Jenayah seksual seperti rogol, seks luar tabii, sumbang mahram dan sebagainya telah diperuntukkan hukumannya masing-masing dalam undang-undang jenayah syariah mahupun sivil. Penetapan hukuman tertentu bagi kesalahan-kesalahan jenayah berkaitan seksual ini bukan sekadar menghukum dan menyedarkan pelaku tetapi bertujuan mendidik semua lapisan masyarakat.
Dalam Islam, pencegahan lebih dititikberatkan ketimbang hukuman yang dilaksanakan setelah nasi menjadi bubur, iaitu sesuatu yang telah berlaku tidak dapat dipulihkan semula umpama trauma yang ditanggung oleh mangsa akan kekal sepanjang hayatnya.
Dalam surah Ali Imran ayat 110, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman dengan Allah (dengan sebenar-benar iman).”
Inti sari ayat tersebut jelas menyatakan bahawa setiap individu Muslim bertanggungjawab untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mencegah kemungkaran berlaku di depan mata bukan tergalas pada bahu penguatkuasa semata-mata tetapi kita semua yang mengaku beriman kepadaNya.
Menerusi hadis sahih riwayat Imam Muslim, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah ia mencegahnya dengan lidah dan sekiranya tidak mampu juga, maka hendaklah ia mencegah dengan hati dan mencegah dengan hati itu merupakan selemah-lemah iman.”
Sebagai seorang Muslim beriman dan bertakwa, kita dianjurkan oleh Islam untuk berdakwah dan menyebarkan kebaikan ke seluruh alam. Oleh itu, tugas Muslim adalah menyeru perkara kebaikan tanpa mengabaikan larangan melakukan kemaksiatan.
Dalam konteks ini, terdapat tujuh ciri anasir taghyir atau agen perubahan dalam konteks amar makruf nahi mungkar iaitu mufakkir (orang yang berfikir), amil (orang yang bekerja), mumtij (efisien atau berpengaruh), jara’ (berani), rabbani (solehah), ihtifal (bersemangat juang yang tinggi), dan kifah (sanggup menanggung beban).
Institusi keluarga paling utuh untuk melahirkan insan bersahsiah tinggi bagi mengelakkan melakukan perbuatan yang keji. Ibu bapa paling penting mendidik anak-anak tentang nilai dan moral serta baik dan buruk akibat sesuatu tindakan dengan menjadikan didikan Rasulullah teladan utama.
Umpama peribahasa “melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” begitulah juga dengan pendidikan seksualiti berlandaskan Islam wajar dikenalkan kepada anak-anak seawal usia Tamyiz, iaitu 7 hingga 10 tahun sewaktu anak-anak sudah boleh membezakan baik dan buruk. Pengenalan tentang anggota badan yang sulit dan awam, sentuhan selamat dan tidak selamat misalnya perlu diajar dengan penuh hikmah bermula di rumah.
Pengetahuan dan kemahiran seksualiti yang baik boleh menjadi perisai dan melindungi daripada menjadi mangsa gangguan dan keganasan seksual. Pelbagai kes jenayah seksual hari ini banyak berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang seksualiti.
Kanak-kanak dan remaja paling banyak menjadi mangsa jenayah seksual kerana mudah untuk diambil kesempatan atau dimanipulasi individu tidak bertanggungjawab. Mengikut statistik KKM, antara tahun 2017 hingga 2022 dianggarkan kira-kira 28 kes kehamilan remaja sehari dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 35% atau 14,379 kes merupakan kehamilan luar nikah.
Dalam isu ini, salah tanggapan bahawa pendidikan seksualiti mendorong melakukan aktiviti seksual wajar diperbetul. Isu ini bukan lagi tabu untuk dibincangkan secara terbuka dan profesional demi mendidik masyarakat memahami seksualiti dengan sebenarnya.
Tuntasnya, kefahaman yang tepat tentang seksualiti sangat kritikal hari ini bagi membenteng diri daripada terjebak aktiviti atau tingkah laku seksual yang ditegah agama. Nilai dan etika berkaitan seksualiti seperti digariskan oleh Islam menerusi al-Quran dan al-Sunnah patut ditanamkan dalam diri anak-anak menerusi pendidikan seksualiti oleh pelbagai pihak terutamanya ibu bapa.