merdeka. Ketidaksepakatan yang menjadi masalah utama kita sejak zaman berzaman pada asasnya merupakan kemenangan besar bagi pihak yang memusuhi agama Islam dan umatnya, khususnya bangsa Yahudi.
Lihat sahaja hatta dalam rancangan mengadakan sidang kemuncak bagi membincangkan kemelut dan suasana genting di Gaza. Mesir dan Arab Saudi yang menentang penguasaan Hamas berada di satu pihak dan menyatakan kesediaan menghadiri sidang kemuncak Liga Arab di Kuwait sementara Qatar dan Syria, yang merupakan penyokong kuat Hamas pula berada di pihak yang lain. Pendirian berbeza negara-negara Arab itu menyimpulkan bahawa dua buah sidang kemuncak dirancang untuk diadakan pada masa yang sama. Ketidaksepakatan itu hanya menyerlahkan lagi kelemahan umat Islam serta membawa kerugian yang besar dan pada masa yang sama, angka korban di Gaza, khususnya kanak-kanak yang tidak berdosa terus meningkat.
Selain perbalahan, ketidaksatuan dan perpecahan, umat Islam sebagaimana sering ditegaskan, terbelenggu dengan pelbagai masalah dan kemelut besar yang lain. Kemiskinan, ketiadaan peluang pendidikan dan buta huruf, perang saudara, bencana alam dan sebagainya memburukkan lagi keadaan hidup umat Islam. Jika dirujuk Laporan Pembangunan Manusia (Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagi tahun 2007/2008, daripada keseluruhan 70 buah negara, hanya 11 buah negara Islam diletakkan di bawah kumpulan negara Pembangunan Kemanusiaan Peringkat Tertinggi. Sementara daripada keseluruhan 22 buah negara yang diletakkan di bahawa kumpulan negara Pembangunan Kemanusiaan Peringkat Terendah, 12 daripadanya merupakan negara yang sebahagian besar penduduknya ialah umat Islam. Antaranya termasuklah Nigeria, Uganda, Togo, Gambia, Benin, Mali, Chad, Guinea-Bissau, Burkina Faso, Niger, Mozambique, dan juga Sierra Leone yang menduduki tempat terbawah (ke-179).
Umat Islam perlu bermuhasabah dan mengakui bahawa punca segala kelemahan dan musibah yang menimpa diri mereka merupakan akibat daripada tindakan serta perlakuan mereka sendiri. Tindakan menyalahkan pihak lain termasuk bangsa Yahudi tidak akan dapat menyelesaikan masalah dan memperbaiki kepincangan diri. Bangsa Yahudi yang terkenal sebagai bangsa yang sering diusir oleh pemerintah dunia, termasuk oleh Nabi s.a.w. sendiri disebabkan sikap jelek mereka seperti suka mengkhianati, dan juga oleh Raja Nebuchadnezzar II (630-562 S.M.), selain disebut al-Qur’an sebagai bangsa yang suka membunuh (Nabi-nabi), menderhaka dan sentiasa menceroboh, akan terus menindas, menzalimi dan membunuh manusia, khususnya umat Islam, demi mencapai cita-cita mereka.
Jalan terbaik bagi menghadapi penindasan, kezaliman dan keganasan mereka yang tiada sempadan itu hanyalah derngan meneguhkan perpaduan umat Islam. Perpaduan ini pula hanya dapat dicapai melalui penyatuan umat Islam atas nama agama (deen), dan bukan atas nama kabilah, bangsa atau selainnya. Inilah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. yang mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj yang dikatakan mempunyai sejarah perbalahan dan permusuhan selama lebih kurang 120 tahun. Penyatuan itulah juga yang melenyapkan sifat taksub terhadap kabilah yang tidak berasas yang dapat menghalang perpaduan umat Islam.
Malah, Nabi s.a.w. mendidik mereka bahawa ketaqwaanlah yang menjadikan mereka insan yang paling mulia di sisi Allah s.w.t., bukan disebabkan kabilah atau puak yang sering dibangga-banggakan seperti sebelumnya. Dengan yang demikian, Baginda berjaya membentuk negara Madinah yang teguh lagi kukuh dari segenap sudut; siasah dan pemerintahan, pertahanan, hubungan antara kaum, dasar luar dan sebagainya. Kesatuan ummah juga akan mendorong kita untuk saling melindungi dan mempertahankan antara satu sama lain. Malang sekali jika kita melihat keadaan umat Islam hari ini bahawa ketaksuban terhadap bangsa Arab masih menebal dalam jiwa pemimpin-pemimpin dunia Arab. Dalam kemelut di Gaza misalnya, Turki telah mengambil daya usaha untuk menemui pemimpin Syria, Mesir dan juga Arab Saudi bagi membincangkan langkah berksan yang dapat diambil untuk menghadapi keganasan dan kekejaman tentera Zionis. Namun usaha Turki hanya dipandang sepi, khususnya oleh Mesir yang mengatakan bahawa Turki tidak layak duduk berbincang dengan pemimpin-pemimpin Arab hanya kerana bangsa Turki tidak bertutur dalam bahasa Arab. Selain sifat taksub yang melulu, umat Islam juga jelas sering khianat-mengkhianati dan zalim-menzalimi antara sesama mereka. Ciri masyarakat beriman sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. dan ditegaskan oleh al-Qur’an, iaitu yang berkasih sayang sesama mereka dan bersikap tegas terhadap golongan tidak beriman tidak lagi menjadi amalan. Malah sebaliknya, hubungan yang baik lagi mesra dijalin dengan golongan tidak beriman sehingga sanggup bersekutu dan bersekongkol menjayakan niat golongan tersebut menindas dan menzalimi saudara mereka yang seagama. Selain itu, umat Islam juga perlu membetulkan kezaliman besar mereka terhadap diri sendiri kerana mengabaikan ajaran al-Qur’an serta al-Sunnah, yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w. sebagai dua perkara yang akan dapat menjamin bahawa mereka tidak akan sesat buat selama-lamanya.
Lihatlah di sekeliling kita bagaimana umat Islam yang semakin terhakis keimanannya tenggelam dan hanyut dalam arus dunia yang melekakan. Kelekaan mereka itu akhirnya menimbulkan rasa cinta akan dunia yang menjadi punca bagi dosa dan kesilapan mereka. Ketahuilah bahawa apabila perasaan akan dunia memenuhi jiwa, pada saat dan ketika itulah umat Islam akan hancur di tangan musuh-musuh mereka. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Nabi s.a.w., “Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak antara satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) sebagaimana orang mempelawa antara satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan).” Seorang sahabat bertanya, “Apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Bahkan bilangan kamu pada waktu itu adalah ramai tetapi kamu merupakan ghutha’ (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan mencabut ketakutan daripada dada musuh dan Dia akan mencampakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, ” Wahai Rasulullah, apakah dia al-wahn itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Cinta akan dunia dan takut akan mati.” (Riwayat Abu Daud)