Baru-baru ini, insiden melibatkan seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul di sebuah pasar tani di Terengganu telah mencetuskan kemarahan dan simpati dalam kalangan rakyat. Dari sudut pandang Islam, insiden ini bukan sahaja melibatkan isu akhlak tetapi juga bertentangan dengan nilai-nilai syariat yang menekankan keadilan, belas kasihan, dan penghormatan terhadap semua individu, termasuk golongan yang lemah. Ia adalah cerminan kebejatan akhlak dalam masyarakat kita, antara lain disebabkan oleh pengambaian terhadap penghayatan ilmu tasawwuf. Tanpa penghayatan ilmu tasawwuf, masyakarat menjadi kelompok yang berakhlak buruk, berjiwa keras dan kontang serta bengis dah pemarah. Menahan kemarahan, sebagai contoh merupakan antara nilai-nilai murni yang pertama-tama sekali ditekankan dalam penghayatan ilmu tasawwuf, Dalam sebuah kisah yang diriwayatkan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ dan meminta nasihat. Baginda bersabda: “Jangan marah.” Lelaki itu mengulang pertanyaannya beberapa kali, dan Rasulullah SAW tetap menjawab: “Jangan marah.” (HR. Bukhari).
Kesabaran yang dituntut dalam Islam ialah pada ketika saat kejadian itu pertama kali berlaku, dan bukan selepas kita telah melepaskan kemarahan kita lalu kemudian timbul rasa penyesalan, dan meminta maaf. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah ﷺ melewati seorang wanita yang sedang menangis di sisi sebuah kubur. Baginda berkata: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu menjawab, “Jauhkan dirimu dariku, kerana engkau tidak merasakan musibahku dan tidak mengetahuiku.” Kemudian diberitahu kepadanya bahawa yang menegurnya tadi itu adalah Nabi ﷺ. Maka timbul penyesalan dalam hati wanita itu lalu beliau pergi ke rumah Nabi ﷺ tanpa menemukan penjaga di sana. Dia berkata, “Aku tidak mengenalimu tadi (wahai Rasulullah!).” Baginda bersabda: “Sesungguhnya kesabaran itu pada saat pertama kali musibah menimpa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1283, dan Muslim, no. 926) Nasihat ini menunjukkan kepentingan mengawal emosi, terutama dalam situasi yang boleh mencetuskan kemarahan pada saat kemarahan itu muncul bukan selepas itu.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali RA menyebut dalam kitabnya yang terkenal Ihya’ Ulum al-Din berhubung kisah seorang hamba wanita sedang menuangkan air panas untuk tuannya. Ketika menuang, air tersebut secara tidak sengaja tertumpah ke tubuh tuannya. Tuannya, yang sedang marah akibat kejadian tersebut, menunjukkan wajah yang beremosi. Namun, hamba itu segera mengingatkan tuannya dengan ayat Al-Qur’an: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya…” (Al- Imran: 134). Mendengar ayat ini, tuannya segera menahan dirinya daripada marah. Namun, si hamba terus membaca sambungan ayat: “Dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) manusia…” Mendengar ini, tuannya menjawab, “Aku telah memaafkanmu.” Hamba itu kemudian meneruskan bacaan ayat tersebut: “Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.”Akhirnya, tuan tersebut berkata, “Aku memerdekakanmu kerana Allah.”
Hari ini sebahagian daripada masyarakat kita seolah sudah hilang sifat sabar dan gagal menahan kemarahan sedangkan ia merupakan sifat mulia dalam Islam. Kita dapati di merata tempat dari dalam kereta di jalanan, di pejabat hingga ke dalam rumahtangga bersama-sama anak-anak dan isteri, masing-masing menunjukkan kemarahan dan kebengisan terhadap satu sama lain tanpa ada perasaan belas kasihan. Ramadan yang bakal tiba nanti juga sebenarnya merupakan medan untuk melatih kesabaran dan menahan kemarahan, namun ia sepatutnya tidak terhad kepada bulan Ramadan semata. Itulah menunjukkan kepada kita betapa sabar itu merupakan sifat yang mulia dalam Islam .
Golongan OKU adalah insan yang diuji oleh Allah dengan kekurangan tertentu. Namun, pada masa yang sama, mereka juga adalah ujian kepada masyarakat. Bagaimana kita memperlakukan mereka mencerminkan sejauh mana kita memahami dan menghayati nilai belas kasihan yang diajarkan oleh Islam. Rasulullah ﷺ bersabda: “Carilah aku golongan yang lemah, kerana sesungguhnya kamu diberikan rezeki dan pertolongan kerana (doa) golongan yang lemah di kalangan kamu.” (HR. Abu Dawud). Hadis ini menegaskan bahawa keberkatan dan pertolongan Allah datang melalui perhatian dan kasih sayang kita kepada golongan yang memerlukan, termasuk OKU. Tindakan memukul seseorang hingga mencederakan, apatah lagi seorang OKU, jelas termasuk dalam kategori kezaliman. Perbuatan ini tidak hanya mencederakan fizikal, tetapi juga melukai harga diri serta emosi mangsa, yang mungkin sukar untuk pulih dalam jangka masa panjang. Islam menekankan sifat rahmah (belas kasihan) sebagai asas dalam interaksi sosial. Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang yang penyayang akan disayangi oleh Allah Yang Maha Penyayang. Sayangilah mereka yang ada di bumi, maka kamu akan disayangi oleh yang ada di langit.” (HR. Tirmidzi).
Insiden memukul seorang OKU di Terengganu adalah satu peringatan bahawa kita sebagai masyarakat masih perlu memperbaiki akhlak dan membersihkan jiwa yang kotor melalui penghayatan tasawwuf. Golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang perlu dilindungi dan dimuliakan, bukan dihina atau dianiaya. Kezaliman terhadap mereka bukan sahaja mencemarkan nilai-nilai kemanusiaan, tetapi juga bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membina masyarakat yang berakhlak mulia, dan penyayang, agar insiden seumpama ini tidak lagi berlaku di masa hadapan.