Kuasa selalunya dikaitkan dengan kegilaan. Dalam Bahasa Melayu frasa ‘gila kuasa’ digunakan bagi merujuk kepada sikap dan perbuatan keterlaluan yang ditunjukkan oleh pihak yang mahu berkuasa, mengekalkan kuasa yang sedang dimiliki ataupun menambah kuasa yang sedia ada. Kegilaan adalah lawan kepada kewarasan, dan ia menunjukkan betapa bahayanya kuasa itu kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan sesuatu yang paling berharga pada dirinya iaitu akal. Apabila akal dan kewarasan sudah hilang, yang menguasai diri adalah hawa nafsu. Maka amatlah tepat sekali apabila kuasa dikaitkan dengan kegilaan. Ia datang dari pemerhatian yang tepat terhadap tingkah-laku manusia yang mudah hilang pertimbangan apabila berhadapan dengan kuasa.
Kuasa bagaimanapun diperlukan untuk mencapai dan mempertahankan kemaslahatan bersama. Cuma kepada siapa patut diberikan amanah yang besar itu. Tentu sekali ia tidak sewajarnya diberikan kepada orang yang gila kuasa kerana kegilaan dan kekuasaan akan mendatangkan mudarat yang amat besar kepada semua. Kegilaan inilah yang sedang kita saksikan di segenap pelusuk dunia Islam pada hari ini. Lihatlah Mesir, Libya, Turki, Syria dan Iraq—sekadar menyebut beberapa contoh di mana pergolakan politik yang tidak sudah-sudah telah memporak-porandakan masyarakat. Di Libya dan Syria pergolakan itu membawa kepada pertumpahan darah yang bukan sedikit. Di Iraq ia membawa kepada pencerobohan kuasa asing dan sehingga kini tiada kelihatan tanda-tanda pemulihan bahkan keadaan semakin buruk dan mendukacitakan.
Pergolakan kuasa di negara-negara ini bukan berlaku serentak tetapi merebak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia digambarkan sebagai kebangkitan rakyat menuntut keadilan dan kebebasan dari rejim kuku besi. Justeru ia dianggap sebagai suatu perjuangan yang mulia, suci, dan wajib didokong oleh segenap lapisan masyarakat. Bagaimanakah pula sesuatu yang ‘mulia’ dan ‘suci’ itu boleh dituduh sebagai kegilaan? Pastilah orang yang menuduh itu tidak lain daripada ‘penyokong’ kepada rejim yang zalim itu, yang telahpun diisytihar sebagai musuh keadilan dan kebebasan! Demikianlah keadaannya apabila berlaku pergolakan kuasa yang mencapai tahap kegilaan. Setiap orang akan dihukum sama ada sebagai rakan seperjuangan ataupun musuh dan pengkhianat. Ia adalah persoalan hidup dan mati, dan pada masa itu apa sahaja sanggup dilakukan demi menyelamatkan nyawa sendiri dan menghapuskan pihak yang disyaki mendatangkan ancaman. Sedikit demi sedikit apa yang pada mulanya diwar-warkan sebagai perjuangan suci menuntut keadilan dan kebebasan itu bertukar menjadi penyembelihan beramai-ramai dan tindak-balas yang berpunca dari dendam.
Inilah yang sedang berlaku di Syria. Apa yang dapat kita lihat adalah kematian yang sudah mencecah ratusan-ribu nyawa, kehilangan anggota, kemusnahan harta-benda, tempat tinggal dan sumber pencarian. Jutaan manusia kini merempat di khemah-khemah pelarian menjadi beban kepada negara-negara jiran. Adakah ini lebih baik dari berada di bawah rejim Bashar Assad yang zalim itu? Apa yang berlaku di Iraq dan Libya sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan iktibar oleh rakyat Syria agar tidak membuat kesilapan yang sama. Benar, kezaliman pemerintah adalah mudarat yang mesti dihapuskan, akan tetapi bukan dengan mendatangkan kezaliman yang lebih besar. Kezaliman rejim Assad tidak boleh dibandingkan dengan kezaliman yang berganda-ganda lebih besar yang datang dengan perang bagi menggulingkannya. Justeru, memilih perang adalah suatu kegilaan. Inilah pendirian Ahl al-Sunnah wal Jama’ah. Maka ulama’ seperti Said Ramadan al-Buti menentang perang di Syria. Dan akibatnya dia telah dibunuh tatkala sedang memberi kuliah di masjidnya.
