Dalam demografi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada 70 peratus Muslim dan 30 peratus bukan Islam yang hidup bersama dalam satu negara yang perlu hidup secara aman dan harmoni bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Ia juga telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam merupakan agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai menerusi Perkara 3(1).
Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai agama dan kerencaman budaya, sambutan perayaan keagamaan oleh semua pihak adalah lumrah. Masyarakat Muslim terbiasa mengucapkan Selamat Hari Natal, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Selamat Hari Gawai dan sebagainya kepada rakan bukan Islam, bahkan realitinya di Malaysia masyarakat bukan islam juga turut meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mengucapkannya kepada masyarakat Islam. Bagi sambutan seperti Tahun Baharu Cina, ia bukanlah satu isu yang patut diperdebatkan kerana ia bukan perkara agama namun apabila melibatkan ritual atau perayaan keagamaan, polemik tentang sama ada boleh atau tidak mengucapkannya saban tahun sentiasa timbul. Umpamanya upacara menitik mata singa yang merupakan tradisi kepercayaan budaya masyarakat cina dalam sambutan Tahun Baru Cina. Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, persoalan ini saban tahun timbul sama ada umat Islam boleh menghadiri atau terlibat dalam upacara ini tanpa terjerumus ke dalam amalan khurafat.
Takrif Khurafat dalam Islam Menurut Garis Panduan Khurafat dan Azimat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), khurafat didefinisikan sebagai kepercayaan atau perbuatan yang tidak berasaskan dalil syarak dan bertentangan dengan ajaran Islam. Khurafat sering dikaitkan dengan kepercayaan kepada kuasa selain Allah SWT atau mempercayai sesuatu yang tidak mempunyai asas dalam syariat Islam.
Antara ciri-ciri khurafat adalah:
- Berasal daripada kepercayaan masyarakat lama atau agama lain yang bertentangan dengan Islam.
- Bersifat tahyul dan tidak berasaskan fakta atau realiti.
- Mempunyai unsur memohon perlindungan atau pertolongan selain daripada Allah SWT.
- Boleh membawa kepada syirik atau merosakkan akidah umat Islam.
Islam melarang sebarang bentuk amalan khurafat kerana ia bertentangan dengan prinsip tauhid. Firman Allah SWT:
“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah, maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.” (Surah al-Jinn: 18)
Dalam konteks upacara menitik mata singa selagi ia dilakukan sebagai simbol budaya dan hanya bertujuan untuk meraikannya tanpa mempercayi kepada sebarang kepercayaan kepada kuasa ghaib ia tidak tergolong dalam kategori khurafat dan tidak juga bertentangan dengan kosep tauhid dn akidah. Islam sangat menitikberatkan niat dalam menentukan hukum sesuatu perbuatan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab r.a., Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya segala amalan itu bergantung kepada niatnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika seseorang Muslim menghadiri upacara ini dengan niat untuk menghormati budaya kaum lain serta memupuk keharmonian tanpa mempercayai sebarang unsur tahyul atau syirik, maka perbuatannya tidak bercanggah dengan Islam. Sebaliknya, jika upacara ini diiringi dengan kepercayaan bahawa ia membawa tuah atau kuasa ghaib seperti apa yang mereka mempercayainya, maka ia boleh tergolong dalam khurafat dan kufur.
Berdasarkan pemerhatian, upacara menitik mata singa dilakukan lebih kepada simbolik budaya dan tidak melibatkan pemujaan atau pergantungan kepada kuasa selain Allah SWT. Jika ini yang berlaku, maka ia termasuk dalam kategori syirik yang diharamkan oleh Islam.
Seperti yang kita sedia maklum, terdapat riwayat dalam kitab Sirah Nabawiyyah yang menyebutkan bahawa Nabi SAW pernah memakai pakaian yang menyerupai pakaian ahli kitab (Yahudi atau Nasrani) dalam keadaan tertentu. Misalnya, baginda pernah memakai jubah berwarna merah yang biasa dipakai oleh pendeta Yahudi di Madinah. Namun perbuatan ini tidak dihukumkan haram. Nabi SAW memakainya sebagai pakaian biasa bukan untuk meniru identiti agama atau ritual mereka. Pakaian tersebut hanyalah budaya setempat bukan simbol keagamaan yang khusus dan baginda tetap menegakkan identiti Islam serta tidak menyembunyikan syiar agama. Ini menunjukkan bahawa tasyabbuh tidak secara langsung menjadi haram atau kufur tetapi bergantung pada niat, konteks dan prinsip syarak yang mengaturnya.
