Apakah yang “terbuat (artificial)” dalam teknologi kecerdasan buatan (Bahasa Inggeris: artificial intelligence) dipendekkan sebagai AI? Berasal daripada artifice dan sinonim dengan “muslihat,” “helah,” dan “pandai tukang,” asal perkataan Latin artificium daripada kata sifat ini menyiratkan kerja tangan manusia yang diilhamkan melalui interaksi dengan alam.
AI lahir daripada interaksi manusia dengan perkara terhampir dengan hakikat kejadian dirinya sendiri iaitu aqal fikiran.
Kelompok yang berkecimpung dalam bidang AI berusaha terus menerus untuk menjadikannya supaya boleh, memetik perintis Herbert Simon pada tahun 1965, “melakukan apa-apa pekerjaan yang dapat dilakukan oleh seorang manusia.”
Pandangan Islami mengaku benarkan bahawa teknologi berdaya cipta berasal daripada ilmu para Anbiya’. Dalam Surah Hud (11:37), kisah Nabi Nuh a.s. melaksanakan pembinaan (sin‘ah) Tabut bawah bimbingan dan pemeliharaan Allah ‘azza wa jalla sebelum berlakunya Banjir Besar mengungkapkan dimensi kerohanian dalam teknologi.
Dalam konteks ayat tersebut, teknologi menjadi wadah pelaksanaan “Kehendak Ilahi” dan, dalam proses itu, alat untuk menyelamatkan orang-orang beriman daripada bala bencana yang dahsyat.
Allah SWT menegaskan bahawa sedang manusia bertanggung jawab atas hasil pilihan dan kerja tangannya sendiri (Surah al-Rum, 30:41), tidak dapat dinafikan bahawa Tuhanlah yang memberi ilham kepadanya (Surah al-Shams, 91:8).
Akan tetapi, terdapat golongan yang rugi daripada hasil kerja (sun‘a) mereka apabila mereka menafikan Tuhan dan pertemuan dengan-Nya pada Hari Akhirat (Surah al-Kahf, 18:104).
Menurut Imam Fakhr al-Din al-Razi (w. 1210) dalam karyanya al-Tafsir al-Kabir (Tafsir Besar), mereka ialah orang-orang yang digambarkan di bahagian awal Surah al-Kahfi telah kehilangan asas metafizik untuk tindakan bermoral, yang terserlah apabila mereka menunjuk lagak dengan modal kekayaan harta benda dan pengikut mereka terhadap golongan faqir dan miskin dalam kalangan umat Islam.
Golongan sedemikian cenderung mencetuskan kezaliman apabila mereka turut serta dalam merangka polisi yang merosakkan sumber pekerjaan dan mata pencarian yang baik.
Tanpa prinsip keagamaan yang membimbing atau kerangka falsafah yang adil dalam mendefinisikan semula pekerjaan pada zaman AI, adalah mudah untuk menyimpang dan mengambil segala jenis keputusan dan hala tuju yang salah, justeru mencetuskan kezaliman.
Bagi orang yang arif, tidak lama sebelum persoalan “apakah ia berbaloi” berubah menjadi “untuk apa ia.”
Mengapa tidak? Di sebalik janji perubahan teknologi, kehilangan berjuta-juta pekerjaan oleh kerana wabak sedunia memperlihatkan kelemahan serius dalam pengaturan ekonomi masa kini.
Ini ditambah lagi dengan pelbagai ancaman yang telah pun menjadi nyata dengan kemajuan automasi, robot, dan AI: penghapusan pekerjaan, pengangguran besar-besaran, keganasan siber, dron pembunuh berautonomi, dan kerajaan autokratik, yang semuanya tidak menyumbang markah dalam pembangunan AI.
Bertentangan dengan penurunan taraf aqal sebagai alat untuk menindas, pandangan Islami memandang tinggi dan memuliakan manusia oleh kerana keunikan dan sifat terpuji yang ada pada aqal.
Hadith Nabawi yang diriwayatkan oleh Dawud ibn Mahbar dalam karyanya al-‘Aql secara ringkas menyatakan bahawa melalui aqal inilah manusia memperoleh ilmu pengetahuan, petunjuk, rahmat, dan nasihat.
Imam Abu Hamid al-Ghazali (w. 1111) menjelaskan dalam Kitab al-‘Ilm (Kitab Ilmu, buku pertama dalam karyanya Ihya ‘Ulum al-Din ) bahawa selain menjadi organ ruhani pemahaman, aqal juga mampu melaksanakan hiyal (Bahasa Melayu: helah), istilah yang diertikan dengan kebolehan “merancang dan melakar strategi.”
Penggunaan Al-Quran dengan istilah yang sama dalam Surah al-Nisa (4:98) merujuk kepada jalan keluar dari keadaan yang sukar atau menindas.
Daripada kata akarnya hala, yang bermaksud “untuk berubah,” “untuk mengalami perubahan,” “untuk diubah,” “untuk beralih,” “untuk berpaling,” atau “untuk meninggalkan tingkah laku biasa,” hiyal bermaksud amalan merancang dan merangka, serta kemahiran dan kemampuan untuk mengatur atau mengurus hal ehwal, orang, atau institusi dengan betul dan terselamat daripada bahaya atau mudarat.
Sebagai istilah teknikal yang digunakan dalam Usul al-Fiqh (perundangan Islam), hiyal sangat sinonim dengan penggunaan kreativiti untuk mengatasi kesulitan berkaitan dengan hukum-hukum Syariah terutama yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi, asalkan tidak bertentangan langsung syariat.
Hiyal digunakan secara meluas dalam transaksi ( mu‘amalah ) untuk membolehkan tuntutan dan keperluan pihak-pihak yang berakad dipenuhi, yang ketiadaannya akan menyukarkan urus niaga sehingga mengganggu gugat sistem kewangan yang tersedia ada.
Memahami kerangka tasawwur di atas dapat meletakkan AI dalam kedudukan lebih baik sebagai teknologi yang “menyelamatkan” manusia daripada bahaya kehancuran yang ditimbulkan oleh “Banjir Besar” kesukaran dan cabaran zaman ini.