
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan sebuah webinar bertajuk “Sains dan Islam Berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah” secara maya Program ini menampilkan pakar-pakar berautoriti dan berlatarbelakangkan bidang pengajian Islam dan sains daripada kalangan para ahli bidang bagi membincangkan: (1) hubungan Al-Quran dan Al-Sunnah dengan fenomena alam dan inovasi sains, (2) isu semasa berkaitan sains dari perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah dengan fenomena alam dan inovasi sains, dan (3) interaksi Al-Quran dan Al-Sunnah dengan sains dalam usaha mendepani isu semasa berkaitan sains dalam masyarakat. Webinar ini berlangsung selama sehari dan disiarkan secara langsung kepada umum melalui laman web TVIKIM dan Laman Facebook IKIM.
Penganjuran Muzakarah Pakar ini sebenarnya sebahagian usaha berterusan IKIM dalam mengarusperdanakan pemikiran yang menyepadukan sains tabii dan pengajian Islam. Usaha ini adalah untuk mendepani fahaman ekstrem dalam kalangan masyarakat, iaitu: (1) sekularisme yang menolak peranan agama dalam pembangunan sains dan teknologi, dan (2) fahaman segelintir umat Islam yang melihat ilmu duniawi, khususnya sains, sebagai tidak serasi dengan agama, lantas menolak pelbagai manfaat perkembangan sains dan teknologi
Webinar ini menyerlahkan beberapa perkara penting berhubung Islam dan sains. Antaranya adalah bahawa: (1) Islam dan sains tabii adalah serasi dan tidak bercanggah antara satu sama lain, (2) al-Quran dan al-Sunnah mengandungi elemen sains yang patut diketengahkan untuk menggalakkan penguasaan sains dalam kalangan umat Islam, (3) wujud keperluan kerjasama erat antara saintis dan pakar agama untuk menyerlahkan hubungan aqli dan naqli, (4) penelitian elemen sains dalam teks wahyu dan alam perlu berteraskan kepada matlamat mengesakan Allah SWT, dan (5) sains dan teknologi dibangunkan menurut acuan agama demi memberikan manfaat kepada masyarakat.