Kitab al-Quran merupakan mukjizat nabi Muhammad SAW yang menjadi sumber rujukan manusia mencari keredaan Allah SWT di dunia sehingga mereka berjaya di akhirat kelak. Al-Quran ialah wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW. Kita menerima al-Quran secara mutawatir dan membacanya dikira sebagai ibadah.
Teladan membawa erti melakukan sesuatu perbuatan dan lain-lain peristiwa yang elok. Untuk menjadikan al-Quran sebagai teladan yang baik, kita perlu mengetahui matlamat al-Quran diturunkan. Garis panduan ini diceritakan oleh sumber perundangan Islam iaitu al-Quran sendiri dan al-Sunnah.
Selain itu, kita boleh melihat muamalah sahabat RA dengan al-Quran dalam kehidupan mereka. Sahabat ialah orang yang pernah berjumpa dengan nabi SAW dan beriman dengannya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Generasi paling baik adalah generasi ketika aku diutus (sahabat), kemudian generasi selanjutnya (tabiin), kemudian generasi selanjutnya (Tabiut tabiin) (Hadis riwayat Muttafaqun alaih). Sahabat merupakan cermin kepada akhlak baginda SAW yang menjadikan al-Quran sebagai manhaj kehidupan.
Sebagai umat Islam, kita tidak boleh membiarkan naskah suci al-Quran tersimpan begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sebaiknya. Sebaliknya ia perlu didampingi bukan sahaja pada bulan Ramadhan bahkan sepanjang masa. Maka kefahaman yang baik kedudukan sebenar al-Quran dan mengambil manfaat daripadanya sudah tentu ditagih.
Perkara asas manusia terhadap al-Quran ialah mereka beriman dengannya. Umat Islam perlu yakin bahawa al-Quran itu merupakan wahyu daripada Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW. Mereka wajib percaya segala berita, suruhan dan larangan yang terkandung di dalamnya. Ini merupakan salah satu rukun iman yang enam iaitu mempercayai kepada kitab Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Surah al-Nisaa’:136).
Umat Islam dituntut untuk mengkaji isi kandungan al-Quran, melihat ayat-ayatnya, ilmu dan rahsianya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar (Surah Shad, ayat 29).
Selain itu, umat Islam diminta untuk membaca al-Quran. Membaca al-Quran perlu dilakukan sepanjang masa dan bukan hanya ketika bulan Ramadhan sahaja. Ketika datang bulan Ramadhan, mereka dituntut untuk menggandakan lagi bacaan demi merebut keberkatan dan anugerah malam Lailatur Qadar. Membaca al-Quran tidak dilakukan dengan tergesa-gesa tetapi sebaliknya dengan tertil atau perlahan-lahan. Ini bertepatan dengan saranan dalam surah al-Muzammil ayat 4 yang bermaksud “Bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan”.
Dengan tilawah yang teratur, pembaca bukan sahaja dapat membaca dengan betul hukum tajwid bahkan mereka yang mempunyai kemahiran bahasa Arab terus dapat menghayati makna ayat-ayat yang dibaca. Allah SWT memberi ganjaran yang besar kepada pembaca al-Quran. Dalam satu hadis baginda bersabda yang maksudnya: Sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka dia mendapatkan satu kebaikan dengannya. Dan satu kebaikan itu (dibalas) sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim satu huruf. Tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf (Hadis riwayat Tirmizi).
Umat Islam sudah tentu juga dituntut untuk mengamal hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran. Para sahabat apabila mempelajari al-Quran daripada Rasulullah SAW, mereka terus mengamalkan bahagian yang mereka pelajari dan fahami tentang ayat-ayat al-Quran. Abu Abdul Rahman RA berkata: “Jika para sahabat mengajarkan al-Quran kepada kami, mereka berkata: “Kami belajar al-Quran daripada Rasulullah SAW sebanyak 10 ayat, dan kami tidak akan meminta nabi SAW untuk mengajarkan ayat berikutnya sebelum 10 ayat tadi disesuaikan antara ilmu dan amalnya” ( Muntakhab Kanzul Ummal ).
Individu Muslim turut diingatkan agar mencari kebajikan dengan menghafal al-Quran. Ini kerana mereka yang tidak mempunyai sedikit pun hafalan al-Quran maka mereka diumpamakan seperti sebuah rumah yang rosak. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis baginda SAW seperti yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi. Orang yang hafal al-Quran turut mendapat keutamaan di sisi nabi SAW. Dalam sebuah hadis, nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian baginda bersabda, “Siapakah di antara kedua-duanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka baginda mendahulukan pemakamannya di liang lahat” (Hadis riwayat Bukhari).
Umat Islam wajib mengikut saranan dan arahan di dalam al-Quran. Dewasa ini kita melihat pelbagai isu seperti sosial, muamalat berleluasa dalam masyarakat. Ini timbul kerana umat Islam sendiri meminggirkan saranan dalam al-Quran. Ilmu logik dan akademik
Barat diambil menjadi acuan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Al-Quran sendiri telah menegaskan bahawa umat manusia tidak akan menjadi porak-poranda jika mereka mengambilnya sebagai ikutan. Dalam surah Taha ayat 123, Allah berfirman yang bermaksud: “Jika datang kepada kamu petunjuk daripada Aku, maka sesiapa mengikut petunjuk Aku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Petunjuk Allah SWT yang nyata dan mudah kita dapat ialah al-Quran itu sendiri.
Sempena dengan bulan Ramadhan dan Nuzul al-Quran, elok sama-sama kita bermuhasabah diri. Al-Quran dapat menjadi teladan yang baik kepada kita apabila kita menghayati fungsi dan peranan al-Quran yang sebenar-benarnya. Ini akhirnya akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada individu bahkan kepada umat sejagat.