USAHA ahli agronomi Islam menghasilkan pelbagai bentuk catatan dan karya menunjukkan bahawa penyelidikan dan pengalaman dalam usaha memajukan bidang pertanian akan lebih bermakna sekiranya direkodkan dalam bentuk tulisan.
Tujuan utamanya supaya boleh menjadi rujukan oleh generasi akan datang. Ia juga dijadikan asas tindakan mereka dalam mencatat lebih banyak kemajuan memberangsangkan.
Bahkan, ia menjadi catatan atau rekod penting mengenai kegemilangan yang dicapai oleh ummah atau sesuatu bangsa hingga dapat diteladani oleh bangsa lain di dunia.
Lihat saja usaha yang dilakukan oleh ahli agronomi Andalusia seperti Ibn Wafid, Ibn Bassal, Abu al-Khayr, Ibn Hajjaj, al-Tighnari dan Ibn al-‘Awwam sepanjang abad ke-5 hingga 6 hijrah. Ibn Wafid, misalnya, dikatakan menghasilkan karya bertajuk Al-Majmu’ fi al-Filaha (Compendium on Agriculture).
Meskipun, ada sedikit keraguan mengenai kesahihan beliau sebagai penulis karya ini (disebabkan kurangnya maklumat biografi mengenai ahli agronomi lain yang sezaman dengan beliau berbanding catatan biografinya yang begitu banyak), karya ini amat masyhur.
Ia mendapat perhatian masyarakat dunia, hingga diterjemahkan ke dalam dua bahasa Iberia, iaitu Catalan serta Castilian. Penterjemahan ini pula seterusnya memberikan pengaruh besar terhadap penghasilan karya, Gabriel Alonso de Herera iaitu Agricultura General, sebuah karya agronomi yang hebat pada Zaman Kebangkitan (Renaissance). Ibn Bassal yang lahir di Toledo pula menghasilkan karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol Zaman Pertengahan.
Demikian juga Abu al-Khayr (Kitab al-Filaha), Ibn Hajjaj (Al-Muqni’ fi al-Filaha), al- Tighnari (Kitab Zahrat al-Bustan wa Nuzhat al-Azhan) – karya ini ditujukan khusus buat gabenor Granada dan Ibn al-‘Awwam, (Kitab al-Falahat). Kitab al-Falahat (The Book of Agriculture) nukilan ahli agronomi dari kota Seville ini adalah karya yang paling menyerlah. Ia adalah sumbangan tidak ternilai kepada bidang pertanian saintifik.
Dalam karyanya ini, Ibn al-‘Awwam menghimpunkan semua pengetahuan yang ada pada zamannya dalam bidang pertanian dan penternakan haiwan.
Beliau juga mengumpul tradisi geoponik sebelumnya dan membanding serta menghasilkan semula semuanya dalam ringkasan beliau. Selain itu, dalam karyanya ini, Ibn al-‘Awwam merujuk karya dari Greek, Mesir dan Parsi.
Tumpuan perbincangan Kitab al-Falahat ini mencakupi huraian mengenai 585 jenis tumbuhan dan garis panduan praktikal mengenai persediaan tanah, pengairan dan penambahbaikan dengan mencantum serta mengawet buah-buahan dan pokok renek.
Buku tulisan Ibn al-‘Awwam juga meliputi pokok taman, penanaman bijirin dan sayur-sayuran. Karya ini diasaskan kepada pengalaman petani Muslim di negara Islam Sepanyol iaitu sewaktu umat Islam mengatasi semua bangsa di dunia dalam semua aspek kehidupan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, undang- undang, politik atau saintifik.
Antara topik perbincangan penting dalam buku Ibn al-‘Awwam adalah kaedah penyuburan tanah dan kaedah yang sewajarnya digunakan bagi meningkatkan kesuburan tanah. Apa yang menarik menurut beliau adalah baja terbaik iaitu baja burung merpati.
Baja ini pernah digunakan secara meluas di Iran. Bagi mengumpul baja burung merpati dan membiaknya dengan lebih banyak, menara berbentuk bulat dibina daripada batu-bata. Ia diperbuat daripada lumpur dengan menara yang lebih kecil menganjur dari puncaknya. Keseluruhan ketinggian menara ini mencapai 60 hingga 70 kaki tinggi.
Bahagian dalam menara ini mengandungi ruang berbentul sel kecil yang seakan-akan sama bentuknya seperti sarang lebah atau induk madu. Tahi burung merpati (guano) yang dikumpulkan hingga suatu tempoh kemudiannya akan digunakan untuk menyuburkan ladang di kawasan sekitarnya.
Menara merpati ini dibersihkan setahun sekali. Disebut bahawa pada sesuatu masa, ada 3,000 menara merpati di luar Isfahan, Iran yang mengumpulkan baja daripada ribuan burung merpati. Namun, yang tinggal kini hanya runtuhan menara yang dapat dilihat sebagai bukti sumbangan penting merpati dalam bidang pertanian pada zaman silam.
Nampaknya, langkah yang diatur oleh Malaysia hampir sederap, meskipun tidak sehebat yang disusun Andalusia pada zaman kegemilangannya. Namun, yang penting usaha telah dimulakan dan pelaksanaannya harus berdasarkan perencanaan yang dirancang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, meminta seluruh rakyat menggerak serta menyatukan segala usaha secara konsisten dalam menjayakan objektif dan ideologi negara bagi membangunkan industri pertanian.