Tasyabbuh (menyerupai) dilarang dalam Islam jika melibatkan peniruan terhadap simbol atau amalan khusus agama lain yang berkaitan dengan akidah atau ritual ibadah. Dalil larangan tasyabbuh adalah sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka.” (Riwayat Abu Dawud)
Namun, para ulama menetapkan dhawabit (batasan) untuk menentukan tasyabbuh yang haram. Antaranya ialah meniru simbol atau ritual khusus agama lain seperti memakai salib atau menyambut perayaan agama seperti Hari Natal yang bertujuan mengagungkan agama lain atau merendahkan syiar Islam. Selain itu contoh yang lain adalah upacara yang jelas kufur seperti upacara keagamaan Hindu atau Buddha yang melibatkan penyembahan berhala yang membawa kepada kekeliruan identiti antara Muslim dan bukan Muslim. Sebaliknya, tasyabbuh tidak haram jika ia bersifat umum atau budaya dan bukan ritual agama seperti memakai pakaian tradisi Cina (cheongsam) yang tidak ada kaitan dengan kepercayaan agama. Ia juga dibenarkan jika ada keperluan atau maslahat, seperti dalam konteks dakwah atau menjaga hubungan sosial. Misalnya, Nabi SAW menerima hadiah jubah dari Raja Najasyi dan memakainya. Tasyabbuh dibenarkan selagi tidak melibatkan akidah atau syiar agama lain.
Para ulama fiqh dari mazhab yang muktabar mempunyai pandangan yang berbeza dalam menentukan batasan tasyabbuh. Mazhab Hanafi menegaskan bahawa tasyabbuh hanya dilarang apabila ada niat meniru kaum lain dalam aspek agama mereka. Jika hanya faktor kebiasaan budaya ia tidak dianggap haram. Mazhab Syafi‘i menyatakan bahawa tasyabbuh bergantung kepada niat dan bentuk peniruan. Jika budaya itu telah menjadi kebiasaan umum, maka ia dibenarkan. Mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa niat sangat penting dalam menilai tasyabbuh dan larangan hanya berlaku jika berkaitan dengan simbol ibadah agama lain.
Dengan kepesatan dan perkembangan zaman, banyak pakaian dan budaya yang dahulunya eksklusif kepada agama tertentu kini menjadi kebiasaan umum. Antaranya, pemakaian sut dan tali leher yang dahulunya dikaitkan dengan budaya Kristian Eropah kini diterima sebagai pakaian profesional di seluruh dunia. Selain itu, penggunaan kalendar Masehi yang asalnya daripada tradisi Kristian kini menjadi sistem tarikh global yang digunakan tanpa niat keagamaan.
Disamping itu, ulama-ulama kontemporari juga telah membincangkan isu penyertaan umat Islam dalam adat dan budaya bukan Islam. Misalnya, Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa penglibatan dalam acara budaya kaum lain dibenarkan selagi tidak bercanggah dengan prinsip tauhid. Tambahan pula, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) juga menyatakan bahawa umat Islam boleh menyertai perayaan kaum lain dengan syarat tidak terlibat dalam elemen ibadah atau kepercayaan yang bertentangan dengan syariat Islam.
Dr. Wahbah al-Zuhaili turut berpendapat bahawa tasyabbuh yang diharamkan ialah apabila terdapat unsur pengagungan kepada agama lain atau mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Jika sesuatu itu hanya bersifat budaya dan tidak melibatkan unsur akidah atau ibadah maka ia tidak termasuk dalam larangan tasyabbuh.
Oleh itu, dalam kes upacara menitik mata singa, selagi ia tidak membawa unsur pemujaan atau kepercayaan tahyul, ia boleh dianggap sebagai amalan budaya semata-mata dan tidak termasuk dalam tasyabbuh yang dilarang. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak menolak kebudayaan selama mana ia tidak bertentangan dengan prinsip tauhid dan syariat.
Selian itu, Dr. Ahmad al-Syarbashi mengatakan bahawa seseorang Islam boleh turut menyertai hari perayaan orang bukan Islam atas dasar kenalan, kawan sepejabat, jiran dan sebagainya setelah memastikan majlis yang dihadiri itu tidak mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan akidah atau upacara yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti penyajian arak, dadah dan seumpamanya
Intihannya, upacara menitik mata singa bukanlah suatu bentuk khurafat selagi ia dilakukan tanpa kepercayaan kepada kuasa ghaib dan tidak melibatkan unsur syirik. Kehadiran umat Islam dalam upacara ini boleh dianggap sebagai usaha memupuk perpaduan dan saling memahami budaya kaum lain, selari dengan prinsip Islam yang menggalakkan hubungan harmoni dalam masyarakat. Lantaran itu, penilaian terhadap isu ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati dan berpandukan ilmu yang sahih agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Sementelahan itu, ini bertepatan dengan konsep fiqh al-ta’ayush yang juga merujuk kepada pengertian hidup bersama dengan orang lain dalam keadaan harmoni di samping dapat menerima kewujudan satu sama lain tanpa mengira latar belakang etnik dan agama. Adalah penting untuk kita menyedari bahawa meskipun kita berbeza warna kulit, bangsa, jalur politik dan agama, kita semua tetap bersaudara.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa Islam adalah agama rahmatan lil ‘alamin. Ini juga merupakan teras asas dakwah Rasulullah S.A.W seperti firman Allah SWT:
“Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’:107)
Sebelum mengakhiri wacana ini, tanpa mengetepikan prinsip sebagai umat Islam yang wajib berpegang teguh kepada akidah Islam, marilah kita bersama-sama mewujudkan keharmonian dan meraikan kepelbagaian sesama kita sebagai sebuah masyarakat Malaysia MADANI yang hidup dalam aman dan damai.