Peristiwa krisis kewangan pada 1997 masih menghantui masyarakat kita. Baru-baru ini krisis kewangan di Thailand mengemparkan masyarakat sehingga pemimpin negara terpaksa mengeluar kenyataan tentang kestabilan ekonomi negara. Justeru itu kestabilan sektor kewangan sentiasa di awasi oleh negara.
Di dalam sistem ekonomi semasa, wang mendapat tempat yang teristimewa dalam masyarakat. Mengikut Abu Saud, “By the definition arbitrarily given to it, it has become superior to man himself, it implies some qualifications that are not supposed to be within its jurisdiction and which have evolved and become as if they were really genuine, despite the fact that they have no physical existence”.
Pemerhatian Abu Saud ini adalah hakikat yang berlaku di rata-rata masyarakat termasuk masyarakat yang beragama Islam. Wang menjadi tumpuan manusia. Bahkan status seseorang itu dalam masyarakat diukur dengan kemampuan seseorang itu memperolehi wang. Kadang-kala kemanusiaan seseorang itu dipengaruhi oleh unsur wang. Anthony Trollope dalam bukunya Barchester Towers menggambarkan keadaan sedemikian,
“Mrs. Bold has twelve hundred a year of her own, and I suppose Mr. Harding means to live with her”.
“Twelve hundred a year of her own!” said Slope; – and very shortly afterwards took his leave …..
Twelve hundred a year, said he to himself, as he rode slowly home. If it were the fact that Mrs. Bold have twelve hundred a year of her own, what a fool would she be to oppose her father’s return to his old place. The train of Mr. Slope’s ideas will probably be plain to all my readers ….. twelve hundred a year …..
Islam tidak menafikan kedudukan wang dalam sistem ekonomi. Islam meletakkan kedudukan wang adalah semata-mata sebagai alat untuk diguna dalam proses pertukaran. Justeru itu kesemua barangan dan perkhidmatan yang diperdagangkan mempunyai nilai wang.
Kepentingan peranan yang dimainkan oleh wang dalam sesebuah sistem ekonomi itu tidaklah dapat kita nafikan. Bahkan kajian terhadap proses kewangan dalam beberapa aspek seperti institusi-institusi, teori dan polisi akan memberi penjelasan bagaimana sektor kewangan akan dapat memberi kesan-kesan yang mendalam kepada peruntukan sumber-sumber dan prestasi agregat sesebuah ekonomi tersebut. Prestasi agregat termasuklah penentuan jumlah paras pengeluaran, pendapatan, guna tenaga dan harga dalam sesebuah ekonomi.
John T. Boorman dan Thomas M. Havrilesky pernah menyarankan dalam buku mereka seperti berikut:
“Practically all theories about the level of aggregate income, employment, and prices assign an important theoretical role to the supply of and the demand for money”.
Mengikut M.N. Siddiqi, masyarakat Islam sudah pun diperkenalkan dengan penggunaan wang dan beberapa bentuk amalan bank di awal permulaan Islam. Penulis-penulis Islam di zaman dahulu mengakui tentang kepentingan penggunaan wang sebagai alat perantaraan pertukaran dan menganggap perintah Rasulullah s.a.w. terhadap pengharaman Riba al-Fadl adalah sebagai satu tindakan ke arah perubahan dari sistem ekonomi yang berasaskan pertukaran barang (barter trading) kepada sistem ekonomi yang berlandaskan wang.
Ahli-ahli ekonomi Islam dengan itu tidak pernah menyangkal kepentingan dan peranan yang berkesan yang boleh dimainkan oleh wang di dalam sesebuah sistem ekonomi. Umer Chapra mempunyai pandangan berikut:
“The money and banking system should, like all other aspects of the Islamic way of life, be made to contribute richly to the achievement of the major socio-economic goals of Islam”. Matlamat-matlamat sosio-ekonomi yang perlu dicapai oleh sistem kewangan mengikut Umer Chapra adalah seperti berikut:
i) Kebajikan ekonomi yang disertai oleh guna tenaga penuh dan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat.
ii) Keadilan sosio-ekonomi dan pengagihan pendapatan dan kekayaan.
iii) Kestabilan dalam paras nilai wang demi untuk memenuhi peranannya sebagai alat perantaraan pertukaran,
asas bayaran tertunda yang adil dan simpanan nilai yang stabil.
iv) Mobilisasi dan melabur tabungan-tabungan demi untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dalam bentuk yang
adil di mana pulangan yang adil dijamin kepada semua yang terlibat.
v) Menyedia perkhidmatan-perkhidmatan kebiasaan disediakan oleh mana-mana institusi kewangan.
Institusi kewangan dalam sistem ekonomi mengikut Islam dengan itu patut mampu mencapai matlamat-matlamat tersebut, kerana pendekatannya mengambilkira prinsip al-‘Adl wal Ihsan. Justeru itu Islam mengharamkan segala bentuk unsur riba dalam perlaksanaan sistem kewangannya. Islam berkeyakinan bahawa ekonomi keadilan dan ekonomi muafakat adalah prasyarat kepada kejayaan sesuatu sistem itu. Islam dengan itu menganjurkan sistem kewangan yang berasaskan pembiayaan ekuiti sebagai alternatif kepada riba. Dari pendekatan ini beberapa alat kewangan telah diutarakan oleh ilmuan Islam seperti mudharabah, musyarakah, dan sebagainya. Kesemua usaha-usaha tersebut ialah untuk menjamin kestabilan sistem kewangan.