Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengeluarkan laporan “Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS): Tinjauan Kesihatan Remaja 2022.” Tinjauan yang dilakukan pada 12 Jun – 8 Julai 2022 ini bertujuan menilai tingkah laku yang membahayakan kesihatan dan faktor-faktor yang menghalangnya dalam kalangan pelajar di Malaysia, sebagai proksi status kesihatan remaja di negara ini.
Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 ini merangkumi perkara-perkara yang berikut: (i) penggunaan alkohol; (ii) berat badan berlebihan/obes; (iii) pengambilan dadah; (iv) amalan kebersihan mulut; (v) bunuh diri; (vi) sokongan ibu bapa dan rakan sebaya; (vii) aktiviti seksual; (viii) amalan merokok; (ix) keganasan; (x) buli; dan (xi) buli siber.
Banyak perkara yang boleh dituliskan mengenai laporan ini namun, makalah ini akan fokus kepada aktiviti seksual dalam kalangan remaja yang pastinya melahirkan rasa ingin tahu dalam kalangan kebanyakan ibu bapa di negara ini, khususnya ibu bapa Muslim.
Berdasarkan kepada laporan Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 ini, berikut adalah statistik mengenai remaja dan aktiviti seksual:
- 154,646 remaja dilaporkan pernah melakukan hubungan seks;
- 11% daripada mereka mempunyai lebih daripada seorang pasangan;
- 33% daripada mereka mula melakukan hubungan seks sebelum berumur 14 tahun;
- 75% daripada mereka melaporkan bahawa mereka ada melakukan hubungan seks baru-baru ini;
- 88% daripada mereka tidak menggunakan kondom; dan,
- 88% daripada mereka tidak menggunakan apa-apa kaedah perancang keluarga.
Aktiviti seksual seumpama ini tentu sahaja memberi kesan negatif kepada remaja tersebut. Sebagai contoh, memiliki lebih daripada seorang pasangan mungkin akan mendedahkan mereka kepada penyakit kelamin. Tidak menggunakan kondom atau apa-apa kaedah perancang keluarga akan mendedahkan remaja perempuan kepada kehamilan yang tidak dirancang. Itu tidak termasuk kesan negatif dari segi dosa yang tercatat bagi mereka yang terlibat sekiranya mereka adalah remaja Muslim.
Ada yang berpendapat bahawa salah satu cara untuk menangani isu ini adalah dengan memberikan pendidikan seksual kepada anak-anak remaja kita. Selain mengenalkan mereka dengan bahagian-bahagian badan mereka dan menghormatinya sebagai suatu amanah dari Tuhan, pendidikan seks ini juga akan mengajarkan tentang seks yang selamat (seperti penggunaan kondom dan kaedah-kaedah perancang keluarga yang lain) bagi mengelakkan risiko-risiko seperti penyakit kelamin dan kehamilan yang tidak dirancang yang seterusnya akan menjejaskan masa depan mereka, khususnya para remaja perempuan.
Dari perspektif Islam, pendidikan mengenai seks yang selamat kepada remaja bukanlah jalan penyelesaiannya. Penyelesaiannya adalah dengan mendidik mereka untuk menjauhi zina dan menahan diri daripada melakukan hubungan seks sehingga berkahwin. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan orang-orang yang tidak sanggup berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya, sehingga Allah mengayakan mereka dengan kurnia-Nya.” (Surah An-Nur: 33). Menjaga kehormatan ini dapat dilaksanakan dengan melakukan perkara-perkara yang berikut: (i) berpuasa sunat; (ii) menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi; (iii) mengisi masa lapang dengan perkara-perkara yang bermanfaat; (iv) berkawan dengan teman yang soleh; (v) melengkapi diri dengan pelajaran-pelajaran yang baik; (vi) memiliki rasa takut kepada Allah; (vii) memelihara mata dari perkara yang diharamkan; dan (viii) menguatkan pengaruh agama dalam diri.
Dalam kata-kata lain, para remaja perlu dinasihatkan dengan kata-kata seumpama ini, “Wahai remaja! Jauhilah zina kerana ia ditegah agama. Tahanlah dirimu daripada melakukan hubungan seks sehingga kamu berkahwin nanti. Sementara itu, tahanlah nafsumu dengan … (8 perkara yang disebutkan tadi).” Persoalannya ialah, siapakah yang perlu menyampaikan perkara ini kepada para remaja?
Ibu bapa ialah penyampai yang terbaik kerana mereka merupakan agen sosialisasi yang paling hampir dengan remaja. Selain itu, ia juga merupakan tanggungjawab ibu bapa untuk “…memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari neraka…” seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah at-Tahrim, ayat 6.
Pastinya ada yang berpendapat bahawa remaja terlibat dengan aktiviti seksual bukan kerana mereka tidak tahu hukum agama. Sebaliknya, mereka melakukannya kerana gagal mengawal nafsu.
Mungkin ada betulnya pandangan ini. Ramai remaja (malah, orang dewasa) yang terlibat dengan hubungan seks luar nikah walaupun mereka tahu bahawa perkara tersebut dilarang agama. Itulah sebabnya dalam Islam, pendidikan anak-anak bersifat menyeluruh dan bertahap mengikut usia mereka.
Sebelum diajar untuk menjauhi zina (pendidikan seks), anak-anak perlu diajar dengan (i) pendidikan keimanan—tentang Rukun Iman dan Rukun Islam; (ii) pendidikan moral—tentang prinsip-prinsip akhlak dan budi luhur; (iii) pendidikan jasmani—tentang tubuh badan dan kesihatan; (iv) pendidikan mental; (v) pendidikan rohani—tentang keperibadian dan sahsiah; dan (vi) pendidikan sosial—tentang adab sosial dan nilai-nilai murni.
Dengan latar belakang keenam-enam aspek pendidikan tadi, barulah lebih mudah para remaja itu untuk menjauhi zina kerana mereka faham sebab mereka perlu menjauhinya – bukan kerana takutkan penyakit kelamin atau kehamilan luar nikah, tetapi kerana takut melanggar perintah Allah SWT.
Di Malaysia belum ada mata pelajaran pendidikan seks. Namun, unsur-unsur penting dalam pendidikan seks telahpun diajar dalam pelbagai mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Sains Tambahan dan Biologi. Sekiranya Kementerian Pendidikan mahu memperkenalkan pendidikan seks sebagai satu mata pelajaran, sebaiknya sukatan mata pelajaran itu menggunakan acuan tempatan agar ianya lebih mudah diterima oleh semua pihak.

Sumber: Institut Kesihatan Umum 2022. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 :Tinjauan Kesihatan Remaja – Penemuan Utama