Syawal yang menyusul sesudah Ramadan bagaikan medan untuk kita menilai dan merenung sejauh mana perjuangan meningkatkan ketaqwaan, menyucikan jiwa dan nurani dan meneguhkan keperibadian sepanjang bulan yang dilimpahi keberkatan itu benar-benar menghasilkan kejayaan serta kemenangan. Takbir yang bergema bagi memuji Allah bermula pada malam Ramadan berlalu dimaksudkan bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah atas kurniaan-Nya yang tiada sempadan. Kurniaan kerana menemukan kita dengan bulan yang dilimpahi segala kebaikan. Bulan yang terhimpun padanya segala bentuk nikmat, keampunan, keredaan dan rahmat serta ganjaran yang tiada batasannya daripada Allah s.w.t. Hitunglah semuanya jika kita mampu. Di manakah dan dengan jalan apakah lagi dapat kita temui segala rahmat dan nikmat sedemikian besar dan hebat itu?
Aidil Fitri atau Hari Raya Fitrah disambut oleh insan yang beriman sebagai lambang kembalinya mereka kepada fitrah atau keadaan asal mereka yang suci, bersih dan terpelihara daripada segala dosa. Jika sepanjang Ramadan, mereka telah berusaha gigih mengharungi cabaran getir dan liku-liku perjuangannya selain memburu segala peluang untuk menyucikan diri dan jiwa maka layaklah mereka dianggap sebagai orang yang telah kembali kepada fitrah dan memperoleh kemenangan atau kejayaan (al-`A’idin wa al-Fa’izin). Kemenangan mereka ini juga sebenarnya kerana kesediaan mereka menyahut seruan Ilahi bagi memperoleh segala kebaikan serta keredaan-Nya dengan mematuhi perintah atau menjauhi larangan. Ini jelas misalnya dalam perintah Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya yang beriman supaya menunaikan ibadah puasa yang tujuan utamanya difardukan kepada mereka supaya mereka menjadi insan yang bertaqwa. Demikian juga dengan kewajipan solat yang antara tujuan diperintahkan adalah untuk mengingati Allah s.w.t. dan ibadah zakat yang matlamatnya bagi membersihkan diri hamba-hamba-Nya daripada dosa serta akhlak yang buruk. Nyatalah bahawa kemenangan yang dicapai oleh mereka bermula dengan seruan yang datangnya daripada Tuhan mereka. Alangkah bahagianya jika kita terjumlah dalam kumpulan hamba-hamba seperti ini. Maka dengan yang demikian, kita akan meraikan ketibaan Hari Raya Fitrah ini dengan amalan yang sewajarnya dan bukan sekali-kali dengan cara yang memusnahkan sama sekali maksud serta nilai kemenangan yang ada padanya. Selain ucapan takbir yang digemakan bagi menyatakan kesyukuran dan memuji kebesaran Allah s.w.t., hari raya fitrah ini dihiasi dengan segala nilai, akhlak serta adab berpandukan Sunnah Rasulullah s.a.w. Misalnya dengan ziarah-menziarahi, sama ada di kalangan keluarga terdekat, saudara-mara, rakan taulan mahupun sahabat handai. Pertemuan dalam waktu-waktu sebegini menjadikan ia begitu berbeza dengan pertemuan pada waktu-waktu yang lain. Barangkali kesan besar dan mendalam yang ditinggalkan Ramadan menjadikan pertemuan tersebut diselubungi kemesraan serta kasih sayang yang begitu suci dan sukar diungkap melalui kata-kata.
Pada waktu inilah juga kita dapat melihat manusia yang telah melalui tempoh penjernihan jiwa sepanjang Ramadan, dengan rendah hati menghulur tangan, begitu tulus mengakui kesilapan diri dan saling bermaafan antara satu sama lain. Segala kekusutan bagai terungkai dengan begitu mudah, persengketaan dilupakan, titik persamaan dicari dan perbezaan pandangan diterima dengan hati yang terbuka. Kemarahan yang terpendam dalam jiwa bagai lenyap begitu sahaja. Tembok keegoan diri umpama lebur dihancurkan oleh kesedaran bahawa tiada yang lenyap daripada diri jika kerendahan hati yang menjadi pilihan. Kesedaran ini jugalah yang akan membolehkan kita, antaranya menilai sejauh manakah kita menunaikan hak terhadap saudara seagama selama ini. Bersungguhkah kita memelihara kehormatan dirinya, menutup segala keaiban dan mempertahankan dirinya sekiranya disakiti atau diancam terutamanya oleh musuh, selain menghulurkan bantuan kepadanya, pada saat-saat ia amat memerlukan bantuan kita? Atau kita sekadar membiarkan dirinya melalui kegetiran hidup dan cabaran sekeliling secara bersendirian dan melupakan pesanan Rasulullah s.a.w., “Seseorang Muslim itu ialah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak boleh menzaliminya dan membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi keinginan saudaranya, nescaya Allah akan memenuhi keinginan (hajat)nya. Dan sesiapa yang membantu melepaskan daripada seorang Muslim suatu kesulitan, Allah akan melepaskannya daripada salah satu kesulitan pada hari kiamat dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, Hari Raya Fitrah dengan segala kesuciannya datang membawa isyarat dan petunjuk untuk kita mengukuhkan kembali jalinan yang longgar dan melenyapkan prasangka, kebencian serta kemarahan yang akhirnya membawa musibah yang besar, bukan sahaja kepada diri kita bahkan lebih-lebih lagi kepada umat Islam seluruhnya. Kembalilah kita kepada fitrah dan kesucian. Kembalilah kita dengan penuh kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang memilih kita untuk menginsafi kebesaran-Nya dan menyedari kekerdilan diri kita. Lahirkanlah kesyukuran dengan membanyakkan pujian kepada-Nya, Allah Yang Maha Besar!