Menentang perang terhadap rejim Assad bukan bermakna menyokong setiap tindakan dan dasar al-Assad termasuk yang zalim dan menindas. Ia bererti menentang kezaliman yang lebih besar yang dikhuatiri menimpa masyarakat akibat dari perang. Ia adalah sejajar dengan tujuan-tujuan hidup beragama (maqasid al-shari’ah) yang meletakkan nyawa, agama, akal, keturunan dan harta sebagai perkara asas yang mesti dipertahankan dari mudarat. Kelima-lima perkara ini sudah musnah angkara perang Syria dan siapakah yang akan memikul tanggungjawab di hadapan Allah terhadap kemusnahan itu? Sayugia diingat amaran Allah bahawa setiap orang akan melihat hasil perbuatannya walaupun sebesar zarah.
Yusuf al-Qaradawi adalah di antara tokoh yang diketahui memusuhi Said Ramadan al-Buti, dan dialah antara penyokong kuat yang mengapi-apikan pertumpahan darah di Syria yang dianggapnya sebagai jihad. Kegilaan terhadap kuasa sememangnya menghilangkan segala pertimbangan sehinggakan agama pun diperalatkan bagi memenuhi kehendak nafsu amarah. Yang demikian itu mungkin hanya dilakukan oleh ulama’ keduniaan yang tidak takut kepada Allah kerana terlalu cintakan dunia. Ulama akhirat takut kepada Allah dan balasannya. Mereka tidak akan mengapi-apikan pemberontakan kerana takut mudarat yang akan menimpa Kaum Muslimin, sedangkan merekalah yang menjadi puncanya.
Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita tentang jihad menentang hawa nafsu sebagai jihad yang lebih besar dari jihad yang berbentuk peperangan zahir. Ia bererti bahawa hanya orang yang telah menguasai nafsunya sahaja yang layak dipertanggungjawabkan dengan jihad peperangan kerana dalam peperangan terlalu banyak dorongan nafsu yang boleh merosakkan niat. Oleh sebab itu dilarang secara pasti menggelarkan seseorang itu syahid kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui niat masing-masing. Yang mati berperang kerana harta, kemasyhuran dan kerana berebutkan pangkat dunia tidak dikira mati di jalan Allah. Bahkan mereka akan dipertanggungjawabkan di atas segala kerosakan dan kemusnahan yang telah mereka lakukan.
Di Syria kekejaman yang dilakukan dalam peperangan telah dirakamkan oleh pelakunya sendiri untuk ditunjukkan dalam Youtube dan Facebook, seolah-olahnya ia adalah aktiviti sukan atau bahan hiburan. Pada masa yang sama masjid-masjid turut diserang dan dimusnahkan manakala tanah perkuburan dijarah. Semua itu adalah di antara tanda-tanda bahawa perang di Syria bukanlah jihad, tetapi pertarungan antara pihak yang sudah hilang akal dan mengikut hawa nafsu semata-mata. Apa yang mereka lakukan itu hanya mendatangkan fitnah yang amat besar terhadap agama umumnya dan jihad khususnya. Apa yang berlaku itu wajar menjadi iktibar untuk kita semua agar tidak mengulanginya. Perang Syria adalah sesuatu yang mengaibkan dan tidak wajar sama sekali kita menyokongnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan Kaum Muslimin yang sedia lemah ini. Apa yang wajib dilakukan oleh umat Islam adalah menghentikannya seberapa segera demi menyelamatkan apa yang masih ada.